Aku Yang Zalim

Assalamualaikum… Pertama sekali, terima kasih admin yang budiman sudi terima penulisan ini untuk disiarkan di ruangan luahan yang terbuka ini..

Saya juga memohon maaf andai apa yang ditulis tidak mampu difahami oleh mereka yang bijaksana…

Saya ni zalim bukan alim. Dah tahu dosa banyak tapi sukar nak betul bertaubat.. Saya malu nak mengaku, adakah saya munafik sebab saya selalu komen sesuatu yang tidak baik atau kurang islamik sedangkan saya lebih teruk.

Contoh saya akan rasa mereka yang pergi konsert tak solat sebab nak jaga mekap. Tapi saya yang hanya duduk di rumah juga tak solat.. Saya yang tak banyak kerja ni pun tak cukup solat lima waktu dan solat di akhir waktu..

Tapi saya macam kata dalam hati… Apalah mereka ni buat program hiburan di tv yang menyanyi dan menari tak tahu malu… Baju ikut budaya mana tak tahu… Banyak dosa ni… Tapi saya lagi banyak dosa. Dosa mengumpat orang yang tak kenal saya..

Kenapalah saya zalim dengan diri sendiri… Ya Allah aku tak layak masuk Syurga namun tak upaya masuk Neraka Mu.. ya Allah aku bertaubat ampunilah dosaku… Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa dosa besar.

Taubat aku ni pulak… Aku mudah nangis sendirian bila kenangkan dosa aku, jahat aku, jahil aku, aku gigihkan solat malam dan nangis masa sujud.. Sampai berhingus banyak…

Rasa lega macam dah kurang sikit dosa kemudian tertidur… Tak solat subuh pula. Sungguh aku pendosa. Allah tak pilih aku jadi ahli solat…

Kalau solat pun, fikiran aku melayang. Macam macam difikirkan, lebih teruk fikir nak makan apa… Nak bercuti ke mana… Syaitan jenis apalah yang menggoda aku.

Aku tak tahulah Allah mahu terima kah solatku… Solat yang tak sempurna tak kusyuk… Mungkin tak sampai pun untuk diangkat malah harus dibaling saja buruknya solat itu kemuka ini..

Jahatnya aku sebab menzalimi diri sendiri… Aku selalu tengok kezaliman orang di media sosial, yang jahat seperti bunuh, rogol, rompak… Tapi orang yang tak solat ni jauh lebih zalim sebab dia sendiri nak masukkan diri ke dalam neraka.

Ya Allah… Nabi Adam yang soleh tu pun mengaku zalim kerana terlupa larangan Allah tentang makan buah… Dikeluarkan dari Syurga dan diletakkan di dunia yang tiada manusia lagi bertahun lama sebelum bertemu kembali dengan Hawa.

Begitu sekali balasannya sebab termakan buah larangan Syurga kerana terlalu yakin Allah Maafkan. Dia makhluk yang Allah sayang malaikat pun diminta sujud kepadanya. Inikan pula aku yang makan ikut suka, puasa malas.

Wahai Tuhan kami, kami menzalimi diri kami, sekiranya Dikau tidak mengampuni kami dan rahmati kami, termasuklah kami orang yang rugi. Begitulah doa Nabi Adam.

Begitu juga Nabi Yunus, bagaimana dia sedar telah berlaku zalim bila meninggalkan kaumnya yang kufur tidak mahu menerima dakwahnya kepada Islam sehingga dia berputus asa dan ingin pergi berdakwah ke tempat lain…

Dalam perjalanan menaiki kapal, telah dilanda taufan, maka ada undian untuk membuang seorang dari kapal ke laut dan terkena pada Nabi Yunus.

Yunus yang soleh ini telah dibuang ke laut dan dengan kehendak Allah dia ditelan ikan yang besar. Dia hidup di dalam perut ikan.

Tak dapat bayangkan bagaimana boleh hidup di dalam perut ikan betapa sakit dan takutnya. Hanya ingat mati, hanya ingat Allah.

Saat itu zikirnya adalah.. Tiada Tuhan melainkan Mu ya Allah, Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku daripada orang yang zalim.

Berhari lamanya baru taubatnya diterima dan ikan pun melepaskan dia ke pantai. Nabi yang pasti amalan solehnya diterima itu pun mendapat ujian menzalimi diri, dibalas sebegitu sekali.

Masakan kita yang banyak dosa ini sangat yakin mudah untuk masuk ke Syurga.

Itu belum lagi nak fikir harta kita yang akan dihisap di akhirat kelak. Dari mana sumbernya, bagaimana digunakan. Banyak ke sedekah, cukup ke zakat… Ada hak orang yang kita ambil ke, atau ada permusuhan kita atau hutang yang tak selesai.

Bagaimana kita bak bayangkan di mahsyar nanti… Semua orang dah tak fikir anak isteri, ibu ayah atau kerabat taulan.

Hanya nafsi nafsi kerana azabnya nak habiskan perjalanan mahsyar dengan hisap yang panjang jauh lagi lama dari hidup di dunia. Dibayangkan seksanya bagaikan matahari sejengkal dengan lautan peluh..

Jika tiada rahmat dan syafaat, akan sangat sengsara.. Syafaat agung kita mukjizat alQuran dan selawat ke atas baginda Rasulullah saw.

Bekalan kita bukan harta dan anak tapi amal soleh yang ikhlas… Jika kita mahu bermusafir atau pindah pasti akan membawa bekalan dan harta… Maka jika mahu ke alam kekal abadi sudah cukuplah persediaan kita..

Dalam dunia ni banyak masalah kan… Membaca coretan luahan di iiumc ni pun dah macam-macam. Kalau ujian tu berat sangat rasa macam mati lebih baik. Sungguh hidup mati ini telah ditakdirkan Allah SWT. Berdamailah dengan takdir.

Namun Allah bagi kita pilihan untuk dapat pahala atau dosa. Allah janjikan Syurga yang sangat nikmat juga ada Neraka yang sangat azab. Berbahagia lah mereka yang beriman dan diredhai Allah untuk ke Syurga Nya.

Syukur mereka yang mendapat hidayah setelah banyak dosa dan kezaliman dah dilakukan. Dengan ikhlas bertaubat pastu diterima kerana ini janji Allah… Allah tahu keadaan hambaNya.

Firaun yang sangat zalim mengaku Tuhan itu juga bila nak mati menyebut mahu taubat kerana dah terbayang seksa Neraka tetapi tidak diterima kerana sudah terlambat… Maut depan mata.

Semoga kita mendapat husnul khatimah.. Semoga kita kuat untuk jadi Muslim bertaqwa.. Menjaga diri, hati, iman agar tidak dipermain hawa nafsu, agar tidak lengah bertaubat kerana mati tidak menunggu bila sudah tiba masanya..

Teguhkan tauhid dan berkasih sayang dengan menjaga iman dan akhlak agar Islam kembali kuat. Kita Islam tapi sungguh banyak kelalaian untuk menjaga maruah agama dengan kelalaian dunia…

Bukan untuk menilai dosa orang lain, untuk muhasabah diri merenung sendiri betapa kerdil diri ini hina diri ini jika Allah tak ampuni dan rahmati.. Manusia tiada kuasa Allah Maha Berkuasa.

Segala takdir hidup ini ada rezeki dan ujian untuk merasakan diri hamba.. Sungguh sebesar zarah kesombongan tidak layak ke Syurga Firdaus… Bersihkan hati mencari hidayah agar Allah pilih untuk dekat denganNya.

Allah sangat baik… Bacalah kalamullah mukjizat al Quran untuk pencerahan sebenar… Menghayati dan beramal untuk hidup tenang dunia akhirat… InshaAllah.

Alhamdulillah ‘ala kulli hal… Syukran jazakallah.

– Berpesan pesan dengan kebenaran, berpesan pesan dengan kesabaran.

– Hamba yang dhaif (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *