Akulah Masalah

Aku rasa aku ada perangai pelik dari usia muda lagi.

Ketika umur 14 tahun, aku jatuh hati pada rakan sekelas, L. Hari pertama aku pandang wajahnya, susah nak gambarkan perasaan suka, ‘1st love’ kata orang.

Lama aku pendam perasaan suka, akhirnya cinta bertaut.

Ketika itu aku ada masalah keluarga, walaupun tidak diceritakan pada orang luar, mukaku sentiasa ceria seolah-olah tiada masalah tetapi hakikatnya keadaan dirumah memang serabut.

Aku nampak ayah L berdekatan kawasan rumahku. Baru aku sedar L juga ada masalah keluarga yang tak diceritakan.

Satu malam, L berterus terang bahawa dia ada penyakit. Aku ambil peluang untuk putuskan hubungan. Mesti kalian menganggap aku kejam kan?

Di usia semuda itu aku mengambil keputusan sebegitu adalah kerana aku tidak mahu membebankan L.

Keluarga aku bermasalah. Kalau aku memilih bersama L, dia akan bertambah terbeban lagi, biarlah dia menganggap aku apa pun, aku tak kisah.

Lebih baik dia menganggap aku buruk, dari hubungan berterusan dan masalah bertimpa-timpa dikemudian hari akan menyusahkan dia.

Malah sejak hari itu L memang menganggap aku musuh. Aku? Buat seperti tiada apa yang berlaku.

Hati aku hancur tapi aku mahu masa depan L lebih baik, bertemu perempuan dari keluarga yang baik, yang tak membebankan seperti aku.

Sejak itu aku sedar, aku tidak suka menjadi beban. Aku tiada kawan baik. Aku tak suka orang menunggu aku. Semuanya kalau boleh aku mahu buat sendiri. Bila aku ada masalah, aku diamkan.

Pernah masalah terlalu serius sehingga trauma, aku ceritakan pada Ibu, tapi Ibu banyak perkara untuk difikirkan jadi seolah-olah diendahkan, jadi aku cari jalan untuk lupakan trauma tersebut.

Sebagaimana aku lupakan banyak perkara lain. Aku berdoa Allah hilangkan ingatan yang menyakitkan dan hanya kekalkan ingatan yang menggembirakan.

Kini setelah berpuluh tahun, aku masih dengan perangaiku yang sama. Aku sukar menerima pertolongan walaupun hakikatnya aku seorang suri rumah, yang ditanggung suami.

Walaupun kadangkala aku berkeinginan berbelanja seperti wanita lain, aku pendamkan sahaja.

Aku muhasabah diri, sambil lihat orang lain yang lebih susah. Aku yakinkan diri aku, aku mampu lalui apa juga kesukaran, tak kisah apa kata orang.

Aku ingatkan diri aku, jika impian aku tak terkabul di dunia, aku yakin Allah akan beri aku perkara yang lebih baik di akhirat.

Hari ini aku lihat suami sugul. Aku terpaksa jual asset yang aku beli ketika bekerja dulu beberapa tahun lepas ketika Covid melanda kerana aku tidak mahu menyusahkan suami membayar hutang bulanan.

Walhal asset yang ku jual adalah impianku. Aku menangis sembunyi-sembunyi. Menangis di atas sejadah.

Tapi kini ketiadaan asset tersebut mengakibatkan kami bermasalah lain pula. Atas niat aku tidak mahu menyusahkan, kini lain pula jadinya.

Aku tak kisah aku terpaksa ‘struggle’ disebabkan kejadian ini tetapi melihat muka suamiku, aku jadi sedih.

Dia dari keluarga yang senang, walaupun dia kuat mencari rezeki tetapi hidupnya sentiasa dalam keadaan cukup. Kini dia bermasalah disebabkan aku.

Aku lihat muka anak-anak, aku ibu yang baik kah? Aku membesarkan anak-anak di rumah, aku dah cuba yang terbaik, tapi masih lagi tidak menyenangkan keadaan.

Aku sedar ini semua takdir dan setiap kita diuji berbeza-beza, tetapi alangkah baiknya jika aku tidak menyusahkan sesiapa.

Walau kerapkali mengingatkan diri setiap rezeki orang berlainan, namun tetap jugak ada secuit kesal di hati ini, belajar bertungkus lumus, tidak juga bekerja, tidak juga menyenangkan ibu bapa.

Padahal elok je ibu dan ayahku dikampung ada pendapatan mereka sendiri tak pernah meminta. Itu pun aku masih terfikir-fikir.

Aku terlalu ‘overthinking’ ke? Atau ada orang lain yang sekasut dengan ku? Perasaan takut orang lain terbeban disebabkan kita?

– Awan Hujan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *