Saya nak kongsikan apa yang saya baca dari buku Fadilat Surah-Surah Pilihan :
1.) Surah Al-Mulk ini diturunkan di Makkah selepas Surah At-Tuur dan mempunyai 30 ayat.
2.) Al-Mulk bermaksud ‘Kerajaan’ atau ‘Kekuasaan’.
3.) Di antara kandungan dalam surah ini ialah penjelasan mengenai hidup dan mati bagi manusia, Allah mencipta langit berlapis-lapis dan semua ciptaanNya mempunyai keseimbangan, perintah Allah untuk memperhatikan isi alam semesta,
Azab yang diancam kepada orang-orang kafir dan janji Allah kepada orang-orang Mukmin, penjelasan mengenai Allah menjadikan bumi sedemikian rupa hingga mudah bagi manusia untuk mencari rezeki,
Peringatan Allah kepada manusia tentang sedikitnya dari kalangan manusia yang bersyukur kepada nikmat Allah SWT.
4.) Al-Mulk merupakan Penghalang Dari Seksa Kubur :
“Daripada Ibnu Abbas beliau berkata : Pernah sebahagian sahabat Nabi SAW memasang khemahnya di atas kubur. Dia tidak menyangka bahawa itu adalah tanah perkuburan.
Tiba-tiba terdengar seseorang membaca Surah Tabarak sehingga selesai. Maka dia datang kepada Nabi dan berkata :
‘Wahai Rasulullah, aku memasang khemahku di atas kubur, aku tidak menyangka bahawa itu tanah perkuburan, tiba-tiba ada seorang lelaki sedang membaca surah at Tabarak hingga selesai.”
Kemudian Rasulullah SAW bersabda : “Surah itu adalah penyelamat yang menyelamatkannya daripada seksaan kubur.” (Diriwayatkan oleh Tarmizi)
5.) Nabi SAW bersabda :
“Barangsiapa yang membaca surah at-Tabarak pada tiap-tiap malam, maka Allah memelihara dirinya dari seksa kubur.”
6.) Mampu Memberi Syafaat :
Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Nasa’i, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim dari Abu Hurairah. Nabi SAW bersabda :
“Sesungguhnya ada satu surah dari Al-Quran yang terdiri dari 30 ayat yang dapat memberi syafaat kepada seseorang sehingga dia diampuni iaitu al-Mulk.”
7.) Mampu Menolak Fitnah :
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :
“Barangsiapa membaca Surah Al-Mulk pada setiap malam, nescaya ketika dia mati tidak akan terkena bahaya beberapa fitnah.”
8.) Menaikkan Martabat Seseorang :
Sesiapa yang membaca Surah ini, maka kembalilah dia pada martabat yang tinggi, kedudukan yang maha besar dan tasarruf dia pada harta dan kedudukan.
Malah dia juga akan dikasihi di antara lelaki dan perempuan dan menjadi yang terhebat di antara lelaki dan perempuan.
9.) Mampu Menolak Bala dan Menyembuhkan Orang Sakit :
Sebahagian dari ahli Khawas berkata :
“Barangsiapa yang beristiqamah membaca Surah Al-Mulk, maka dia akan bertemu dengan beberapa rahsia yang banyak, bermanfaat bagi orang yang sakit, menolak bala, menolak musibah,
Dan tercapailah dia kedudukan yang baik dan lain-lain lagi dari pelbagai faedah dan manfaat apabila dibaca sebanyak dua ribu dua belas kali. Demikianlah disebutkan oleh Ibnu Mubarak.”
10) Hajatnya Akan Ditunaikan :
Sesiapa yang membaca Surah As-Sajadah dan Al-Mulk dalam Solat Sunat 2 Rakaat dan kemudian berdoa, maka Allah akan tunaikan hajatnya.
Sekian, semoga dapat diamalkan secara konsisten agar kita semua beroleh manfaat.
– Shada Mazan
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit