Al-Quran dan Universiti

Semalam dua messenger dan satu mesej di WhatsApp saya terima, bertanya soalan yang hampir sama.

Masing-masing bercerita persekitaran universiti, yang sangat menjadi cabaran buat mereka dalam menjaga ayat yang telah dihafal dan saya sendiri akui, betapa payahnya bila tiada suasana yang membantu.

Sejujurnya. Biarpun dulunya saya pelajar asasi pengajian islam, saya tercari-cari juga kekuatan untuk terus menjaga hafalan. Saat ini, tiada yang mengingatkan lagi berkenaan ayat hafalan.

Saya melamar seorang demi seorang pensyarah untuk perdengarkan ulangan saya. Alhamdulillah, dipertemukan. Namun seketika, disebabkan kekangan masa.

Saya juga seperti yang lain. Ada masanya, saya jatuh. Menangis sendirian, menyesal atas sikap sendiri. Istiqamah. Perkataan yang ringkas, namun payah untuk dilaksanakan.

Teringat saya dengan sebuah hadis yang menyebut :

“Di antara amalan yang Allah suka itu adalah amalan yang sedikit, tetapi istiqamah”.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sehingga suatu saat, saya muhasabah diri. Sampai bila terus mengharap pada yang lain untuk menjaga ayat-ayat Tuhan. Iya, memang payah.

Akhirnya, saya memilih untuk berada di dunia realiti. Di antara perkara yang saya lakukan :

Pertamanya. Doa yang tidak pernah putus.
اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِك.
“Wahai Allah, kurniakan kekuatan padaku dalam mengingatiMu, mensyujuri nikmatMu dan memperelokkan amalanku”

اللهم حرمني لذة معصيتك، وارزقني لذة طاعتك.
“Wahai Allah, haramkanlah keatasku lazat dalam kemaksiatan, serta rezekikanlah kepadaku lazat dalam ketaatan.”

Keduanya. Pastikan pagi, dimulakan dengan Al Quran biarpun satu muka surat sahaja.

Saya ulang sekali lagi, pagi.
Pagi, sebelum ke kelas.
Konsistenlah dengan satu muka surat setiap pagi sehingga merasakan tidak puas hanya dengan membaca satu muka surat sehari.
Lama-kelamaan, satu muka surat akan jadi kepada satu juz paginya. Percayalah.

Ketiganya. Jaga lisan.

Banyakkan istighfar semasa berjalan.
Belajar untuk puasa daripada mencarut.
Istighfar ini melembutkan hati, ia seolah satu magnet tarikan perkara baik untuk datang pada diri kita.
Rasa mudah nak baca Al Quran.
Rasa ringan nak solat di awal waktu.

Keempat. Berkawan dengan orang yang baik.

Cari kawan yang sentiasa ajak kita buat perkara baik, bukannya yang mengajak keluar dengan pasangan masing-masing.
Bukannya yang mengajak, merokok bersama-sama.

Kelima. Dengar ceramah agama.

Dalam sehari, pinjamkan lima minit untuk kita dengar peringatan kerna ia akan menghidupkan hati. Yang malas dalam beribadah, boleh jadi rajin.

Akhirnya. Al Quran ini diantara amalan yang terpantas dalam mengumpulkan pahala. Melihatnya sahaja, sudah dapat pahala. Apatahlagi, membacanya. Maka, berusahalah untuk mendampinginya.

Syaurah Ishak
Sedang berusaha untuk istiqamah.

– Syaurah Ishak.

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit