Alasan Kami OKU, Tak Layak Kerja Profesional

Terima kasih admin IIUM Confession & para pembaca sekalian.

Kisah ini sepatutnya saya tulis beberapa tahun yang lalu. Namun memandangkan terdapat banyak perkara yang terpaksa diutamakan, maka baru sekarang saya berkesempatan meluahkannya di sini.

Saya merupakan anak kelahiran sebuah negeri di Semenanjung, namun mendapat pendidikan rendah & menengah di sebuah negeri di bahagian Borneo. Ayah berkhidmat sebagai askar dan ibu hanya suri rumah yang bersama-sama membesarkan kami 5 orang adik-beradik.

Saya disahkan menghidap retinal pigmentosa ketika berada di IPTA yang ketika itu saya berusia dalam lingkunan 23 tahun.

Tahap penglihatan tersebut terus merosot walaupun pelbagai usaha perubatan moden dan tradisional telah dilakukan sehinggalah saya hilang penglihatan sepenuhnya ketika berusia 26 tahun.

Dalam tempoh berkenaan saya sempat menghabiskan pengajian saya di IPTA dalam bidang sarjana muda pendidikan.

Seperti biasa, dalam usaha membuat permohonan kerjaya sebagai seorang guru, pendaftaran serta pengisian dokumen yang diperlukan sama ada secara online mahupun borang bertulis telah saya dan keluarga buat sebaik mungkin sebagaimana yang dikehendaki oleh sistem.

Sehingggalah saya disahkan lulus serta layak melapor diri di Jabatan Pendidikan Negeri seperti yang telah dinyatakan dalam surat tawaran.

Adalah dimaklumkan juga pihak hospital juga membuat pengesahan dalam borang perubatan berstatus saya mampu bekerja dan tidak diganggu oleh masalah penglihatan yang dialami.

Maka pada hari melapor diri ketika itu yang memerlukan kami hadir ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) ketika itu, terdapat juga beberapa orang calon guru OKU lain yang senasib dengan saya turut saya temui. Ada antara mereka merupakan OKU fizikal dan OKU pendengaran.

Saya kurang pasti jumlah sebenar calon yang berstatus OKU ketika itu kemungkinan lima atau enam orang jika tidak silap.

Calon-calon guru yang lain telah mendapat penempatan sekolah masing-masing, namun kami calon guru OKU ini telah diberi sedikit berita yang kurang enak.

Pada masa itu, saya ada juga mendengar serba sedikit perbualan pegawai yang berbincang antara mereka mengenai penempatan kami sebagai calon guru OKU di sekolah. Rata-rata perbualan mereka menjurus ke arah tidak ingin menempatkan kami di sekolah arus perdana.

Dan yang peliknya juga adalah calon guru pendidikan khas juga ditanguhkan dulu penempatan sekolah mereka.

Setelah calon-calon guru lain keluar dari bilik tempat kami berkumpul, pegawai di PPD telah memaklumkan kepada kami calon para guru OKU bahawa penempatan sekolah kami ditanguhkan untuk sementara waktu dan akan dimaklumkan keputusan selanjutnya dalam masa terdekat.

Alasan mereka pada ketika itu ialah ingin bermesyuarat semula dengan pihak atasan termasuk JPN mengenai isu kami ini.

Dimaklumkan juga mereka tidak berani mengambil risiko menempatkan calon guru di sekolah atas alasan faktor kesihatan OKU selain konon-kononnya mencari langkah penyelesaian terbaik agar tidak membebankan guru OKU serta pihak sekolah.

Saya dan beberapa orang guru OKU di situ telah berdebat dengan para pegawai menggunakan bukti dokumen kelulusan pengesahan doktor hospital kerajaan yang menyatakan bahawa kami berstatus mampu bekerja serta tidak diganggu oleh faktor kesihatan mahupun OKU kami.

Kami juga berhujah dengan bukti kelulusan temuduga yang melayakkan kami ditempatkan bekerja sebagai gguru bertauliah di sekolah.

Namun para pegawai sengaja memutar-belit cerita untuk menutup bukti kukuh yang kami kemukakan. Sehinggakan ada pegawai yang membentak kami dengan kata-kata kesat, merendahkan kemampuan kami sebagai calon guru OKU.

Tapi siapa yang akan percayakan kata-kata kami seandainya diceritakan pada pihak luar?

Setelah usaha kami gagal, maka kami pulang dengan perasaan kecewa atas stigma dan prejudis pegawai terhadap status OKU. Apakah laporan perubatan doktor langsungg tidak bernilai dalam urusan sebegini besar?

Sejak dari tempoh berkenaan, kami berusaha mendapatkan update dengan menelefon pihak PPD dan JPN.

Namun pelbagai alasan diberikan kepada kami seperti “Kami akan bermesyuarat bulan depan dan nantikan keputusannya,”. “Ketua pegawai outstation seminggu. Belum dapat bermesyuarat,”.

“Maaf, kami masih menunggu jawapan daripada pihak atasan setelah bermesyuarat,”. Dan pelbagai lagi alasan lain selain pangggilan telefon yang perlu dihubungi berpuluh kali setiap selang beberapa hari / mingggu / bulan.

Dan setelah bertahun berlalu, perkara tersebut menjadi semakin merapu dengan alasan pegawai, “Maaf saya tidak tahu hal ini. Pegawai lama telah dinaik pangkat berpindah ke jabatan / unit lain,”.

Hebat bukan permainan mereka untuk tidak menempatkan guru OKU di sekolah ketika itu?

Bermula daripada alasan menanggguhkan penempatan, sehinggalah alasan bermesyuarat bertahun-tahun, lalu akhirnya hilang tanpa berita.

Oleh itu tidak hairanlah para OKU yang berjaya dalam bidang profesional terlalu sedikit walaupun kuota penggambilan pelajar OKU di universiti selalu diisi setiap tahun.

Marilah kita para OKU mendoakan semoga lebih ramai pegawai sebegini serta keturunan mereka yang turut menjadi OKU di masa akan datang. Biar padan muka mereka.

Saya betul-betul kecewa dengan polisi dan karenah birokrasi pegawai yang merapu sehinggakan saya mengalami depresi beberapa tahun lamanya. Sekarang saya berada di Kuala Lumpur berjual tisu serta makanan ringan di tepi jalan.

Hidup pun tidaklah sesusah yang dijangka kerana akan ada bantuan daripada orang sekeliling memberi makanan mahupun barangan keperluan harian. Elaun bantuan JKM yang diterima setiap bulan cukup untuk membayar sewa PPR serta urusan seharian.

Terpulang pada diri masing-masing memilih masa depan sendiri. Setakat ini saya bahagia dengan kehidupan saya. Di kesempatan lain, saya akan cuba kongsikan kisah rakan OKU yang saya temui di Kuala Lumpur.

– Bunga (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *