Allah Pasti Akan Balas Kezaliman

Nama aku Liza. Aku kenali H daripada salah satu platform media sosial yang terkenal. Awal perkenalan aku dengan dia, aku masih lagi dalam keadaan kecewa dengan bekas tunang aku yang dikahwinkan dengan orang lain.

Pada detik awal perkenalan aku dengan H, H sangat jelas dengan status diri aku dan H sendiri dengan jelas mengatakan yang dia juga punya pengalaman yang sama seperti aku. Oleh sebab itu, dia juga faham perasaan aku.

Aku yang pada waktu itu merasakan mungkin inilah hikmah kehilangan tunang, malah lebih menyakinkan bila H bersungguh meyakinkan aku yang dia hanya berkawan dengan seorang perempuan sahaja pada masa itu.

Hati aku girang. Gembira sangat sepanjang perkenalan aku dengan H.

H cukup baik melayan aku. Sentiasa berterus terang kemana dia pergi, dan yang cukup menyentuh hati aku bila H katakan yang dia sentiasa akan pulang ke kampung setiap bulan untuk menjenguk kedua ibu bapa dia.

Aku yang pada waktu itu cukup naif, aku percaya setiap kata-kata H bulat-buat.

Setiap 2 minggu sekali H akan sibuk menguruskan abang ipar yang pulang berkhidmat di luar negara, ke Rawang rumah abangnya untuk bersihkan halaman rumah dan akan pulang ke kampung untuk bertemu ahli keluarganya.

H akan gunakan alasan tentang ahli keluarganya untuk tidak bertemu dengan aku pada minggu-minggu sibuk dia itu.

Kuasa Allah melangkaui semuanya. Aku dapat tahu H rupanya selama ini menipu aku. Aku jumpa pakaian dan barangan perempuan dalam rumahnya.

Aku yang amat terluka pada waktu itu terus ke Ipoh berdepan dengan keluarga H untuk mengadu perbuatan H yang menipu aku selama ini.

Ya Allah kejamnya lelaki ini. Sanggup dia lukakan wanita yang sedang cuba untuk bangkit daripada kekecewaan dan menambah lagi kebencian aku pada lelaki.

Perjumpaan aku dengan keluarganya, H berbohong pada kakak dia yang dia tidak mengenali aku. Aku pada waktu itu tunjukkan semua bukti hubungan aku dengan H dan keluarga H mula percayakan aku.

Kifarah Allah, Allah maha Adil. Aku dapat maklumat tentang tuan punya pakaian perempuan yang aku temui dalam rumah H dulu.

Aku hubungi keluarga S untuk beritahu apa yang H pernah lakukan pada aku. Malangnya H seawalnya telah mengorak langkah untuk mengaburi mata S dengan cinta.

Aku ceritakan semuanya pada keluarga S dan aku harap jika H benar-benar jujur dan cintakan S untuk kali ini, benarkan mereka berkahwin.

Malah ketika S memaki hamun aku kerana telah pecahkan rahsia dia yang bersekedudukan dengan H pada keluarganya, aku turut mengatakan aku harap mereka bahagia dalam perkahwinan mereka.

Selepas mengenali keluarga S, aku terduduk bertafakur. Jauh dalam hati aku terdetik. Inilah kuasa Allah. Ternyata benar janji Allah selama ini. Ternyata H dan S sesuai bersama. Mereka datang daripada latar belakang keluarga yang hampir sama.

Malah mereka juga mempunyai perwatakan yang sama terhadap keluarga masing-masing. Allahu.. Allah tunjuk pada aku.. Aku sudah boleh agak jalan cerita hidup H selepas ini.

Buat mereka yang dilukai dek kezaliman seseorang, jangan bersedih lagi. Percayalah pada janji Allah. Yang menzalimi pasti akan Allah balas. Allah Maha Adil.

Atas semua kezaliman atas diri aku, aku jumpa jalan kembali kepada Allah. Aku mula rindu menangis dan merintih dalam solat. Lazatnya nikmat solat itu. Percayalah wahai hati yang terluka. Allah bersama kita. Bergembiralah!

– Liza (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *