Assalamualaikum semua pembaca IIUM Confession. Terima kasih Admin, siarkan cerita pendek mengenai jalan hidup saya. InsyaaAllah boleh dijadikan panduan mahupun teladan.
Saya adalah anak perempuan Bongsu dari 8 orang adik beradik. Seawal usia 4 tahun ibubapa bercerai dan ibu meninggalkan kami 8 adik-beradik di kampung bersama ayah dan mak tiri. Alhamdulillah Allah itu Maha Pengasih, walaupun kami dibesarkan dalam keluarga yang bercerai-berai kami adik-beradik mampu berdikari seawal usia saya 4 tahun.
Saya hanya bertemu ibu ketika saya berusia 19 tahun ketika itu saya melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma. Alangkah terkejutnya saya bertemu ibu dalam keadaan kurus kering kerana bergelumang dalam najis dadah. Ayah pula ketika itu masih bergelumang dengan gaya pergaulan sosialnya yang bebas bergirlfriend, berkahwin dan cerai. Kami pula pada usia muda sudah mulai berniaga dan bekerja sendiri demi kelangsungan hidup. Banyak pahit manis kami adik beradik dalam menempuh hidup.
Dalam pengajian ketika diploma, degree dan master dan ijazah kedoktoran (kini) saya ikat perut dan part time di kedai-kedai makan (zaman degree) dan pusat tuisyen pada setiap hujung minggu untuk menampung perbelanjaan.
Kesusahan hidup mengajar saya dan adik beradik untuk survive. Syukur, walaupun payah dalam menyambung pengajian. Rezeki Allah bagi dalam berbagai cara. Saya ditaja penuh kerajaan sehingga kini dalam pengajian. Banyak onak dan duri, ada adik beradik yang bergelumang dengan perkara yang haram disisi agama. Namun, Segala Puji Bagi Allah. Saya dihindarkan dari perkara tersebut untuk menjadi teladan kepada adik beradik.
Titik permulaan saya berubah menjadi insan yang lebih baik menjadi ikutan kakak dan abang-abang saya. Kini adik beradik telah berubah ke arah yang lebih baik. Walau tidak sepenuhnya. Syukur segala puji bagi Allah. Betul, jika mahu berubah, kita kena mula dulu. Yang lain akan menyusul. InsyaAllah.
Dan saya bersyukur. Alhamdulillah kini ibu dan ayah telah berubah kembali ke jalan yang benar. Merela mulai solat 5 waktu. Ayah yang dulu garang kini mulai menunjukan kasih sayang. Kuasa doa itu sangat hebat. Setiap hari saya berdoa siang dan malam agar diri saya sendiri dan keluarga diberikan hidayah dan rahmat. Walaupun lambat, ianya datang dengan tepat. Allah Maha Besar.
Dalam hidup ini, saya belajar untuk menerima ketentuan Qada dan Qadar. Jika di sekolah, ibubapa akan menghantar dan melawat anak-anak mereka. Tapi saya tidak. Sehingga kini, saya yang melawat kedua orang tua dan cuba penuhi keperluan mereka. Namun saya bersyukur atas kekuatan yang Allah beri kepada kami adik beradik untuk berbakti kepada orang yang melahirkan dan membesarkan kami. Manusia bukan semua sempurna, silap salahnya kita jadikan ujian untuk kita menjadi lebih sabar.
Saya juga belajar nilai untuk menerima kelemahan diri dan orang lain. Kita buat dan berubah dahulu, kemudian adik beradik akan ikut. Betul, ianya berkesan. Buat dan lihat hasilnya. Zikir kepada Allah untuk dipermudahkan segala urusan.
Allah menjadi tempat saya meluahkan segala tekanan, kesedihan dan tempat meminta. Dhuha, Tahajjud itu menjadi kemestian. Alhamdulillah, kehidupan saya sentiasa dipermudahkan.
Buat rakan-rakan, yang mengalami nasib yang sama, keluarga yang bercerai berai. NASIHAT SIS, jangan salahkan kedua ibubapa, jangan salahkan takdir. Cuba untuk keluar dari kesusahan tersebut. Jadi anak yang baik. Berdikari sendiri dan buktikan kamu boleh menjadi diantara yang terbaik. Allah menguji Insan yang hebat untuk kita lebih dekat dengannya.
Doakan saya terus kuat ya. Kini sedang bertarung menghabiskan pengajian ijazah kedoktoran dalam masa yang sama sedang mengumpul wang untuk membawa emak dan ayah menunaikan Umrah tahun ini, InsyaaAllah. Kalau ikutkan hati mahu saja berhenti belajar, atas permintaan kedua orang tua untuk saya melanjutkan pengajian saya turutkan sahaja. Mereka tidak beri wang mahupun kemudahan, tetapi dengan doa mereka menjadikan saya insan bertuah.
Allah sentiasa bersama orang yang sabar.
– Nur
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit