Allah Sentiasa Di Sisi

Pagi sapu sampah, tengah hari cuci tandas dan malam jadi jaga. Daripada pengurus, kemudian berniaga sendiri akhirnya kembali menjadi kuli. Demi sesuap nasi, saya redha.

Kisah belasan tahun lalu, di mana saya di Johor bertugas sebagai jurujual. Tanpa diduga, syarikat jualan telah memanggil saya kembali bertugas ke Kuala Lumpur dan dilantik sebagai Pengurus Operasi. Lama kemudian, saya membuka perniagaan sendiri bersama rakan kongsi. Kisah indah ini tidak bertahan lama.

Pada tahun pertama, kami berjaya ‘menggapai’ bintang. Saya sewa tapak pameran, dan perniangaan sangat-sangat menguntung. Kami rasa ‘mewah’ seketika. Namun disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari, tahun berikutnya perniagaan saya mula ‘lemas’ kewangan.

Waktu itu, musim gawat. Tidak ramai yang sanggup berkorban untuk membeli barangan yang saya jual.
Lebih baik mereka menampung kehidupan dan melapikkan perut yang kosong. Sampailah ke penghujung tahun, perniagaan saya jatuh ‘tersungkur’. Sungguh kecewa dan rasa putus asa kemudian menjelma.

Dari atas saya naik, kemudian jatuh merudum. Lalu saya kutip semangat yang jatuh berkecai satu – persatu dan saya cuba memupuk hati yang lara. Saya panjatkan kesyukuran kepada Allah, kerana saya masih mendapat hidayahnya.

Bayangkanlah dalam keserabutan itu, pelbagai idea-idea iblis menjelma, seperti merompak, mencuri, menipu, buat kerja-kerja kotor seperti jual dadah atau paling mudah membunuh diri. Itulah jalan cepat untuk kaya dan jalan cepat untuk mati.

Nasihat-nasihat itu, alhamdullillah tidak pernah saya ikuti dan termakan oleh nurani. Dalam kecundang, saya memanjatkan doa bertali arus, sama deras dengan air mata membasah pipi.

Mohon kepada Illahi, agar menolong diri ini, daripada tersembam ke bumi dan tidak bangkit lagi. “… dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah.

Tanpa memilih kerja dan malu di muka, saya memohon, bekerja di sebuah Resort sederhana sebagai pekerja am. Dengan berbekalkan gaji RM680.00 sebulan, saya redha dan cuba menahan diri.

Daripada pengurus, berniaga sendiri akhirnya kembali menjadi kuli. Daripada ‘Hero ke Zero’ semula. Daripada ada, kembali kepada kosong.

Daripada di puncak, kini di curam, saya redha kerana ini ujian untuk saya. Dan saya mesti bangkit dan terus bangkit lagi.

Saya ketepikan rasa malu dan tabahkan hati. Ya, sebenarnya perasaan malu tidak dapat memberi apa-apa makna dalam hidup apatah lagi memberi kita segumpal wang untuk meneruskan kehidupan.

Selaku pekerja am, saya berkerja dari awal pagi menyapu sampah-sarap dan membuang daun-daun kering di seluruh resort. Menjelang tengah hari saya perlu mencuci tandas, bilik air dan membuat kerja-kerja mengemas bilik penginapan – ‘house keeping’ pula.

Betulkan katil, ganti cadar lama ke cadar baru. Vakum dan mop lantai sekurang-kurangnya 20 bilik. Pastikan jamban tidak tersumbat dengan aneka sampah dan najis, itulah kerja hakiki saya.

“Biarlah susah, Allah kan ada. Janji halal dan tak susahkan orang. “…yang penting…dapat tampung susu anak,” pujuk rayu hati saya agar air mata ini tidak tumpah.

Paling mencabar dan tidak tahan, ketika membuat kerja-kerja kebun seperti mencangkul di waktu bulan puasa. Ada sekali, saya dan rakan sekerja diarah mengorek tanah, seluas kolam kecil di kala tengah hari.
Saya sudah hampir-hampir berbuka puasa, tak tahan rasanya. Rakan saya juga turut ‘meracun’ nafsu, apabila bersedia untuk membeli sebotol air sejuk bergas di kedai.

Akhirnya, saya ambil keputusan, merebahkan diri di tepi tanah itu untuk melepakkan mata, kerana kepenatan yang amat sangat. Dan alhamdulillah, lena dan tidur kurniaan Allah itu, tidak jadi saya berbuka puasa, termasuk rakan saya.

Tidak cukup dengan itu, ada pelanggan yang memandang sinis, merenung mata dan mengarah membabi-buta, lantaran tugas saya hanya sekadar kuli.

“Tak ada air panas ke resort ni? Saya hari-hari mandi air panas tau. Sekarang saya nak awak masak dan jerangkan air panas untuk saya!” kata seorang peserta kursus yang menginap di resort ini. Itu hanya satu, daripada 1,000 ragam yang saya temui setiap hari.

Daripada Zero ke Hero Kerja saya pula tidak terhenti selepas jam 5.00 petang.Saya kembali pula ke resort pada 11.30 malam untuk menjadi pengawal keselamatan pula, untuk mendapat sedikit wang tambahan sebagai upah.

Bermula tengah malam sehingga subuh hari. Nyawa adakalanya terancam dan malam hari sering diganggu dengan bunyi-bunyi misteri sehingga esok hari. Kini saya faham -sangat perasaan watak-watak yang berkerja sebagai kuli ini.

Allah beri saya secebis ilmu, untuk selami denyut nadi, rakyat marhaen kepada saya. Mereka juga ada jiwa dan rasa. Mereka juga dilahirkan manusia. Ada masa mereka juga turut tersinggung apabila dihina dan tidak diberi perhatian. Setiap kali menyapu, hati akan sayu bila melihat, orang membuang sampah sesuka rasa. Tiap kali mencuci, rasa pedih di hati melihat manusia membuang najis merata-rata.

Dan tiap kali mengawal dan menjadi jaga, saya rasai debaran di hati mereka, yang resah menanti musuh yang tiba-tiba menerpa.

Dari situ, saya belajar untuk tidak menghina sesiapa pun, baik tutur, baik warna kulit, baik agama atau apa jua perkerjaannya, saya hormati, kerana mereka mencari rezeki yang halal, sesuap nasi untuk isteri dan anak-anak dikasihi. Jangan cerca dan caci mereka, mereka juga manusia seperti kita, hanya membuat kerja yang diarah semata.

“Azamin, sudah sampai masanya awak berhenti dan mencari peluang kerja yang lebih baik kerana awak mempunyai potensi besar di luar sana. “Di sini, awak tidak akan berkembang ke mana-mana dan kerja ini tidak sesuai untuk awak,” kata penyelia

Lebih menyayat hati, Tuhanku, Allah tidak pernah meninggalkan saya, apatah lagi ketika saya benar-benar menderita. Allah sentiasa mendengar keluh kesah hati.

Dengan izin dan bantuan Tuhan, saya menapak kembali dari “Zero menuju ke Hero” semula, berdikit-dikit walaupun sakit…

“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal.” -Surah At-Taubah ayat 129 Dan jangan pernah berputus asa dalam memohon rahmat-Nya.

Selagi hayat dikandung badan, selagi ibu perlukan kasih anak, selagi isteri dambakan cinta suami, selagi cahaya mata mahukan belaian ayahnya dan susu untuk perutnya…..selagi itulah saya terus bangkit …
Sama ada daripada ‘zero ke hero’, atau ‘hero ke zero’, Allah sentiasa di sisi.

Setelah merenung kembali tahun tahun berlalu dan ujian yang dilintasi, sesekali air mata membasahi pipi, alhamdulillah saya masih di sini, mampu mencebis sedikit motivasi supaya yang lain jangan bersedih hati.

(Allah Tolong Saya Dan Kita Semua)

– AZAMIN AMIN

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *