Hari ni aku nak kongsi mengenai pengalaman dan perjalanan hidup yang aku tempuhi setakat ini, yang tidak mampu aku fahami aturanNya, dan yang mendidik aku menjadi diriku yang sekarang.
Jujur aku katakan, sebelum ini aku boleh di kategorikan sebagai manusia perasaan pandai dan perasan bagus. Namun tidak pulak ada unsur berlagak sehingga menyakiti orang lain secara berdepan.
Akan tetapi aku mempunyai satu sifat yang seperti campak la aku kat mana pun aku boleh hidup, masuk la kelas apa pun boleh berjaya, belajar la apa pun boleh skor, kerja lah apa pun boleh perform. Sekali baca sifat ni seperti satu sifat positif yang memberi semangat pada diri. Sifat yang mempunyai konfiden diri yang tinggi.
Akan tetapi aku sedar, kerana sifat ini la, aku memandang remeh orang lain, aku memilih dalam berkawan, dengan kata lain, aku tak berapa layan kalau orang slow yang lambat pick up. Kalau yang tak perform dalam kerja or study tu lagi lah.
Dalam bergaul, aku senyap bila yang kurang cerdik bercerita, bagiku otak level tak sama, pemikiran dia cetek, pendapat tak boleh pakai, malas nak dengar.
Aku jadi riak. Riak yang tanpa kata kata. Riak dalam diri. Aku rasa aku hebat. Aku rasa lepas tamat belajar, aku akan jadi antara manusia yamg berjaya, bergaji besar, dikagumi sahabat2 zaman belajar.
Itu semua bayangan aku.
Mula alam pekerjaan. Perlahan lahan aku diuji dengan kehebatan diri aku. Tahun pertama hingga hari ni, dah kira2 4 tahun graduasi, resume aku hebat macam thesis tahun akhir, muka manusia dewasa, matang bertutur, english tersusun, mahir teknologi, email professional, tapi dalam 4 tahun satu interview pun tak dapat.
Aku masih bangga diri, dalam hati berkata, ni kalau satu interview je dapat, dah konfem boleh dapat kerja. Ada dapat? Haram habuk pun tak da.
Bila orang tanya pasal kerja, muka buat rilek dan senyum sinis, dalam hati, sibuk tanya kerja aku, kerja kau pun cashier je. Padahal aku? Interview cashier pun tak dapat. Bila tak dapat kerja cikai, aku salahkan ijazah, orang tak nak amik graduan untuk kerja biasa. Sekali lagi.. Bukan salah aku.
Lama jugak perangai tak guna ni berterusan. Sehingga satu tahap aku sujud menangis sebab nak kerja. Mintak ampun dengan tuhan. Mintak tunjuk salah aku, kenapa langsung tak ada kerja.
Alhamdulillah, selang berapa hari dapat kerja. Kerja biasa gaji paling minimum.
Namun, sepanjang aku bekerja dengan jawatan paling rendah dan gaji biasa, mula rasa dipandang enteng oleh sedara mara. Aku mula tahu dan faham bila dihina, bila orang lain yang lagi bodoh dari aku boleh maki aku sesukanya, bila darjat tu dibawah tapak kaki mereka, dan aku tak boleh resign! Kalau resign mati aku nak cari kerja lagi.
Aku tak boleh demand. Jadi aku mula belajar redha, belajar jadi kuli, belajar bercakap dengan orang kurang pandai, belajar bergaul dengan mereka yang otaknya tak sama level.
Bertahun jugak kena basuh, brainwash dengan Tuhan, sehingga aku menjadi seorang introvert, pendiam, pendengar. Faham sekeliling. Faham situasi mereka yang berbeza dengan aku.
Perlahan lahan, aku mula guna peluang yang ada. masa yang ada untuk belajar dan baiki bekalan akhirat. Aku dapat pergi solat zohor jemaah setiap tengahari. sebabnya? aku tak ada kawan untuk makan tengahari bersama. Aku berubah menjadi yang lebih suka menyendiri.
Aku tidak merasa bebanan kerja, kerana kerja rutin kerjaku terlalu mudah. Jadi waktu malam aku hadiri kelas mengaji. Sudah lama ingin aku betul kan bacaan Al Quran aku. Last aku berguru pada darjah 5. Jadi sudah pasti bacaan ku teruk sekarang. Alhamdulillah. Allah temukan dengan satu kelas mengaji percuma, dibawah bimbingan ustaz yang sangat2 berilmu kukira. Ustaz Zubair, Masjid Tepian Putra Kuantan.
Dalam kelasnya, ustaz sering selitkan kisah serta nasihat dalam kehidupan seharian. Tujuan kita hidup didunia, matlamat sebenar kita diberi nyawa.
Kita dah jauh menyimpang. Sangat jauh dari Al Quran. Kata ustaz, jikalau dahulu, Nabi belajar Al Quran berpuluh tahun sehingga wafat. Daripada siapa? daripada Jibrail. Saya? Cuma 5 tahun zaman sekolah rendah. Kelas tahfiz petang. Kemudian dah baca sendiri, langsung tak ada inisiatif cari guru. Hebatnya saya.
Kita ada 24jam sehari. Bangun pagi pergi office, kerja sampai 6 petang (urusan dunia). Malam? uruskan anak2, habis kan masa dengan keluarga, kalau bujang keluar dengan kawan2 (urusan dunia). Jadi mana balance nya dunia dan akhirat? berapa percent urusan akhirat? solat 5 waktu, ( itu pun kadang2 lewat)
Nampak tak jauh sangat. Tersangat jauh kita dengan agama, jauh dengan Tuhan, maka jauhlah kita dengan syurga.
Saya cerita berdasarkan pengalaman saya. Pengalaman hidup saya yang diatur Tuhan. Saya nak kongsi sebab saya tahu ramai yang kat luar sana senasib dengan saya. Bukan dari segi sukar kerja, tapi dari segi jauhnya Tuhan, jauhnya agama.
Oleh itu saya nak ajak, kita betul kan salah satu sama2, sama ada solat dengan sempurna atau Al Quran dengan bacaan sempurna.
Kalau tak mula sekarang bila lagi. Cari guru atau kelas untuk belajar. Bila ada kelas kita lebih senang istiqamah. Kalau tak pergi kelas, malu sebab guru dah kenal. Belajar dengan guru yang mengaji dengan betul, bukan sekadar boleh mengaji.
Kita bukan budak2 baru nak kenal huruf. Kita dah dewasa, level gurunya tak sama.
In shaa Allah, saya doakan yang membaca ini dikurniakan hidayah dan inayah untuk memperbaiki agama dalam diri kita. membaiki agama secara rela dan hati terbuka tanpa paksa. Kerana hidayah dan inayah itu dari Allah hanya untuk mereka yang dikehendaki Nya.
Sekian, moga kita sama sama usaha dan Allah terima.
– Jojo Arsyid
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit