Assalamualaikum semua warga iiumc. Seperti tajuk di atas buat aku terfikir sesuatu pada pagi hari minggu dalam perjalanan beli nasi lemak.
Sungguh dalam hati seakan-akan ada bisikan untuk mengerjakan solat sunat Dhuha, malah terbangun jam 5 pagi juga seakan-akan ada panggilan mengerjakan tahajud tetapi kembali tarik selimut sambung tidur.
Sekian telah lama aku tinggalkan semua amalan-amalan sunat kerana apa? Kerana satu ayat dari influencer-influencer terkenal iaitu “kita ni buat solat & amalan-amalan sunat lain semata-mata sebab dunia. Nak kejar dunia”. Sambil tersenyum.
Tak tahu kenapa, tapi bagi aku, aku rasakan senyum tersebut penuh dengan sinis. Memang betul pernah ketika aku rasa berada dalam situasi yang sempit aku lakukan amalan-amalan sunat.
Dari ayat tersebut aku rasa terpukul dan terus aku tinggalkan amalan-amalan sunat sebab aku tak nak lakukan ibadah kerana mengharapkan dunia sahaja. Tapi sampai bila?
Sudah berbulan-bulan, aku lupa bila kali terakhir aku lakukan amalan-amalan sunat. Aku menunggu nanti bila aku dapat hadirkan hati aku pada Illahi kerana akhirat baru aku lakukan amalan-amalan sunat tersebut. Allahu.
Tapi adakah salah kalau kita meminta pada Allah, tak salah kan? Kepada siapa lagi nak meminta kalau bukan kepada Allah? Kepada siapa lagi kita boleh bergantung harap? Sampai bila nak berpaling dari Allah bilamana kita dapat Khabar insan-insan yang meneruskan perjalanan ke rahmatullah dalam sekelip mata.
Tidur malam berteman pasangan bila bangun malam keesokan hari celik sahaja sudah bermalam di dalam kubur dalam sekelip mata. Meninggalkan dunia tanpa sempat berwasiat. Betapa satu hari sudah cukup untuk hantar kita ke tempat yang jauh dari alam dunia ini.
Mungkin influencer tu tak salah cakap macam tu. Aku yang patut salahkan diri sendiri. Mungkin aku patut ambil pendeketan yang lain. Mungkin aku ni cepat koyak.. Huhu..
Berbeza bilamana aku dengar ceramah ulama dari luar negara. Betapa kita dianjurkan untuk selalu bergantung pada Allah pada setiap waktu dan keadaan tidak pernah lagi ku dengar mereka menyindir andai kita melakukan ibadah-ibadah sunat kerana dunia.
Sebaliknya mereka terus menerus mengingatkan tentang kelebihan solat tahajud dan Dhuha.
Andai ada hajat hanya kepada Allah Yang Maha Kuat kita memohon tetapi dalam masa yang sama dengan penuh lembut mengingatkan tentang akibat yang buruk bila berlebihan dalam mengejar dunia.
Sememangnya hati aku rasa sangat tertarik dengan dakwah seperti itu. Membuatkan hati jadi rindu untuk tahajud kerana Allah juga rindu pada hamba-hambaNya.
Ok guys, dalam mana aku meluahkan kali ni aku temukan sesuatu yang aku lupa iaitu dakwah-dakwah yang lembut dengan suara yang lunak dalam English yang aku dengar suatu ketika dahulu. Rasa nak nangis ni. Nak bukak balik YouTube untuk cari balik dakwah-dakwah seperti itu.
Dengar dakwah seperti itu buat aku rasakan yang syurga itu adalah tempat yang nyaman dan Sejuk, penuh dengan keindahan. In Sha Allah lepas ni diberikan kekuatan untuk tahajud dan amalan-amalan sunat yang lain.
Mohon ampun atas kurang atau lebih dalam penulisan kali ini. Semoga kita sama-sama diberikan kekuatan oleh Allah untuk terus melakukan kebaikkan sampai kepada penutupnya adalah husnul khatimah. Aamiinn.
Salam sayang,
– Khatimah cinta (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit