Amalan Berkongsi Boleh Mendatangkan Syahwat

Assalamualaikum MS. Saya ada anak dara bongsu mencecah umur 17 tahun.

Anak dara saya dengan isteri sering berkongsi barang peribadi termasuk minyak wangi, bedak, pakaian dalam (sebab selalu anak masuk bilik cari pakaian dalam maknya) dan baju tidur. Anak saya juga dah mula pakai pakaian maknya masa muda-muda dahulu.

Bila saya pandang, terdetik rasa macam tengok isteri zaman muda dulu. Badan dia pula tak lari macam isteri waktu muda dulu. Saya tahu tak salah kongsi semua tu tapi masalahnya itu adalah daripada diri saya sendiri.

MS tau? Bila saya peluk anak time nak gi sekolah (memang rutin dari kecil) terasa macam peluk isteri saya masa muda-muda dulu. Bila cium dahi anak, terbayang isteri saya waktu mula kami kahwin dulu.

Yang lebih menakutkan, bila isteri pakai minyak wangi anak, waktu bersama isteri saya boleh terbayangkan wajah si anak. Saya takut dengan diri saya sendiri. Saya juga sudah mula menjauhi diri dengan anak dara saya.

Anak dah mula tunjukkan perasaan sedih apabila saya menolak untuk memeluk nya seperti biasa dengan pelbagai alasan. Apa perlu saya buat?+

—–

Agak terkejut saya bila baca masalah yang dihadapi oleh sahabat saya ni. Sebab ianya sesuatu di luar pemikiran kita yang normal.

Jawapan saya –

Masalah yang sedang dihadapi oleh kawan saya ni agak luar biasa. Mungkin disebabkan kita jarang mendengarnya tetapi apabila sudah ada yang sanggup bercerita untuk berkongsi masalahnya,

Saya yakin pasti di luar sana ada lagi yang mempunyai masalah yang sama. Cuma mereka malu hendak berkongsi untuk mencari solusi kepada masalah mereka atau mereka sudah selesa dengan perkara tersebut… Astaghfirullahalazim…

Saya juga yakin ini adalah salah satu punca kes sumbang mahram yang sedang melata sejak dahulu sehingga hari ini.

Para pembaca yang saya hormati…

Laknatullah tidak pernah jemu mengetuk pintu ‘nafsu’ anak adam supaya menghampiri zina kerana perbuatan zina itu merupakan dosa besar yang tidak akan diampunkan kecuali dengan taubat nasuha. Sebab itu ada dalam Al-Quran menyebut…

“Janganlah kalian mendekati zina.” (Surah al-Isra’: 32)

Nabi ﷺ juga bersabda:

“Setiap anak Adam ada bahagiannya daripada zina, kedua-dua mata berzina dan zina keduanya adalah melihat (kepada sesuatu yang haram). Kedua-dua tangan berzina dan zina keduanya adalah memegang (kepada sesuatu yang haram atau menggunakannya secara salah).

Kedua-dua kaki berzina dan zina keduanya adalah berjalan (ke tempat yang haram). Mulut berzina dan zinanya adalah mengucup (sesuatu yang haram). Hati menginginkan sesuatu dan kemaluan akan membenarkannya (iaitu dengan melakukan zina) atau mendustakannya (dengan tidak melakukannya).”
(Hadis Riwayat Imam Muslim dan Imam Al-Baihaqi)

Apabila syahwat mula tumbuh dalam pelukan seorang ayah setiap kali melihat atau menyentuh si anak, itu bukan lagi kasih sayang seorang ayah kepada anaknya, tetapi telah menjadi laluan kepada sumbang mahram.

Sebab itu Islam meminta kita menjaga batasan pergaulan walaupun dengan mahram sendiri.

—–

Jadi tak boleh lah berkongsi atau mengizinkan anak memakai baju lama-lama si ibu?

Berkongsi baju, bedak atau minyak wangi antara ibu dan anak bukan satu dosa. Memberi anak baju lama-lama ibu juga tak salah. Soalnya sekarang, sejauh mana kita kenal nafsu suami sendiri? Sejauh mana kita faham fitrah lelaki bergelar ayah? Bimbang sekiranya…

Syaitan ambil peluang apabila kita lalai.

Hadis Nabi SAW:

“Sesungguhnya syaitan itu berjalan dalam tubuh anak Adam seperti mengalirnya darah…”
(HR Bukhari & Muslim)

Bila ada kelalaian dalam adab dan aurat dalam rumah, syaitan akan bisik dan jadikan suasana biasa jadi fitnah nafsu.

Syahwat suami/ayah tiba-tiba naik pada anak.

Psikologi lelaki terhadap imej dan bau. Lelaki lebih cepat terangsang secara visual dan bau. Jadi apabila melihat anak memakai baju ibu atau sebaliknya ia boleh merangsang nafsu ayah yang lemah iman.

Apatah lagi jika si ayah ada masalah nafsu songsang atau kerap melakukan aktiviti zina diluar pengetahuan si isteri, dia akan mudah terkesan dengan rangsangan yang ada di depan mata walaupun itu adalah anaknya sendiri. Adakah kita kenal nafsu suami kita sepenuhnya?

Terjadinya sumbang mahram, lebih sedih jika dua-dua rela.

Adab rumah tangga dalam Islam. Dalam Islam sudah diminta untuk berasingan bilik, jaga aurat walaupun sesama keluarga. Bukan sebab tak percaya tapi nak elakkan laknatullah mengetuk pintu nafsu sesama sendiri.

“Perintahkan anak-anak kamu bersolat ketika umur 7 tahun, dan asingkan tempat tidur mereka ketika umur 10 tahun…”
(HR Abu Daud)

Bernafsu tidak berdosa, tapi bila kita membenarkan nafsu menjadi raja dalam diri, maka akan ranaplah iman.

Seorang suami pasti ada memori tersendiri tentang isterinya pada zaman muda. Bila anak perempuan pakai baju lama isteri walaupun tanpa niat apa-apa, pasti akan terbit lintasan di hati si suami tentang masa lampau berkasih sayang dengan si isteri.

Apatah lagi jika rupa anak dan isteri ada persamaan. Hati mula berbisik…

Cantiknya macam mak kau masa muda.

Wah dah macam body mak kau muda-muda dulu.

Terbayang masa mak kau muda-muda dahulu.

Ini menunjukkan kenangan lama sedang hidup kembali, dengan ‘kelahiran baru’ (anak pakai pakaian mak yang pernah ‘menggoda’ satu masa dahulu).

Lelaki fikir itu normal, tapi sebenarnya hati dan pandangan sudah keliru antara kasih sayang ayah dan kisah silam bersama isteri yang tak akan padam. Laknatullah pun mula meniup bisikan.

“Lihatlah anak itu miliki tubuh yang pernah kau idamkan dahulu…”

Apabila laknatullah berjaya menguasai nafsu percayalah bahawa dari pandangan kasih seorang ayah akan berubah jadi pandangan syahwat walaupun belum berniat jahat namun rasa berahi mula bertunas dan itu sudah cukup untuk membuka pintu dosa yang lebih besar.

Laknatullah tidak perlu bogelkan anak. Cukup dengan pakaian lama ibu dan bau tubuh anak yang menyerupai ibu akan menjadikan ayah keliru antara kasih ayah ataupun nafsu berahi.

Nasihat saya kepada wanita yang bergelar ibu, mulai hari ini jangan biasakan anak memakai baju kita apatah lagi baju-baju lama yang ada kenangan bersama si suami contohnya baju nikah, blaus tidur dan sebagainya.

Asingkan almari, wangian dan bedak. Didik anak punya ruang sendiri. Jangan berkongsi barang peribadi kita dengan anak dara lebih-lebih lagi pakaian dalam

Ajar anak ada perasaan malu kepada Ayahnya sendiri, didik dia berpakaian sesuai ikut usia walaupun dengan mahram sendiri bagi mengelakkan timbulnya syahwat di kalangan ahli keluarga.

Bergitu juga dengan di anak.

“Hiasilah diri dengan malu kerana ia adalah perisai seorang wanita.”

Wangian juga jangan serupa wangian ibu kerana bimbang boleh merangsang nafsu berahi ayah apatah lagi jika ibu memakainya untuk bersama ayah. Bau yang sama, tubuh yang berbeza. Jangan jadi asbab tergelincirnya iman ayah.

Jangan paksa ayah untuk bermanja-manja berlebihan walaupun itu adalah rutin harian sedari kecil. Apabila sampai usia baligh, seharusnya adakan jarak dan batas pergaulan dengan ayah dan saudara kandung lelaki bagi mengelakkan timbulnya nafsu berahi sesama sendiri.

Bagi si ayah…
Anak itu amanah. Lebih-lebih lagi anak perempuan kerana anak perempuan merupakan ladang pahala buat si ayah jika berjaya mendidik mereka menjadi solehah.

Di dalam keluarga ayah merupakan seorang yang wajib melindungi, mempertahankan maruah keluarga dan menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga.

Rasulullah ﷺ bersabda:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan ditanya tentang kepimpinannya.”
(HR Bukhari & Muslim)

Ayah wajib alih pandangan dan istighfar bila terasa ‘rindu’ pada isteri zaman muda dahulu. Lawan syahwat itu. Pandang anak sebagai amanah, bukan bayangan cinta samalam.

Terangkan pada anak tentang aurat dan batasan bila bersama mahram di dalam rumah.

Berpakaian biasa dan sopan takkan merangsang lelaki yang waras, sihat iman dan akalnya. Tetapi jika tetap terjadi, puncanya adalah laknatullah yang tidak akan pernah berhenti menggoda anak Adam supaya melakukan dosa.

Untuk melindungi diri daripada perbuatan terkutuk, amalkan membaca doa ini setiap kali selepas solat fardu, sunat atau bila-bila masa sahaja.

—–

Doa Perlindungan Jiwa dan Syahwat

Bismillahirrahmanirrahim…

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ مُنْكَرَاتِ الْأَخْلَاقِ وَالْأَعْمَالِ وَالْأَهْوَاءِ

Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu dari akhlak, perbuatan, dan hawa nafsu yang mungkar… Aamiin..

—–

Akhir kata daripada Mayang Sari Tulis. Didik lah nafsu kita supaya hidup akan lebih tenang dan bahagia. Siapa yang membunuh jiwanya dengan nafsu, dia telah membunuh keluarganya dengan aib dan siapa yang menundukkan nafsunya, dia telah menyelamatkan maruah keturunannya

Ikutkan rasa, binasa
Ikutkan hati, mati
Ikutkan nafsu, lesu…
Assalamualaikum…

– Mayang Sari Tulis (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *