Assalamualaikum…terima kasih jika admin sudi post penulisan adik ni. Adik masih usia belasan tahun dan bersekolah menengah. Dan sejujurnya adik tidak layak langsung untuk membuka isu ini.
Adik harap sangat penulisan ni sampai pada ibu bapa kat luar sana. Adik minta maaf, tapi adik tak rasa isu pengabaian anak patut diambil endah.
Adik dibesarkan dengan keluarga yang sangat sederhana; alhamdulillah makan, pakai, pelajaran kami serba cukup meskipun tidak bermewah-mewah. Umi dan Abi adalah insan sangat-sangat penting dalam hidup kami semua adik beradik.
Kedua-dua ibu bapa adik banyak berkorban untuk kami. Mereka yang sebenarnya berpelajaran tinggi di luar negara dan berjawatan tinggi di tempat kerja akhirnya memilih untuk berhenti bagi membesarkan kami dengan sebaiknya.
Kami tinggal di kawasan kampung. Umi suri rumah, manakala Abi membuka perniagaan kecil kecilan.
Kehidupan kami yang adik beradik ramai dibesarkan 100% oleh umi dan abi. Peribadi kami dicorak mereka sebaiknya. Dari belajar mengaji, membaca, solat, pelajaran sekolah dan sebagainya.
Adik sering dengar dari rakan-rakan adik mengenai hidup mereka di rumah. Ibu bapa mereka doktor, peguam, hakim, CEO syarikat dan pelbagai lagi yang amat mengagumkan adik.
Rasa hebat berada dalam kalangan orang yang hebat hebat. Namun hidup manusia bukan semuanya indah bukan?
Ada rakan adik yang cemburu adik dapat memasak dan makan bersama-sama keluarga setiap hari. Kata dia, dia hanya dapat merasai air tangan ibunya hanya berapa kali sahaja setiap tahun.
Malah ada rakan adik yang lain yang hanya dapat menemui ibu bapanya sekali sahaja setiap hari iaitu sebelum ke sekolah.
Kedua ibu bapanya merupakan doktor pakar di hospital besar, pergi awal pagi dan pulang hanya ketika dia sudah tidur.
Ada rakan lain yang mengalami depression, mengapa? Usah cerita, kisahnya sama sahaja. Hanya menginginkan secebis perhatian.
Namun rakan-rakan adik semuanya matang, mereka menceritakan semua ini dengan senyuman…katanya mereka sudah terbiasa atau mereka sudah faham akan tanggungjawab ibu bapa mereka.
Namun, adik tahu, jauh di dasar hati mereka turut mahukan sepenuh perhatian. Aktiviti solat fardu berjemaah sekeluarga atau menonton tv bersama sudah memadai bagi mereka.
Adik pernah mengenali seorang pelajar lelaki semasa di bangku sekolah rendah. Hafiz (bukan nama sebenar) terkenal sebagai budak nakal. Tiada cikgu yang menyukainya kerana selalu buat masalah di sekolah.
Namun, sebenarnya disebalik sifatnya yang begitu adalah problematic family. Tak ramai yang tahu bahawa ayah hafiz merupakan seorang penagih.
Ibunya pula tidak mengambil endah hidup mereka adik beradik. Nak pergi sekolah, pergi. Tak nak sudah. Asal tidak menyusahkan hidup ibunya. Kalau tak silap adik… hafiz ada 3 beradik, semuanya lelaki.
Hari untuk menduduki upsr, Hafiz tidak hadir. Begitulah juga hari-hari seterusnya hingga adik tamat sekolah. Adik pernah rasa nak menangis terdengar perbualan beberapa orang guru di suatu ruang bilik sebelum masuk ke dewan peperiksaan,
‘Huhh…biarlah budak tu! Siapa suruh taknak datang sekolah sangat!’ ada beberapa lagi perbualan diaorang yang sempat adik dengar sebelum masuk dewan.
Bukan cikgu terlalu membenci atau bersikap negatif, tetapi mungkin sudah terlalu penat untuk membantu. Malah, jika ibu bapanya sudah begitu, apa lagi kuasa seorang guru?
Adik selalu terfikir, bayangkan lahir dengan kedua ibu bapa yang sebegitu, ditambah pula dengan masyarakat sekeliling seperti guru dan penduduk kampung yang memandang serong.
Tak ada langsung ke peluang untuk seorang kanak kanak 12 tahun seperti dia?
Setahun selepas tu adik pernah ternampak dia dipasaraya, rambut panjang, merokok, melepak bersama remaja- remaja yang memang terkenal sebagai penagih, budak bermasalah.
Sekali lagi adik sebak, kalaulah dulu ada insan yang mengambil endah. Dah beberapa tahun berlalu dan adik langsung tidak tahu apa yang berlaku kepada dia.
Bayangkan.. upsr sahaja tidak dia duduki, jadi apa yang dia lakukan sekarang? Bersekolah? Sudah tentu tidak.
Kadang- kadang sifat manusia yang tidak cukup empati dan toleransi akan membunuh insan lain. Biarpun manusia tu adalah ibu bapa kita sendiri. Sekali lagi adik nak minta maaf. Adik tahu adik tak layak untuk membuka isu ini.
Malah bukan niat adik untuk membandingkan ibu bapa dirumah adalah lebih baik daripada ibu bapa yang berkerjaya.
Adik cuma harap jika ibu bapa di luar sana dapat lebih berusaha untuk memberi. Bukan harta atau kemewahan. Cukuplah sekadar memberikan masa, ruang, kasih dan secebis perhatian.
Adik mewakili anak-anak diluar sana ingin mengucapkan terima kasih banyak ii kepada kedua ibu bapa kami yang tiada galang gantinya.
Insya Allah kami akan cuba memahami tanggungjawab kalian dan berusaha untuk membalas jasa kalian.
Terima kasih…
– Adik (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit