An4k Kedua

Hai, nama aku Nana. Tahun ini umur aku dah masuk 27 tahun dan aku masih bujang. Aku adalah anak ke dua dari lima adik beradik. Aku ada seorang abang, seorang adik perempuan dan dua orang adik lelaki.

Kisah aku bukan kisah cinta dan bukan juga kisah rumah tangga. Kisah aku lebih kepada kisah keluarga.

Aku dilahirkan dalam keluarga yang agak serba kekurangan. Ayah aku bekerja sendiri. Mak aku pula seorang suri rumah. Sejak kecil kami sekeluarga menumpang berteduh di rumah keluarga ayah aku.

Dalam rumah pula, ada 2 orang adik beradik lelaki ayah aku yang masih tinggal di rumah keluarga tersebut, iaitu abang dan adik kepada ayah aku. Ini bermaksud kesemua anak lelaki nenek aku, masih menumpang di rumah keluarga walaupun sudah berkahwin.

Ayah aku kerja tak tentu. Kadang dia akan jadi orang gaji di kebun orang lain, kadang dia jadi pembantu kontraktor buat rumah. Pendapatan ayah aku pula tak menentu.

Hidup kami umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Pada satu hari ayah aku pergi bekerja dekat luar daerah.

Hampir lebih kurang 5 bulan, ayah aku tak balik-balik. Semasa ketiadaan ayah, kami sekeluarga sangat menderita dengan kekurangan barang dapur, kekurangan barang sekolah, kekurangan itu dan ini.

Keluarga ayah yang ada dalam rumah juga tak ambil peduli dengan kami. (dapur kami asing-asing, sebab tu mereka tak tahu).

Mak aku masa tu mengandungkan adik aku yang bongsu. Makin bertambah masalah mak bila ayah tinggalkan sekali mak dengan hutang-hutang yang perlu dibayar setiap minggu. Mak aku ambil keputusan untuk keluar dari rumah keluarga dan kembali ke kampung mak sendiri.

Mak bawa kami adik beradik keluar dari rumah tu sebenarnya setakat untuk pergi menjenguk keluarga mak aku. Tak disangka, barang-barang kami dikeluarkan dari rumah keluarga ayah aku dan diletakkan dalam stor.

Mak aku sangat sedih dan malu untuk balik semula ke rumah keluarga ayah aku. Mak aku mengadu dengan abang dia. (untuk makluman, mak aku anak yatim piatu).

Abang mak aku, aku panggil dia Pakcik Aa. Pakcik Aa belum berkahwin, jadi dia yang jaga rumah pusaka nenek sebelah mak aku.

Dia nasihatkan mak aku untuk pindah dan tukarkan sekolah kami. Mak aku turuti. Bermulalah episod susah yang aku dan adik beradik sekali terasa.

Bayangkanlah, umur aku masa tu baru 12 tahun kot, dan aku dah terpaksa menjadi dewasa sebelum masanya. Mak aku mula berjinak dengan berkebun kecil-kecilan.

Hasilnya nanti mak akan jual ke pasar. Tak dinafikan, kehidupan di kampung memang sukar tapi dengan bantuan daripada pakcik Aa, kami seolah-olah ada harapan baru untuk teruskan hidup.

Mak aku bersalin dan 4 bulan lepas bersalin, mak mula kerja sebagai cleaner di sebuah supermarket.

Mak aku tiap minggu akan didatangi orang kutip hutang. Jadi mak aku terpaksa bayarkan hutang ayah aku dan begitulah kejadiannya setiap minggu sehinggalah hutang tersebut habis dibayar 7 bulan berturut-turut.

Mak aku bukan sahaja tertekan dengan keadaan kami tapi juga dengan ayah yang tak pernah muncul. Telefon pun tak pernah.

Mak beranggapan, ayah mungkin dah lupakan kami (digantung tanpa tali). Kami teruskan hidup, masa ni aku dah masuk ke sekolah menengah.

Aku dan adik beradik yang lain memang tak pandai dalam pelajaran. Bukan macam sepupu-sepupu belah ayah. Semuanya pandai-pandai (agaknya la). Masih aku sekolah menengah, aku banyak kali ponteng sekolah. Untuk jaga adik-adik dekat rumah sementara mak bekerja.

Tapi mak kerja tak lama, sebab mak selalu dimarahi oleh bos. Rakan-rakan sekerja mak pun tak sukakan mak. Jadi mak berhenti dan mulakan lagi business jual sayur sikit-sikit dekat pasar. Kehidupan masih diteruskan.

Mulai dari saat itu, aku berjanji akan ubah hidup mak dan keluarga kecil kami. Aku berdoa sangat-sangat. Aku niat belajar untuk dapatkan kerja satu hari nanti supaya nasib keluarga aku berubah. Hari-hari aku doa.

Aku masa ni dah tak fikirkan ayah aku walaupun sebenarnya aku cemburu dengan semua orang yang ada ayah di sisi mereka semasa mereka membesar.

Satu hari, ayah aku tiba-tiba balik. Aku sebenarnya gembira nampak ayah lagi. Tapi aku kecewa. Kecewa sebab kenapa baru sekarang nak muncul, saat kami mula merasa nak mulakan hidup baru. Dalam hati aku kata, ayah ni jahat.

Tak matang, tak bertanggungjawab, tak baik, tak handsome, eh semua yang TAK memang ayah akulah.

Masa ayah balik tu adik-adik aku semua gembira. Aku saja yang terlalu emosi. Aku macam malas nak layan. Aku lari masuk bilik, aku menangis. Aku kasihankan mak aku.

Apalah agaknya perasaan mak aku ya.

Hari berganti hari, ayah aku tinggal dengan kami di rumah pusaka keluarga mak aku.

Ayah aku ni memang tak tahu malu, dah tinggalkan kami masih rasa tak bersalah tinggal pula dengan keluarga mak aku. Ayah masih macam dulu, ayah kerja sana sini tapi kami tak nampak pun hasil titik peluh ayah tu.

Rumah sendiri kami tak ada, kereta sendiri pun kami tak ada. Aku ni masa tu malu sangat, dan aku rasa aku bertanggungjawab atas kesengsaraan ibu aku.

Abang aku pula, macam biasalah, dia tak ambil tahu. Dia selalu keluar dengan kawan-kawan dia dan kadang-kadang memang bawa masalah kepada mak aku. Dia cepat terpengaruh dengan kawan-kawan dia yang suka merokok, suka minum minuman keras.

Fast forward, tahun 2013 aku ambil SPM. Oleh kerana keputusan SPM aku tak baik, aku putuskan untuk masuk Tingkatan 6.

Masa ni aku hanya berharap, lepas habis STPM aku nak cari kerja, tak kisahlah kerja di supermarket ke, atau di kedai telefon. Aku memang tak kisah.

Matlamat aku, hanya untuk buat mak senang sikit. Sebab adik-adik aku masih bersekolah. Belum sempat aku tamatkan pelajaran di Tingkatan 6, aku dapat tawaran masuk IPTA di negeri jiran.

Aku bingung, aku nak tapi aku tak ada duit. Aku fikir lagi, lagi 3 minggu kena datang lapor diri. Aku beranikan diri, tanya dekat pakcik Aa.

Sebab kalau nak beritahu ayah, memang ayah tak kasih.

Ayah mana ada duit. Pakcik Aa kata, pergilah. kita usahakan apa yang mampu. Pakcik Aa kata, kat sana nanti memang banyak cabaran. Duit yuran, duit belanja, duit tiket, semua pakcik Aa yang uruskan dengan bantuan abang sepupu aku.

Dalam masa ni aku cari-carilah kawan, kot-kot ada yang dapat tawaran sama macam aku. Dan ya, memang ada. Aku dan 2 orang kawan aku uruskan surat berhenti sekolah, kami cuba memohon PTPTN sebab kami semua dari keluarga yang kurang mampu.

Akhirnya, masa aku bertolak ke negeri jiran pun tiba. Aku seorang saja yang lepas. Kawan yang seorang tak jadi nak sambung sekolah sebab dia nak kahwin katanya, yang seorang lagi nak cari IPTA dalam negeri sahaja.

Aku redha jalan seorang. Ini adalah kali pertama aku akan keluar hidup berdikari dan jauh dari keluarga aku.

Kehidupan aku di IPTA okey. Cuma kita semua faham la, taraf hidup kumpulan B40 ni memang agak struggle sikit. Yuran pengajian dan makan aku, aku guna duit PTPTN.

Yang selebihnya, kalau ada duit belanja daripada pakcik Aa, aku simpan dan kumpul untuk beli tiket masa cuti semester atau masa dah tamat sekolah nanti.

Ayah pula ada juga la kirimkan aku duit belanja sekali dua sepanjang aku belajar tu, aku tak kisah sangat yang penting masa tu aku fikir aku tak sabar nak graduate sebab aku nak cari kerja yang elok.

Walaupun kadang-kadang aku rasa nak give up sebab keluarga ayah aku tak pernah nak tanya khabar aku dan keluarga aku.

Ada satu hari tu aku dapat panggilan daripada nenek aku. Dia kata ayah aku datang nak pinjam duit kat dia dengan alasan sebab aku sedang berada di negeri orang, sambung belajar.

Nenek aku apa lagi, berhabis la dia bebelkan aku.

Nenek kata, “kenapa kau nak susahkan ayah kau. Kau tahu kan ayah kau tak mampu dan tak ada duit, kenapa gatal sangat nak sekolah jauh-jauh. Apa? Kau ingat, dengan kau pergi sekolah luar negeri tu kau boleh dapat kerja bagus ke? Tak!

Kau balik nanti, kau kahwin dan kau akan masuk dalam dapur. Itulah lumrah anak perempuan. Jangan nak mengada-ada! Kau anak beranak tak habis-habis menyusahkan aku.” tutt.tutt.tutt. Nenek matikan panggilan telefon.

Aku tak sempat nak jelaskan apa-apa atau pertahankan diri aku. Aku sangat sedih, kecewa dan marah. Dalam masa sama, aku sangat rasa rendah diri. Aku bertekad untuk teruskan juga. Aku belajar bersungguh-sungguh. Aku aktifkan diri dalam pelbagai bidang dalam kampus.

Aku ahli Pembimbing rakan siswa, aku juga dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan aku selalu la ikut program ke sana ke sini. Aku lupakan masalah keluarga aku sekejap.

Aku memang bertekad untuk jadi yang terbaik antara yang terbaik. Aku doa hari-hari, aku janji pada diri aku sendiri untuk jadi kebanggaan mak aku. Dan aku akan pastikan semua pertuduhan dan anggapan keluarga ayah aku salah.

2 tahun setengah berlalu, tiba masa aku menjalankan latihan amali pula. Masa ni aku kena balik ke negeri aku sendiri dan jalankan latihan di salah sebuah agensi kerajaan selama 6 bulan.

Bulan ke 4 aku praktikal, aku dipanggil temuduga untuk bekerja dan berkhidmat kepada negara (government).

Aku beritahu mak dan pakcik Aa, aku nampak mereka sangat gembira dan masa tu la aku baru tahu, tahu dan kenal erti bahagia dan gembira.

Mak aku dan pakcik Aa tak habis-habis berdoa supaya aku lepas temuduga ni. Pakcik Aa paling bersemangat semasa aku menjalankan temuduga.

Aku melangkah dengan diiringi doa dari orang-orang yang paling aku sayang, dan aku yakin aku akan lepas temuduga ni memandangkan jawatan yang ditawarkan adalah dalam bidang sama yang aku ambil.

Sebulan lepas tu, aku berada dekat tempat praktikal aku, tiba-tiba aku dapat panggilan telefon.

“Assalamualaikum, cik Nana? Tahniah, cik berjaya dalam temuduga pada sekian sekian. Cik boleh datang ke pejabat untuk ambil surat tawaran dan cik boleh lapor diri dalam tempoh 30 hari dari tarikh surat tawaran. Tahniah sekali lagi.”

Aku terdiam, airmata aku mengalir. Aku ucap terima kasih dan letak telefon. Aku tak tenang. Aku telefon mak aku, aku ceritakan pada mak. Lepas tu aku telefon pula pakcik Aa. Petang tu pakcik Aa jemput aku dari tempat praktikal.

Aku cerita lagi sambil menangis gembira. Aku kata, aku akan ambil surat tawaran pada hari Isnin memandangkan hari esok adalah hari cuti.

Aku tak habis-habis bersyukur. Aku tak tidur lena malam tu. Aku asyik terbangun.

Aku rasa sangat bersyukur dan aku gembira. Masa tu aku sudah tahu, masa hadapan aku dan keluarga akan berubah. Hidup kami akan berubah. Aku seperti bermimpi.

Ya Allah, ini ka yang engkau maksudkan hikmah disebalik semua kesusahan yang menimpa aku dan keluarga.

Indahnya Ya Allah, aku seakan-akan tidak percaya. Aku mencubit-cubit pipiku, Aduh sakit. Ini bukan mimpi. Aku dah ada kerja, kerja tetap.

Aku bukan perempuan yang akan kahwin semata-mata untuk masuk dalam dapur dan melayani suami seperti yang dikatakan kepadaku. Ya, aku tidak menafikan.

Perempuan memang akan kahwin dan memang akan masuk ke dapur. Akan tetapi, pendidikan juga akan menentukan bagaimana kita akan kahwin dan bagaimana urusan kita di dapur.

Satu yang aku percaya dan aku pegang sampai sekarang. Doa ibu dan doa orang teraniaya adalah doa yang paling mustajab dan tiada hijab. Aku bersyukur, mak masih bersama aku. Aku janji aku akan bahagiakan mak hingga ke akhir hayat.

Sebenarnya, cerita ni masih panjang. Masih ada sambungannya. Aku akan ceritakan lagi lepas ni. Tapi aku akan akhiri sampai di sini dahulu.

Kalau kisah ini disiarkan, aku akan sambung la. Semoga kita semua dapat pengajaran dari kisah aku.

Sekian,

– Nana (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *