Untuk part I, (https://iiumc.com/an4k-kedua/).
Assalamualaikum. Terima kasih semua, aku terharu atas respond daripada pembaca semua. Dan alhamdulillah, komen-komen yang ditinggalkan pun aku ada baca. Beberapa komen yang aku tertarik untuk jawab.
1) Ya, aku dapat panggilan melalui panggilan telefon daripada Gov pada tahun 2017.
2) Aku dapat jawatan rendah menggunakan sijil SPM sahaja tapi Diploma tu menentukan kemajuan kerjaya aku dalam bidang yang aku ambil pada masa akan datang. (Related post)
3) Aku berjaya tamat Praktikal dan terus melapor diri bertugas. Alhamdulillah sebelum tamat tempoh 30 hari dari tarikh surat tawaran. Tapi aku tak sempat hadir konvo atas kekangan masa dan desakan perkhidmatan, scroll aku pula dihantar melalui kurier saja.
4) Ayah aku tak pernah berubah, sampai ke saat ini. Dia datang dan pergi. Mak pun dah tak berapa nak kisah. Mak pernah minta dilepaskan.
Mak turun naik pejabat agama, tapi ayah tak bagi kerjasama jadi kena tutup kes.
Terima kasih sekali lagi atas doa dan kata-kata semangat yang diberikan. Aku mulakan lagi pengalamanku selepas mendapat kerja.
Aku dapat tawaran kerja di luar daerah. Kena cari rumah sewa yang dekat dengan tempat kerja, dan senang dapat grab/uber.
Keluarga ayah aku dapat tahu aku dapat kerja, dan ada sepupu belah ayah aku tawarkan untuk tinggal bersama mereka. Kakak sepupu aku, aku panggil dia Kak Long.
Kak Long sudah berkahwin tapi belum dikurniakan cahaya mata. Mereka suami isteri pun duduk menyewa.
Aku pun tak keberatan tinggal dengan mereka disebabkan kat bandar ni aku tak kenal lagi dan tak tahu jalan lagi. Aku pergi kerja setiap hari dihantar oleh Kak Long.
Beberapa minggu berlalu, aku mula tak selesa sebab setiap kali hujung minggu, Kak Long akan keluar bekerja, tinggallah aku dan suami dia dekat rumah. Aku mula berfikir, kan bagus kalau aku tinggal di rumah sewa atau bilik sewa sendiri.
Tapi aku belum mampu, sebab gaji masih dalam proses, dalam tempoh sekurang-kurangnya 2 bulan hingga 3 bulan (gaji pertama). Aku batalkan niat sementara. Aku teruskan hidup macam biasa.
Dan ya, seperti jangkaan sesetengah pembaca, aku jadi bualan keluarga ayah.
Aku ingatkan Kak Long ikhlas nak tolong aku. Rupanya dia selalu berbalas whatsapp dengan keluarga ayah di kampung. Aku dapat tahu dari salah seorang sepupuku yang tinggal di rumah keluarga ayah.
Aku diamkan lagi sebab aku tiada tempat untuk berteduh masa tu. Diam-diam aku mula mencari bilik sewa kosong di tempat lain dan berhasrat untuk keluar dari rumah sewa Kak Long.
Aku bagitahu Pakcik Aa yang aku tak selesa tinggal bersama mereka. Aku rasa aku menjadi beban.
Tapi pakcik Aa kata, “bersabar sikit lagi, tunggu gaji dah masuk baru pindah. Tapi jangan sampai mengatakan hal buruk pada mereka. Kena ingat, mereka juga menjadi asbab atas kelancaran dan kemudahan kau di sana,” aku akur.
Aku tak nafikan, mereka memang baik melayan aku (di depan).
Singkat cerita, selepas aku terima gaji pertama, aku tolong bayarkan sewa rumah 2 bulan termasuk belikan barang-barang dapur di rumah.
Malam itu, aku suarakan kepada Kak Long, aku kata ada kawan bawa tinggal sama. Kak Long kata, okey tiada masalah. Aku mula kemaskan barang dan confirm kan tempat tinggal yang baru tu.
Aku pun pindah. Beberapa hari lepas tu, dengar cerita aku di gosip, kata aku tak kenang budi, sombong dan tak beradab. Aku hanya tersenyum. Aku sudah puas mendengar gosip yang tak membina.
Yang aku tahu, aku tak buat salah dan aku lega sebab akhirnya aku boleh menjadi diri aku sendiri. Aku bukan nak membuang keluarga, tidak pernah terlintas di fikiran untuk berlagak sombong.
Aku masih berpegang pada janji terhadap diri aku sendiri, aku hanya ingin mengubah nasib keluarga. Alhamdulillah, rezeki memang tak salah alamat.
Yang penting kita bersyukur dengan apa yang kita ada. Selalu saya ingatkan diri sendiri, saya tidak bertuah terlahir dalam keluarga yang miskin tapi saya bertuah hidup diiringi doa dan redha mak.
Teringat 1 kisah tentang adik bongsu aku. Aku namakan dia Afiq. Afiq seorang yang pendiam. Masa kejadian tu umurnya baru 6 tahun (2013). Balik dari sekolah Afiq terus masuk dalam bilik, berkurung.
Aku mulanya biarkan saja, tapi biasanya Afiq akan keluar semula, mandi atau makan.
Hari tu Afiq pelik sikit. Aku masuk dalam bilik, nampak Afiq sedang tidur. Aku mendekat dan perasan bantal Afiq basah. Aku tunggu sambil merenung Afiq. Banyak soalan yang bermain di kepalaku.
Tidak berapa lama lepas tu, Afiq bangun. Aku tanya, Afiq kenapa menangis? Afiq jawab, “orang kata Afiq tak ada ayah, tapi Afiq kata ayah Afiq pergi kerja jauh, nanti ayah balik la,” aku terdiam.
Afiq sekecil ini terpaksa membesar dalam keadaan begini, aku tahu Afiq pun tak pasti bila ayah akan balik lagi. Dengar cerita ayah dah kahwin lain, tapi tak tahu la sejauh mana kebenaran khabar angin tu. Kami sekeluarga ambil keputusan diamkan saja.
Afiq pergi sekolah sama macam kami, serba kekurangan. Kadang pergi sekolah tak bawa duit belanja. Kasut kalau bukan sempit, terlebih saiz pula dan koyak sana sini tu jangan cerita la. Mak tak ada duit lebih untuk beli sekali untuk kami adik beradik.
Kadang-kadang, kasut pun sepupu-sepupu belah mak yang bagi. 2nd hand (hahaha). Pakai kasut sampai betul-betul tak boleh pakai baru la beli baru, itu pun ikut giliran la adik beradik.
Adik perempuan aku pula, aku namakan dia Nini. Nini pula sama perangainya macam Afiq. Pendiam dan perahsia.
Aku tak tahu banyak tentang Nini. Yang aku tahu, Nini bijak, pandai menyanyi, dan rajin (tapi jangan disuruh). Sejak Tingkatan 3, Nini kerja part time di sebuah bakery berdekatan sekolah.
Nini akan mula kerja dari jam 1 petang hingga 6 petang. Nini faham akan keadaan keluarga jadi Nini jarang meminta.
Nini suka berusaha sendiri untuk dapatkan wang belanja. Aku tak boleh kerja part time sebab aku jaga adik-adik yang lain. Nanti kalau aku pun kerja, siapa nak tolong mak kan.
Aku tak pernah merungut walaupun aku penat. Nini suka memberontak, tidak suka diatur tapi Nini penyayang. Nini juga seorang yang nekad.
Apa yang dia inginkan, dia akan capai dengan caranya sendiri. HP, kasut, beg sekolah, buku, tuition, semua guna duit dia sendiri. Dia berdikari pada usia muda, sama seperti aku. Bezanya, dia dapat apa yang dia nak, aku? terpaksa ketepikan dulu.
Back to real time now, keluarga aku dah mula rasa senang. Duit belanja adik-adik ke sekolah aku dan pakcik Aa boleh tanggung. Mak aku masih sama macam dulu. Masih berniaga di pasar. Ayah aku masih datang dan pergi.
Beberapa tahun aku bekerja, aku decide nak ubahsuai rumah pakcik Aa, bagi dia tinggal selesa sikit. Since, aku pun belum mampu nak beli rumah atau buat rumah, aku nak pakcik aku pun rasa tempat tinggal yang selesa.
Guess what? Keluarga mak pula yang mengata aku. Kata aku nak ambil rumah pakcik Aa. Sumpah demi Allah, aku tidak berniat begitu. Aku cuma ingin membalas jasa pakcik Aa. Aku pekakkan telinga dan teruskan niat aku.
Aku perasan macam ramai orang tak suka dengan aku. Tapi dalam masa yang sama, ramai jugalah yang tiba-tiba bangga dengan aku, ramai yang mengaku kami ni keluarga mereka.
Dulu mak aku dikata derhaka sebab keluar rumah keluarga ayah tanpa izin, aku pun tak faham. Bab minta izin, boleh pula ikut hukum.
Tapi bab tanggungjawab, bab nafkah, tiada siapa persoalkan. Mak kata tak apa, mak ampunkan dan mak redha dengan semua apa yang terjadi cuma saja mak tak akan pernah melupakan hingga akhir hayat.
Untuk sekarang, Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Pakcik Aa belum juga berkahwin dan dia sendiri kata, kami lah anak-anaknya. Dan ya, aku janji aku akan balas jasa pakcik Aa, aku akan jaga dia macam mana aku jaga mak aku.
Abang aku pula sudah berkahwin, dan aku tahu dia tidak akan seperti aku, dia tidak memikirkan masa depan keluarga kami. Buktinya, dia lebih memilih untuk berumah tangga sebelum menyenangkan hidup mak. Tapi di sisi lain, aku tidak tahu apa yang dia fikirkan.
Nini pula sudah habis pengajian (Degree) dari UKM, hehehe saja bagi nama U sebab bangga. Afnan, (adik keempat) lepas habis SPM, dia bantu pakcik Aa dalam kerjanya. Afiq pula sekarang baru 16 tahun dan sedang bersekolah di sekolah berasrama penuh.
Aku dan adik beradik tak pandai pergi sekolah, bukan tipikal murid yang dapat straight A, result cukup-cukup tapi aku percaya doa mak sentiasa mengiringi jalan kami.
Aku pula lepas semua sudah selesai, sudah sampai masa aku fikir pasal diri aku sendiri juga, aku sedang sambung study sekarang, doakan aku terus bertahan.
Bab berumah tangga, nanti lah aku fikirkan. Aku masih trauma. Aku suka membaca pengalaman orang lain, tidak sedikit orang yang berkongsi kisah rumah tangga, aku jadi takut. Orang akan kata aku tak kahwin-kahwin sebab aku memilih dan sombong sebab sudah bekerja.
Tapi aku harap mereka sedar, bukan itu penyebabnya. Aku belum siap dan belum berani untuk mengharungi alam rumah tangga, tanggungjawab aku belum selesai sepenuhnya terhadap keluarga ku.
Akhir kata, aku doakan semua orang yang sedang mengalami hal sulit dan ujian, tolong jangan berputus asa, kuatkan semangat. Jangan sia-siakan masa muda dan fikiran yang waras.
Kita mampu capai apa yang kita nak. Betulkan niat dan mohon redha Allah. Inshallah, hidup kita akan tenang.
Assalamualaikum,
– Nana (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit