An4k OKU Penglihatan, Bagaimana Masa Depan Mereka?

Terima kasih admin sekiranya confession saya ini disiarkan.

Sudah menjadi rutin harian setiap hari saya menghantar dan menjemput anak balik dari sekolah PPKI Penglihatan. Terhibur hati melihat gelagat anak bersama rakan bersenda gurau.

Kadang-kadang setiap hujung minggu kami sekeluarga akan makan di medan selera yang terdapat pelbagai pilihan menu makanan.

Kebanyakan tempat makan yang kami pergi bersifat open-air kerana saya dan suami gemar menikmati suasana persekitaran serta menyaksikan ragam manusia lalu-lalang.

Dan kebanyakan tempat makan yang kami pergi dalam suasana tersebut akan ada segelintir OKU Penglihatan bersama ‘penarik’ datang ke setiap meja pelanggan sambil memohon bantuan derma untuk orang buta daripada pengunjung medan selera.

Ada ketika suami mencuit tangan saya sambil menunjukkan isyarat pandang ke arah golongan yang dikatakan ‘berniaga tisu’. Saya hanya melihat gerak-geri mereka dalam usaha memperoleh derma daripada masyarakat.

Pernah juga saya terdengar anak pengunjung meja lain bertanya kepada ibunya, “Mama, mereka minta derma sebab mereka tak nampak ke? Tak ada orang nak bagi kerja kat orang yang tak nampak ya?”. Lebih kurang begitulah bunyi si anak kecil tadi.

Saya dan suami sering berbincang mengenai isu ini agar anak kami dapat hidup tanpa terlalu mengharapkan pada belas simpati dan bantuan semata-mata di masa akan datang.

Saya perhatikan kebanyakan mereka masih sihat tubuh badan dan tidak mengalami penyakit lain terutamanya dalam kalangan golongan muda berumur sekitar 30-an.

Pernah juga saya sendiri terserempak dengan beberapa individu OKU Penglihatan dan saya bertanyakan soalan secara kiasan,

Mengapa masih terdapat OKU Penglihatan yang menjual tisu walaupun pernah memperoleh pendidikan hingga ke peringkat sekolah menengah mahupun pusat latihan kemahiran.

Rata-rata OKU Penglihatan kebanyakannya selepas tamat tingkatan 5, akan menyambung ke peringkat akademik mahupun vokasional.

Ada juga yang tidak menyambung ke mana-mana bidang dan hanya duduk di rumah menikmati elaun JKM sebanyak RM300 / RM450 sebulan.

Berikut merupakan beberapa jawapan yang saya terima apabila bersembang santai bersama beberapa individu OKU Penglihatan.

1. Ingin mudah & cepat mendapat hasil.

Terdapat banyak pusat latihan kemahiran vokasional yang disediakan oleh NGO & kerajaan kepada komuniti OKU Penglihatan.

Misalnya Program Rehabilitasi di Lembah Kinta, St. Nicholas’ Home di Pulau Pinang, Pusat Latihan Gurney bagi Orang Buta di Kuala Lumpur, Taman Cahaya di Sabah, Sarawak Society Blind di Sarawak, Taman Harapan di Pahang, dan lain-lain.

Namun demikian, walaupun telah memperoleh sijil kemahiran vokasional seperti SKM3 dan sebagainya, namun ada dalam golongan ini yang inginkan pendapatan yang lebih mudah tanpa perlu membuang tenaga yang banyak.

Misalnya bidang kerja terapi urut ataupun buskers pemuzik jalanan, belum tentu dapat hasil yang lumayan dalam sehari jika dibandingkan dengan menjual tisu atau diistilahkan oleh mereka sebagai ‘bekerja sendiri’.

Senario ini menjadi satu warisan daripada golongan senior kepada golongan junior.

Selalunya mereka akan ditemani seorang warga asing untuk membawa mereka ke meja-meja makan. Selang 2 atau 3 jam berikutnya, mereka akan pergi ke kawasan yang sama untuk ‘mengutip derma tisu’.

Terdapat juga yang hanya duduk setempat di kaki lima jejantas, laluan pejalan kaki atau tangga tertentu sambil menunggu ‘derma’.

2. Tidak mampu bersaing mencari pekerjaan.

Ada juga dalam kalangan mereka yang memperoleh Diploma / Ijazah dari IPTA / IPTS / Pusat Latihan Kemahiran, namun itu semua tidak menjamin apa-apa peluang kepada mereka di dunia pekerjaan.

Ibaratnya pengiktirafan tersebut hanya gah di atas kertas dan di mulut-mulut orang semata-mata.

Dan pada akhirnya, mereka memilih untuk bekerja sebagai juru urut, atau buskers, atau menjual tisu.

Memang ada yang terlalu memilih pekerjaan, namun setakat ini masih tiada satu struktur khas yang dapat memanfaatkan nilai kualiti mereka untuk berbakti kepada masyarakat dalam peluang pekerjaan bersama golongan celik.

Setakat ini, kerjasama & kolaborasi sesama golongan OKU Penglihatan dalam peluang kerjaya sememangnya telah dilaksanakan.

Hal ini dapat dilihat daripada kedai urut yang diuruskan sendiri oleh OKU Penglihatan di sekitar Brickfield dan tempat-tempat lain.

Terdapat juga syarikat percetakan braille yang turut sama menggaji golongan OKU Penglihatan sendiri seperti KL Braille Resources, PERTIS, NCBM, dan MAB.

3. Faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.

Dalam hal ini, memang terdapat segelintir mereka yang pernah bekerja sebagai juru urut suatu ketika dahulu.

Namun disebabkan oleh faktor kesihatan seperti patah tangan atau masalah buah pinggang dan lain-lain, maka keupayaan mereka untuk menjalankan kerja sebagai juruurut mahupun pekerjaan lain amat terbatas.

Sebenarnya masih banyak kerjasama bersama golongan celik yang berjiwa OKU serta pemantauan yang berterusan perlu dilakukan secara konsisten bagi meningkatkan kualiti generasi OKU Penglihatan.

Siapa yang akan memperjuangkan nasib golongan OKU Penglihatan jika bukan bermula daripada keluarga sendiri?

– Ibunda (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *