Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua,
Nama aku Nor (bukan nama sebenar), umur dah masuk awal 30 tahun dan aku anak sulong dari 5 orang adik beradik. Bila baca tajuk pun rasa pedih apatah lagi diri ni.
Aku membesar dikampung dan hidup susah pada waktu kecil. Ibu ku seorang suri rumah dan ayah ku seorang pekebun.
Sejak dari kecil aku dah terbiasa dimarah, dipukul dan diherdik depan orang. Paling pedih bila kesalahan aku tidak buat pun, selalunya adik-adik yang buat hal.
Getah paip, hanger, batang penyapu itu yang selalu hinggap dibadanku. Aku juga yang kena marah.
Hidup aku sebagai anak sulong yang selalu tidak didengari, selalu dipinggir dan selalu diherdik depan orang. Kadang aku terfikir, aku ni anak pungut ke?
Masa kecik aku sebenarnya tidak banyak pun memori peluk cium dari ibu dan ayah. Yang aku ingat banyak kena jaga adik-adik. Kena banyak berkorban untuk adik-adik dan paling penting kene banyak mengalah.
Pernah satu hari, ayah ku belikan basikal untuk adik nombor 2 kerana dia pandai belajar. Sedangkan aku memang teringin juga sebuah basikal,
“Mu jangan naik basikal ini. Ini kak ngah punya”. Ingat lagi ayat tu dan sampai sekarang aku masih ingat warna basikal yang aku pandang dengan sayu.
Arwah atuk yang hadiahkan aku sebuah basikal baru hasil cabutan bertuah atuk dapat. Terima kasih atuk, sayang atuk.
Pernah satu hari adik aku nombor dua dapat keputusan yang baik disekolah. Ayah bawa kami satu keluarga makan chicken chop.
Masa tu happynya rasa dan aku pun berjanji sungguh dalam hati nak belajar dapat nombor 1 nanti boleh makan chicken chop lagi. Bila result keluar, aku dapat nombor 1.
Aku balik rumah bagitau ibu ayah. Dan aku pun minta nak pergi kedai yang sama untuk makan chicken chop. Namun yang aku dapat hanyalah mee goreng.
Masih aku ingat sampai sekarang rasa mee goreng tu. Sedap rupanya mee goreng. Mungkin masa itu ayah tiada duit.
Hasil dari membesar dalam keadaan jiwa meronta aku jadi seorang yang panas baran, suka cakap kasar, berani dan paling yang aku tak suka memedam rasa. Aku juga pandai cakap menipu untuk cover kesalahan orang lain.
Pernah adik aku salah, namun aku cakap itu aku yang buat. Dan akhirnya penampar singgah pipi.
Bila umur aku dah jejak 20 an, aku makin suka melawan cakap ayah. Jadi anak derhaka aku tiap kali balik kampung sebab bergaduh dengan ayah.
Adik beradik yang lain tidak pernah dimarah teruk kerana bila ayah semakin menua, mereka dilayan baik namun tidak bagi aku.
Adik nombor dua masih lagi menjadi anak kesayangan. Seingat aku, tidak pernah aku lihat dia dimarah seteruk aku. Tidak pernah juga dipukul seteruk aku.
Aku sekarang ni bekerja dan jauh merantau dari keluarga. Sesekali rindu datang namun aku tempis kerana bila aku balik kampung selalunya akan bertukar jadi si tanggang.
Aku juga belum berkahwin kerana aku takut dapat suami yang sama macam ayah. Aku boleh pilih suami namun anak aku tidak dapat pilih ayah mereka. Untuk itu, aku tutup pintu hati serapatnya.
Orang kata cinta pertama anak perempuan adalah ayah. Namun tidak bagi aku, cinta aku hanyalah ibu.
Aku berjanji dengan diri sendiri, kalau ada jodoh dan aku berkahwin nanti. Akan aku ajarkan anak-anak erti kasih sayang.
Tidak akan aku bebani anak sulong ku sama seperti aku dulu. Akan aku jaga dengan ilmu keibubapaan. Dan aku juga berjanji, anak sulong ku tidak akan tersakiti.
Kepada ibu bapa diluar sana, pandang lah anak sulong mu. Lihat matanya yang kurang dengan kasih sayang. Lihat betapa dia tersiksa setiap kali kesalahan orang lain dijadikan sebagai hukuman.
Belajarlah ilmu keibubapaan wahai ibu ayah. Semoga anak sulong mu menjadi asbab masuk syurga tanpa hisab.
Dan kepada ibu bapa yang berlaku adil dengan anak-anak, tahniah kerana telah menyelamatkan jiwa.
Aamiin Allahuma Aamiin..
Anak sulong tersakiti.
– Nor (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit