Assalamualaikum readers, terima kasih Admin sekiranya confession ini disiarkan.
Sebagai pengenalan, nama aku Dahlia berumur hujung 20an, bekerja dan bakal berkahwin tidak lama lagi.
Di sini aku nak ceritakan tentang pengalaman hidup aku sebagai anak perempuan tunggal.
Ibu bapaku menimang cahaya mata setelah lebih 10 tahun berumahtangga dan kini mereka sudah pun berusia lingkungan awal 60an.
Memandangkan aku masih belum berkahwin jadi aku masih tinggal bersama mereka. Ayahku merupakan pesara kerajaan dan ibuku suri rumah.
Aku bersyukur dikurniakan ibu bapa yang baik dan penyayang tapi kadang-kadang aku terasa seperti hidupku dikawal. Sebagai contoh tentang pasangan hidup.
Aku pernah dijodohkan oleh ibu bapaku dengan lelaki yang bukan pilihan aku sendiri, aku dipujuk untuk menerima lelaki tersebut atas dasar restu dan keberkatan dari ibu bapa.
Bukan sekali tapi dua kali. Aku faham mereka nakkan yang terbaik buat diri aku, tapi mereka mungkin lupa yang aku punya hati dan perasaan. Aku juga berhak untuk menentukan siapa pasangan aku kelak.
Aku bertemu dengan M (kini tunang aku) sekitar 6 tahun lepas, dia berumur muda beberapa tahun dari aku dan bekerja dalam sektor swasta.
Pada mulanya ibu bapaku tidak berkenan dengan dia atas faktor usia kami dan latar belakang pendidikan kami yang berbeza. Tapi kami tetap berkawan walaupun mendapat respon negatif dari ibu bapaku.
Berbalik kepada cerita tentang pasangan hidup tadi, ibu bapaku ingin menjodohkan aku dengan seorang lelaki yang merupakan anak rakan sekerja mereka.
Pada masa itu, aku masih mentah dan hanya ikut telunjuk kedua ibu bapaku.
Tapi jauh di sudut hati memang aku tak punya perasaan sayang pada lelaki tersebut tapi memikirkan restu dan keberkatan yang sering dimomokkan ibu bapaku, jadi aku bersetuju untuk berkenalan.
Selang beberapa bulan, kami putus kerana lelaki itu juga sama dengan aku, dia juga tiada perasaan apa-apa terhadapku dan membuat keputusan untuk mengakhiri hubungan kami.
Selang beberapa tahun, aku berkenalan dengan M. Aku selesa berkawan dengan M dan aku nampak kesungguhan dia dalam hubungan kami.
Diawal perkenalan kami, M pernah datang ke rumah aku dengan niat untuk berkenalan dengan ibu bapaku dan mengharapkan restu dari mereka tapi mereka tetap juga tidak berkenan dengan M atas sebab-sebab yang aku nyatakan di perenggan atas tadi.
Dek kerana mereka tidak bersetuju dengan pilihan aku, mereka cuba untuk menjodohkan aku buat kali yang kedua.
Kali ini anak kepada jiranku pula, ibu bapa lelaki itu merupakan kawan ibu bapaku, dan lelaki tersebut merupakan kenalan semasa aku bersekolah dulu. Tapi kami memang tak pernah berhubung langsung seusai habis persekolahan.
Nak dijadikan cerita, kali yang kedua ini pun tak berhasil kerana aku dan lelaki tersebut tidak mempunyai perasaan lebih daripada kawan.
Jadi kami buat keputusan untuk beritahu ibu bapa masing-masing untuk tidak meneruskan perkahwinan itu.
Aku dan M masih meneruskan hubungan kami. Bekerja, jumpa sekali dua dalam sebulan, dalam masa yang sama kami mula menyimpan saving untuk masa depan.
Setelah 5 tahun, M cuba lagi untuk datang ke rumah aku bagi mendapatkan izin dan restu dari ibu bapaku.
Dan Alhamdulillah, tidak disangka-sangka ibu bapaku memberikan respon yang berbeza dari sebelum ini. Mereka menerima dengan hati yang terbuka.
Hujung 2022 kami selamat bertunang dan InshaAllah tidak lama lagi kami akan bernikah. Kisah ini tidak terhenti di sini.
Baru-baru ini ibu bapaku meminta untuk kami tinggal serumah dengan mereka selepas berkahwin nanti.
Tanpa tanya apa plan aku dan M, sama ada kami setuju atau tidak, mereka terus menyuarakan agar aku dan M tinggal bersama mereka.
Aku sangat terkilan dengan tindakan ibu bapaku. Seolah-olah menjadi anak perempuan tunggal ini, tidak punya hak untuk membuat keputusan hidup sendiri.
Aku dah cuba berbincang dengan ibubapaku yang aku dan M memang merancang untuk menyewa, belajar hidup sendiri.
Tapi mereka banyak memberikan alasan yang bila menyewa lebih banyak kos dan jauh lebih susah nak dibandingkan dengan rumah ibu bapaku yang memang dah cukup semuanya.
Selain itu, mereka juga nakkan aku duduk serumah supaya mereka rasa selamat memandangkan masing-masing sudah pun lanjut usia.
Aku dan M memang dah peruntukkan kewangan untuk kami menyewa nanti, dan kami dah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan diawal perkahwinan.
Kami juga merancang untuk tinggal berdekatan dengan rumah ibu bapaku supaya senang nak melawat mereka nanti. Tapi malangnya, ibu bapaku tetap tak bersetuju dan berkeras untuk aku dan M tinggal bersama mereka.
Disebabkan perbalahan ini, mengingatkan aku tentang tindakan mereka yang terdahulu. Ingin menjodohkan anak tanpa tahu hati dan perasaan, sekarang nak mengawal hidup aku selepas berkahwin pula.
Aku cuba sedaya upaya untuk menjadi anak yang baik, mendengar permintaan mereka, tapi kadang-kadang aku teringin juga nak laksanakan impian aku sendiri.
Mereka ibu bapa yang baik, memberi cukup keperluan kepada aku dari kecil sampai sekarang tapi kadang-kadang aku rasa macam hidup dalam bayang-bayang ibu bapa sendiri.
Aku tidak boleh berkata tak bila mereka nakkan sesuatu sampai aku terpaksa melupakan impian aku sendiri.
Aku harap dapat selesaikan perkara ini dengan baik, mudah-mudahan urusan kami semua dipermudahkan. Aamiin.
– Dahlia (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit