Anak 10, Ibu Sebatang Kara

Assalamualaikum semua. Aku Tyson, (bukan nama sebenar). Aku merupakan anak bongsu dari 10 orang adik beradik, 6 kakak dan 3 abang. Umur aku sekarang 30 tahun. Baru habiskan master dan kerja sebagai technician rumah.

Aku ada master dalam electrical engineering. Pernah dipanggil untuk bekerja di beberapa kilang, dengan gaji yang agak lumayan. Tapi semua terpaksa aku tolak sebab berkorban untuk jaga ibu aku di kampung.

Alhamdulillah, adik beradik aku semua berjaya, ada kerjaya, sudah berkahwin dan berkeluarga. Tapi satu pun tak dapat jaga ibu di kampung. Paling rajin pun, mereka datang hujung minggu ziarah ibu.

Masalahnya, mereka ni datang macam bercuti. Bilik nak disiapkan, bangun lambat, cucu2 bangun awal, mesti ibu dan aku yang kena layan.

Waktu aku belajar dulu, ada yang buat giliran ambil ibu jaga di rumah masing-masing. Ibu aku awalnya sihat semasa dijaga mereka.

Kami ada group whatsapp keluarga yang ada ipar sekali. Tiap kali giliran bertukar, mesti macam bergaduh dan tak puas hati. Terkadang tu lebih sehari dua je dah bising.

Kakak2 ipar aku pula, rajin share post di media sosial, dalam group tentang anak lelaki kena sediakan rumah asingla, katanya nafkah tanggungjawab tu berbeza. Macam2 la dalil yang dikeluarkan.

Yang kakak2 kandung aku sendiri pula hujahnya tanggungjawab anak lelaki la, syurga isteri dengan suami la. Abang aku pula, akan bergaduh bila nak bertukar giliran.

Aku faham, aku pun Islam. Masalahnya semua gunakan agama yang belajar tak berguru tu untuk tolak jaga ibu.

Aku awalnya diamkan sebab aku pun tengah belajar dan tiada duit nak jaga ibu. Waktu aku habis belajar, aku bercadang untuk bekerja, dan jika perlu berpindah, aku akan bawa ibu jaga sendiri.

Tapi sewaktu aku belajar master, di sem terakhir, ibu menghidap sakit jantung dan darah tinggi. Aku punyala risau sampai hampir nak berhenti belajar.

Aku terpaksa merayu dalam group whatsapp, aku janji dengan mereka, aku jaga sendiri tak perlu giliran dah. Mereka semua diam.

Lepas aku habis belajar, terus aku ajak ibu tinggal di rumahnya. Jika ada yang datang ziarah, pintu sentiasa terbuka. Semua ada kunci rumah ibu. Waktu aku dah jaga dalam setahun barulah ada yang minta nak jaga ibu sendiri. Tapi ibu aku pula tolak.

Bila aku berbual dengan ibu, barulah aku tahu cerita, ibu aku tahu semua tak suka jaga ibu.

Ada yang boleh bergaduh depan ibu sebab tak dapat pergi bercuti, tak dapat berjalan raya sebab ibu ada. Kadang aku terfikir, mungkin itu yang sebabkan ibu darah tinggi sampai kena serangan jantung.

Ibu aku jenis pendiam, suka memendam. Aku tahu ibu bukan yang jenis mak mertua suka komplain sana sini. Yang aku paling sedih bila ibu kata, “Apa dosa ibu sampai dapat anak2 macam ni?” Aku rasa sedih sangat.

Ibu aku bercerita dengan aku tanpa sebut nama anak dia yang mana yang bergaduh depan dia tu, atau mengumpat sesiapa pun. Ibu asyik salahkan diri sendiri saja.

Jawapan aku hanya, “Mungkin Allah nak bagi Tyson pahala lebih jaga ibu. Dulu kan Tyson yang paling degil.” Ibu hanya diam. Dia juga salahkan dirinya sebab aku tak dapat kerja yang lebih baik, dan masih tak berkahwin lagi.

Aku tak nak ibu rasa dia satu beban untuk aku. Cara aku hanya bergurau sahaja dengan ibu. “Bukan sebab ibu, tapi memang takde yang nak pun. Hahaha.”

Aku ada kenal dengan beberapa wanita, tapi aku terpaksa jujur yang aku akan bawa ibu tinggal sekali dengan aku. Semua tidak setuju. Yang setuju hanyalah, boleh datang lawat ibu hari minggu.

Rasa nak nangis pun ada dengan pemikiran orang yang tiada common sense dan empati zaman ni. Walaupun aku dah ceritakan keadaan ibu, masih macam tu lagi.

Apapun, aku harap kalian diluar sana tolonglah fikir. Betul, tanggungjawab, nafkah, syurga semua yang dibahaskan tu, ada betulnya. Tapi Islam ni tak kejam.

Kalau ibubapa kalian dah uzur, tergamak ke kalian tinggalkan mereka uruskan diri sendiri. Walau rumah sebelah, orang tua kalau jatuh sikit pun, boleh jadi kritikal.

Harap kalian semua janganlah pilih agama mengikut kehendak. Tapi belajarlah dengan guru yang betul.

Dah bertanya khabar ibubapa tak tu? Wassalam…

– Mail (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *