Anak

“Wan! Cepat makan! Mak suapkan ya, cepat. Lepas ni Wan boleh tengok TV,” mak memujuk anaknya.

Wan berjalan perlahan menuju ke arah mak.

“Mak!, Ma, Ma, Mawi ada , ny, ny, nyanyi tak da, da, dalam TV hari ni?” Wan bersuara tergagap-gagap sambil membuka mulut untuk disuapkan.

“Takpe! Wan makan dulu. Nanti kita tengok ya,” mak sedapkan hati anaknya.

Wan memang minat pada Mawi. Wan berkata suara Mawi sedap. Mawi baik macam ustaz di masjid yang mengajar kelas agamanya.

Selesai makan, Wan suruh mak buka TV. Mak turuti kemahuan anaknya. Satu demi satu rancangan mak buka. Dengan suara tergagap Wan bersuara.

“Tak, tak, takde pun Ma, Ma, Mawi, mak!”

Mendengarkan keluh anaknya, cepat mak memintas.

“Mawi cuti hari ni. Esok ada Mawi!”

Mak terpaksa menipu, kalau tidak banyak nanti kerenah Wan. Wan percayakan kata mak.

RIZUWAN BIN ABDUL RAZAK. Berumur 25 tahun, tinggal dengan Abah dan Mak di sebuah kawasan perumahan kos rendah di salah satu daerah di Negeri Sembilan.

Adik beradiknya tiga orang dan Wan anak yang bongsu. Abang dan kakaknya telah berumah tangga. Abangnya tinggal di Melaka dan kakaknya tinggal di Johor.

Wan seorang lembam, mempunyai IQ yang rendah, lurus bendul dan segala pergerakan Wan terbatas dan perlu dipantau.

Rutin harian Wan duduk di rumah, menonton TV atau mendengar radio. Cuma sekali sekala saja Wan keluar, apabila disuruh oleh mak untuk membeli barang runcit di kedai berdekatan. Membeli barang yang mudah saja.

Mak melarang Wan keluar selalu, risau Wan bercampur dengan budak jahat. Wan senang dipengaruhi dan dibuli.

Pernah terjadi Wan diajar merokok. Pada mulanya Wan menolak. Kata Wan

“Merokok tak elok, boleh mendatangkan sakit. Nanti mak marah.”

Tapi budak-budak jahat itu menpengaruhi Wan dengan berkata.

“Rokok sedap macam makan burger!” Wan terpengaruh terus merokok. Hampir sebulan juga Wan merokok.

Mak dapat tahu kerana hairan Wan selalu meminta duit. Teruk Wan kena marah dan dipukul. Wan juga pernah lari dari rumah. Semua itu disebabkan pengaruh daripada kawan-kawan.

Wan bersekolah di sekolah khas tapi tidak habis. Orang seperti Wan memang tiada tempat di luar sana.

Puas mak cuba untuk mendapatkan perkerjaan untuk Wan tapi gagal. Walaupun mak tahu yang dia tidak patut buat begitu, kawal dan kurung Wan tapi mak terpaksa.

Abah sakit Asma kronik boleh dikatakan dalam sebulan, dua atau tiga kali perlu mendapatkan rawatan di hospital.

Pada mulanya mak selalu membawa Wan tetapi kelamaan Wan tidak mahu ikut. Pandai Wan berkata. “Boring!”

Wan jenis yang tidak boleh dipaksa. Bila dipaksa, teruk mak kena pujuk sebab Wan akan buat perangai. Mujur ada jiran depan rumah sudi menolong menjaga Wan.

Di depan rumah mak, tinggal dua orang Andalusia (Anak Dara lanjut usia). Salah seorang dari mereka yang selalu menolong mak, jaga Wan.

SALMAH namanya. Salmah, cikgu sekolah rendah, mengajar subjek Pendidikan Islam, boleh dikatakan Ustazah. Cikgu Salmah yang selalu menjaga dan berbual dengan Wan sampai mak pulang dari hospital.

Tentang makan-minum Wan, mak sudah sediakan. Berbulan juga Mak minta pertolongan Cikgu Sal. Akhirnya Cikgu Sal berkawan dan rapat dengan Wan.

Waktu petang.

Wan duduk di sisi mak. Mak ketika itu sedang melipat kain. Serentak Wan bertanya pada mak.

“Ke, ke, kenapa mak selalu ba, ba, bawa abah ke ho, ho, hospital?”

“Kan abah sakit! Kenalah pergi hospital,”

“Ke, ke, kenapa bu, bu, bukan abang atau ka, ka, kakak yang bawa a, a, abah ke ho, ho, hospital?”

“Abang dan kakak kan sibuk!”

“Ke, ke, kenapa mak jaga a, a, abah?”

Mak pandang ke wajah anaknya, seraya berkata dengan penuh yakin.

“Kan mak ni bini, abah. Jadi bini yang kena jaga suami,” mak cuba fahamkan anaknya.

“Ka, ka, kalau macam tu, Wa, Wa, Wan nak cari bi, bi, bini lah mak!”

Terperanjat dan tersentap mak bila mendengar kata Wan. Mak terdiam. Wan bertanya lagi

“Mak! Bo, bo, boleh tak Wan ca, ca, cari bini? Na, na, nanti boleh lah bini ja, ja, jaga Wan.”

Mak terdiam lagi. Mak panik tidak tahu hendak bagi alasan apa.

“M, m, mak! Bo, bo, boleh tak Wan cari bi, bi, bini?”

Berulang pertanyaan Wan. Puas mak berfikir cari alasan, akhirnya mak terpaksa menipu.

“Sekarang Wan belum boleh kahwin lagi…”

“Ha, ha, habis! Bi, bi, bila mak!”

Sambil bangun, mak menjawab.

“Nanti mak bagitau!”

Mak berjalan laju ke dapur. Mak menangis semasa menjawab soalan terakhir anaknya.

Di ruang tamu Wan bersuara agak kuat.

“Mak! Na, na, nanti dah boleh ba, ba, bagitau Wan ya!”

Di dapur mak termenung sejenak, airmatanya laju mengalir. Mak sedih mengenang nasib Wan.

Perempuan manakah yang sanggup berkahwin dengan Wan? Perempuan manakah yang mahukan lelaki lembam?

Walaupun berumur 25 tahun, kadangkala Wan berfikiran seperti budak berumur 7 tahun. Air mata mak kekal mengalir laju bila mengenangkan semua itu.

Apakah yang akan terjadi pada Wan bila dirinya tiada? Mak tidak dapat menjawab soalan itu.

Mak tidak tahu hendak cakap apa-apa. Bagi mak biarlah keajaiban berlaku. Allah Maha Berkuasa. Mak rasa bersalah sangat.

Sejak hari itu, Wan asyik berulang kali bertanya bila dirinya boleh berbini atau berkahwin.

Wan ingat senang ke hendak kahwin?

Wan ingat ada ke perempuan yang hendakkan dia?

Tapi Wan tidak terfikir semua itu sebab Wan lembam.

Berbulan perkara ini berlaku, mak terpaksa menipu, menipu dan menipu selagi boleh.

Mak rasa bersalah sangat kerana sebut perkataan “Bini” pada Wan. Mak tidak tahu berapa lama lagi mampu untuk menipu Wan.

Wan sekarang mula tunjuk perasaan, merajuk, tidak mahu makan dan bermacam-macam kerenah yang dibuatnya.

Satu hari, Cikgu Sal datang rumah Mak.

Cikgu Sal memberi salam, mak muncul di depan pintu menjawab salam.

“Cikgu! Masuk lah,” mak mempelawa.

“Terima kasih makcik,”

“Duduk cikgu! Biar makcik buatkan air sekejap,”

“Takpe! Tak payah susah-susah makcik!”

“Takpe! Alah takde susah pun.” Tersenyum mak semasa melangkah ke dapur.

Cikgu Sal hanya diam, mengalah. Seketika, mak muncul membawa dulang, di atasnya dua cawan bersama sepiring goreng pisang.

“Buat susah je makcik ni,”

“Takpe lah cikgu! Makcik yang selalu susahkan Cikgu.” Ada senyuman di bibir mak.

“Tak da la makcik. Oh ya, mana Wan! Makcik!”

“Kat belakang dengan abahnya,”

Mak dan Cikgu Sal terus berbual-bual. Terkadang terdengar gelak- tawa mereka.

Sedang mak berkata, Cikgu Sal memotong cakap mak. Serius wajahnya, tidak berkelip matanya memandang wajah mak. Bibirnya bergerak-gerak tapi tiada suara. Cikgu Sal cuba tenangkan dirinya. Pantas bibirnya melontar kata, kata pengakuan.

“Makcik! Saya nak kahwin dengan Wan!”

“Apa!!!” Mak buat tidak dengar. Mak terperanjat.

“Saya nak kahwin dengan Wan!” Cikgu Sal ulangi.

“Cikgu dah gila ke!” Keras dan tinggi nada mak.

“Tak! Saya tak gila,” jawab Cikgu Sal tenang.

“Kenapa ni cikgu?” soal mak serba tidak kena.

“Saya dah tahu makcik, tentang Wan yang nak kahwin. Wan pun ada cerita pada saya sebelum ni.” Mak terdiam, airmatanya berombak bertakung di kelopak mata.

“Habis tu! Kenapa cikgu sanggup!” Perlahan tapi tegas mak bersuara.

“Saya dah fikir masak-masak. Saya sanggup berkahwin dengan Wan.” Tegas Cikgu Sal.

“Cikgu sedar tak apa yang cikgu buat ni! Cikgu tahu kan anak makcik tu macam mana. Walaupun nanti Wan menjadi suami tapi cikgu kena jaga dia macam budak-budak.” Mata mak tepat memandang ke wajah Cikgu Sal. Airmata mak tidak dapat diempang lagi pecah, laju di pipi.

“Saya tahu makcik. Saya selalu jaga Wan, makcik pun tahu kan!”

“Cikgu! Tolonglah jangan! Janganlah rosakkan masa depan cikgu.” Merayu mak.

“Saya tahu, saya boleh kahwin dengan orang lain tapi saya tak kahwin jugak sampai sekarang. Makcik, saya dah buat keputusan nak kahwin dengan Wan. Saya tahu kebaikan dan keburukannya dan saya sanggup!” Seolah keputusan muktamad Cikgu Sal telah buat.

“Adakah cikgu buat semua ini kesian dengan anak makcik?” tanya mak untuk kepastian.

“Tidak makcik! Saya ikhlas.” Cikgu Sal yakin.

“Sudah lah cikgu… Makcik rasa cikgu pun tak faham apa yang cikgu buat ni. Cikgu balik lah, tumpu pada hidup cikgu.Tentang Wan, cikgu tak perlu simpati. Wan masih ada abah dan maknya. Maaf cikgu! Makcik ada kerja ni,” terus mak bangun.

Semasa melangkah air mata mak mengalir di pipi jatuh menitis ke baju kurungnya.

Mak tinggalkan Cikgu Sal sendirian. Mak tidak mahu simpati daripada sesiapa pun.

Selepas kejadian itu, mak tidak minta tolong lagi pada Cikgu Sal untuk menjaga Wan. Hubungan mak dengan Cikgu Sal tidak berapa baik sekarang.

Sebulan berlalu.

Wan telah jatuh sakit, dibawa ke hospital. Setelah diperiksa, doktor mengesahkan Wan tidak sakit kronik. Hanya badannya yang lemah dan tidak bertenaga.

Sejak insiden Wan hendak kahwin, Wan memang tidak berselera hendak makan. Makin lama makin teruk selera Wan, kalau makan pun sebab dipaksa oleh mak.

Makan hanya ala kadar sahaja. Mak tidak boleh buat apa-apa. Doktor beri amaran jika perkara ini berulang boleh membahayakan diri Wan. Wan dirawat selama 3 hari di hospital.

Seseorang telah datang melawat.

Kedatangannya tidak diundang bagi mak, iaitu Cikgu Sal. Ketika itu hanya abah dan mak yang ada, abang dan kakak Wan telah pulang.

Setelah memberi salam dan bertanya khabar semua, Cikgu Sal terus meletakkan bekas makanan di atas meja.

“A, a, apa nie kak!”

“Sup untuk Wan. Suka tak?” Tanya Cikgu Sal.

Wan diam, tapi senyuman terukir di bibirnya. Wan suka dengan kehadiran Cikgu Sal. Mak hanya diam.

Keadaan senyap seketika seperti tiada orang.

Cikgu Sal dapat rasakan, Cikgu Sal memandang ke arah Abah kemudian dialih ke wajah Mak. Ada keikhlasan wajahnya. Perlahan Cikgu Sal bersuara.

“Pakcik! Makcik! Saya nak berkahwin dengan Wan. Saya ikhlas nak kahwin dengan Wan. Saya terima seadanya kekurangan Wan. Saya ikhlas.”

Mak terperanjat dan tidak sangka yang Cikgu Sal masih tidak berputus asa. Mak ingatkan selepas kejadian tempoh hari, Cikgu Sal akan berubah hati. Tapi sebaliknya berlaku.

Abah memandang ke arah mak tanpa mengeluarkan sepatah kata.

Cikgu Sal memandang ke arah Wan dengan senyuman.

“Wan! Kita kahwin ya! Wan nak kahwin dengan kak tak?”

“Nak! Nak! Hey! Wan da, da, dapat bi, bi, bini!”

Melompat-lompat Wan dengan gembira. Cikgu Sal mencelah lagi.

“Wan tak boleh panggil kak. Wan kena panggil Sal. Boleh tak!”

“Bo, bo, boleh! Ka, ka, kak Sal!” kata Wan.

“Bukan kak! Sal saja.” Cikgu Sal membetulkan sambil ketawa.

Akhirnya semua turut ketawa.

Dalam hati mak, keajaiban sudah berlaku. Pelahan mak hampiri Cikgu Sal, tangan Cikgu Sal mak genggam. Cikgu Sal memandang ke arah mak. Mak hanya mampu tersenyum tanda berterima kasih. Cikgu Sal juga tersenyum. Mak dan bakal menantu berpelukan.

Cikgu Sal berumur 40 tahun. Berasal dari Pahang. Cikgu Sal tiada sesiapa lagi. Abah dan maknya telah lama meninggal.

Hanya Tuhan saja yang tahu kenapa Cikgu Sal tidak kahwin lagi. Memang berani, nekad dan baik hati Cikgu Sal. Bukan semua perempuan boleh lakukan apa yang Cikgu Sal buat.

Seminggu Wan dan Cikgu Sal berkahwin. Majlis perkahwinannya dilakukan kecil-kecilan sahaja. Hanya ambil yang wajib diikuti dengan kenduri doa selamat yang diadakan di rumah mak. Semasa akad nikah, dekat berbelas kali diulang sehingga Wan berjaya.

Setelah berumahtangga, Wan duduk di rumah sewa Cikgu Sal. Rakan rumah Cikgu Sal telah berpindah. Pada permulaan alam perkahwinan mereka, memang agak kelakar dan kelam kabut.

Contohnya pada malam pengantin. Ada ke patut Wan hendak tidur di ruang tamu, katanya hendak tengok TV ada acara melibatkan Mawi. Puas juga dipujuk baru Wan tidur di bilik pengantin.

Cuba bayangkan bagaimana Cikgu Sal hendak betulkan lidahnya panggil “Abang” pada Wan.

Banyak kali Wan minta isterinya suapkan makan. Malah ada juga Wan panggil isterinya dengan panggilan “Kak”.

Bagaimana pun, Cikgu Sal banyak bersabar dan banyak mengajar Wan. Cikgu Sal mengajar Wan tentang dunia baru. Syukur! Wan ada perubahan.

Diam tidak diam, kini perkahwinan Wan telah memasuki tiga bulan.

Pada suatu hari, Cikgu Sal rasa pening-pening kepala dan akhirnya pengsan. Panik Mak apabila mendapat tahu khabar menantunya dari Wan. Cikgu Sal dikejarkan ke hospital, disahkan hamil dua minggu.

Keadaan berubah, perubahan membawa kebahagiaan kepada semua orang. Mak mencium dahi Cikgu Sal sebagai tanda syukur.

Yang paling gembira sekali ialah Wan. Menjerit-jerit dan melompat-lompat di sisi isterinya.

“Mak! Wan da, da, dapat a, a, anak!”

Cikgu Sal hanya ketawa sahaja.

Bulan pertama Cikgu Sal hamil.

Cikgu Sal selalu sakit. Pada mulanya Mak sangkakan pembawakan budak tapi semakin lama semakin teruk. Dengan sakit kepala yang melampau, muntah, pengsan dan di rahimnya keluar darah.

Mak bertanyakan pada menantunya.

“Sal ada salah makan tak?”

“Takde mak…”

“Lain sangat sakit Sal ni. Teruk ni! Kita pergi ke hospital ya…”

“Tak payah lah mak. Sakit Pembawakan Budak je…” Mak ikut kata menantunya.

Bulan kedua hamil.

Pukul 1.30 pagi, Wan menjerit diluar rumah.

“Mak!!! Mak! Sal sa, sa, sakit!!”

Bukan Mak sahaja yang tersedar malahan jiran sekeliling juga terkejut mendengar jeritan Wan.

Mak terus meluru ke rumah Wan.

“Kenapa Wan?” kata Mak dalam keadaan panik.

“S, S, Sal! Sal mak! Sal pe, pe, pengsan mak!” Panik wajah Wan.

Jiran-jiran berkumpul di depan rumah Wan.

Mak pantas berlari ke dalam rumah. Di depan pintu bilik, mak mengucap panjang. Mak lihat di atas katil terdampar tubuh menantunya yang pucat dengan muntah bertabur di tilam dan mulutnya berbuih.

Di celah kangkangnya terdapat darah. Darah begitu banyak sekali. Mak menghampiri menantunya, dipanggil nama menantunya berulang kali, tapi tiada berjawab. Digoncang tubuh menantunya, masih tiada sebarang tindak balas.

Mak menangis memanggil nama menantunya, digoncang lagi tubuh menantunya. Cikgu Sal tetap kaku membisu.

Selang 30 minit kemudian, ambulans sampai. Cikgu Sal dibawakan ke hospital terus dimasukkan ke wad ICU.

Semua orang berkumpul di luar wad.

Wan menangis bagaikan budak kecil sambil memeluk Mak. Mak dan abah turut menangis. Mak menadah tangan memohon doa pada Tuhan agar menantunya selamat.

Wan berubah kedudukan, duduk bersila di lantai tangis kekal diwajahnya.

Dalam sejam, kelihatan doktor keluar dari wad ICU. Apabila terlihat doktor, Wan terus berlari.

“Do, Do, Doktor! Macam ma, ma, mana dengan bi, bi, bini saya?”

“Encik! Banyakkan bersabar. Saya minta maaf, isteri encik tak dapat diselamatkan.”

“Dok, Dok, Doktor tipu! Doktor ti, ti, tipu. Wan tak per, per, percaya! Bi, bi, bini Wan tengah ti, ti, tidur kan!” Wan bagaikan hilang akal.

Mak menghampiri Wan cuba memujuk tapi tidak berjaya. Wan sudah hilang kawalan. Wan berlari untuk masuk ke wad ICU.

Semua yang berada di situ mengejar, Wan dapat ditahan. Wan menangis dengan sekuat hati.

“Mak! Bi, bi, bini Wan ten, ten, tengah tidur kan!” kata Wan berulang, airmata mengalir laju di pipi.

Mak hanya diam, tangisannya tidak terhenti. Tangannya menggosok bahu anaknya supaya bersabar.

Jenazah Cikgu Sal ditolak keluar, sebaik lalu didepan Wan. Pantas Wan menerkam jenazah isterinya, dibuka kain yang menutupi muka isterinya.

Wan menjerit sekuat hatinya. Wan menjerit memanggil nama isterinya. Keadaan menjadi panik seketika. Oleh kerana sedih yang teramat Wan jatuh pengsan ke lantai.

Cikgu Sal menghidapi kanser pangkal rahim, sepatutnya kondisinya tidak dibenarkan untuk memiliki zuriat. Tapi disebabkan sayangkan Wan, Cikgu Sal sanggup ambil risiko. Dan akhirnya mati.

Di rumah.

Wan berbaring di katil dengan memeluk erat gambar isterinya. Sudah tiga hari Cikgu Sal dikebumikan. Wan masih tidak dapat terima kenyataan.

“Wan! Wan!”

Di luar rumah kedengaran suara mak memanggil. Lemah Wan mengatur langkah.

“Ya mak…”

“Jom makan! Dah tiga hari Wan tak makan, nanti sakit,” kata Mak risau.

“Tak se, se, selera mak!”

“Jomlah makan! Mak suapkan ya,” Mak memujuk. Wan diam, tidak diendah kata Maknya terus berlalu masuk ke dalam rumah.

Wan banyak bersendirian dan ada kepelikan terjadi pada diri Wan. Ada ketika Wan bercakap seorang diri di dalam rumah, seolah bercakap dengan isterinya. Kedengaran suara gelak tawa Wan seolah-olah isterinya masih hidup.

Wan banyak berubah, perubahan yang buat Mak risau. Hidup Wan tidak seperti dulu lagi.

Dua minggu kematian isterinya.

Pukul 9.00 pagi.

Wan lalu di depan rumah Mak. Ditangan kanannya memegang dua beg plastik. Mak menegur.

“Wan! Beli pa tu?”

“Beli sa, sa, sayur dan ik, ik, ikan, mak!”

“Baguslah! Boleh Mak masakkan!”

“Tak, tak, takpe Mak! Wan su, su, surul Sal ma, ma, masak. Na, na, nanti Wan jemput Mak ya!” Wan tersenyum.

Mak terperanjat mendengar jawapan Wan tapi Mak diam. Wajah Mak kelihatan kesian.

Suatu petang.

Mak datang ke rumah Wan. Wan menyambut Mak di muka pintu.

Di ruang tamu Mak melihat semua barang-barang dalam keadaan kemas. Mak memuji.

“Pandai Wan kemas!”

Wan menjawab dengan serius.

“Bu, bu, bukan Wan! Sal yang ke, ke, kemas.” Mak diam.

Wan ajak Mak ke dapur. Mak lihat di atas meja terdapat tudung saji tertutup rapat.

Mak hampiri lalu dibuka tudang saji. Alangkah terkejut Mak melihat banyak lauk terhidang. Mak tahu Wan tidak pandai memasak lauk-lauk ini.

“Mak nak ma, ma, makan tak,” Wan mempelawa.

“Ma, ma, makanlah mak, Sal yang ma, ma, masak ni!”

Mak diam lagi tapi mata Mak merah.

“Mak se, se, sekejap ya,”

Wan berlari masuk ke bilik. Seketika, Wan keluar dengan sepasang baju kurung di tangan.

“Mak, pan, pan, pandai tak Wan go, go, gosok baju untuk Sal? Es, es, esok Sal nak pergi se, se, sekolah,” Semangat Wan berkata.

Mak pandang ke wajah anaknya dengan penuh kesian dan kesedihan. Air mata tidak dapat ditahan lagi. Mak bersuara pelahan.

“Wan pindah rumah mak ya…”

“Ma, ma, mana boleh mak! Na, na, nanti sa, sa ,sapa nak ja, ja, jaga Sal,” kata Wan dengan yakin.

Mak tidak dapat berdiam diri lagi. Mak tidak sanggup melihat perangai anaknya begini.

“Sudah! Sudah!!! Sal dah mati! Bini kau dah mati! Kau faham tak!! Kau ni dah macam orang gila tau!” Dengan airmata menitis di pipi, mak bersuara keras, dipandang tepat ke wajah anaknya.

“Tak! Tak! Sal tak ma, ma, mati,” Wan menjerit berlari masuk ke bilik lalu dihempas pintu bilik.

Mak berlari mengejar, diketuk pintu bilik berulang kali untuk memujuk Wan. Tapi segala usaha mak gagal. Akhirnya mak tinggalkan Wan dalam bilik keseorangan. Wan memang berkelakuan pelik. Betul kata mak, seperti orang gila.

Pada waktu malam bukan sahaja mak, malah jiran sekeliling pun dapat mendengar Wan menjerit-jerit memanggil nama isterinya.

Sejak insiden itu, dua hari mak tidak nampak kelibat anaknya. Mak hairan apabila dilihat pintu dan tingkap rumah Wan tertutup rapat.

Ada juga mak bertanyakan pada abah. Abah menyakinkan mak mengatakan mungkin Wan keluar. Mak diam mendengar jawapan abah tapi mak masih merasa tidak sedap hati.

Petang itu mak pergi ke rumah Wan. Di luar rumah, mak lihat kasut dan selipar Wan ada, tersusun rapi.

Dipanggil nama Wan berulang kali.

Diketuk pintu depan bertalu-talu masih tiada jawapan.

Mak berjalan ke pintu belakang. Diketuk pintu belakang pula dipanggil nama Wan berulang kali. Namun jawapannya tetap sama. Mak hairan, ke mana pula pergi Wan.

Mak berjalan ke pintu depan semula. Semasa langkah, mak terpandang tingkap, tingkap bilik Wan yang terbuka sedikit. Mak hampiri tingkap itu, mak dapat dengar bunyi radio. Kedengaran lagu Mawi dengan volume yang sangat perlahan.

“Ada orang ni,” bisik hati mak. Mak cuba intai semampu yang boleh.

Ya Allah! mak ternampak ada sebujur tubuh terbaring di katil. Walaupun tidak jelas tapi siapa lagi yang tinggal di rumah ini, hanya Wan seorang sahaja.

Mak berlari ke depan sambil menjerit meminta tolong. Dalam sekelip mata jiran berkumpul datang.

Setelah menjelaskan apa yang mak nampak. Jiran-jiran pun buat keputusan untuk memecahkan pintu depan.

Pintu depan dipecahkan, semua menyerbu ke masuk ke dalam. Mak berlari menuju ke bilik Wan. Memang terdapat tubuh terbaring kaku di katil.

Tapi yang terbaring itu seorang “Perempuan” Memakai tudung kepala berwarna biru dan baju kurung biru bercorak bunga. Ditangan perempuan itu memeluk sebuah bingkai gambar. Kipas disebelah katil masih terpasang, begitu juga radio.

Apabila mak amati wajah perempuan yang sedang terbaring kaku itu. Wajah mak berubah.

“Oh! Tidak! Wan! Wan!!!” Mak menjerit sekuat hati. Mak terkam dan peluk erat tubuh anaknya yang telah kaku.

“Wan! Kenapa buat macam ni? Wan bangun Wan!” Kuat tangisan mak.

Semua orang yang berada di dalam bilik berpandangan sesama sendiri.

Kenapa Wan mati? Kenapa Wan mati berpakaian perempuan? Bingkai gambar dalam dakapan Wan ialah gambar isterinya. Keesokan hari, Wan selamat dikebumikan.

Catatan.

*Sejak kematian isteri, Wan seperti mempunyai 2 watak dalam dirinya.

*Benar atau tidak cerita ini? Tepuk dada tanya selera. ZP hanya bercerita saja.

Tamat…

– Zambri Perasan

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *