Anak Ajaran Sesat II

Untuk part I, (https://iiumc.com/anak-ajaran-sesat/).

Terlebih dahulu, aku berterima kasih pada semua yang memberi kata semangat dan doa. Niat aku hanya mahu berkongsi cerita dan meluahkan rasa terpendam selama ini.  Seboleh nya aku mahu buang terus memori ini.

Bukan tidak mahu buat laporan pada pihak berkuasa, tapi susah. Organisasi mereka besar, berada di merata negara. Malah di Turki, Makkah juga ada. Mereka sudah berpuluh puluh tahun bertapak.

Pernah diharamkan beberapa kali oleh JAKIM, namun hidup semula atas nama berlainan. Walaupun pengasas nya sudah mati, namun ajaran dan jemaah nya masih kekal dibawah pimpinan waris waris nya.

Aku memilih untuk ambil haluan sendiri. Kalau boleh tidak mahu ingat lagi. Pada yang bertanya, macamana aku boleh keluar, ianya bermula dari abang ku sendiri yang keluar dulu, kemudian baru lah aku.

Aku dapat kekuatan dari dia. Abang aku yang sanggup pertahankan aku bilamana Umi dan Abi marahkan aku, menuduh aku sebagai pengkhianat jemaah kebenaran.

Aku dan Abang kami sama sama memohon masuk ke Giat Mara untuk ambil kemahiran. Itu saja satu satu nya institusi yang menerima remaja keciciran, hanya dengan syarat mampu menulis dan membaca.

Aku dan Abang tak mampu nak sambung belajar akademik berikutan sudah lama tinggal kan dunia persekolahan akademik.

Jadi kami memilih kemahiran. Namun Abang aku pandai, fasih berbahasa Inggeris hanya dari rajin tengok movie dan baca kamus.

Untuk bermula, memang perit, dibuang keluarga, disisihkan saudara. Tapi yakinlah Allah itu ada. Bukan aku saja, ramai juga antara kami yang sudah keluar, berjaya hidup dan ternyata hidup di luar, tidak lah teruk seperti di gambar gambarkan semasa kami dalam jemaah.

Alhamdulillah, kini kami berjaya dalam bidang masing masing. Abang sudah berkahwin, aku saja masih single. Aku juga ada perniagaan dan mampu mengaji kan staf yang lebih pandai dari aku, yang cuma belajar sampai UPSR ni. Bak kata Jack Ma, “Hire someone smarter than you”.

Aku sangat bersyukur dengan nikmat yang diberi tika ini, kesedihan dan kekecewaan yang pernah aku lalui, Allah telah gantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

Umi Abi aku sudah tua, juga tidak lagi aktif dalam jemaah. Aku tidak pasti di sudut hati mereka, rasa menyesal atau tidak kerana pernah mengianaya anak anak mereka.

Tapi masih juga hubungi dan bersahabat dengan orang orang sana, masih membeli di kedai perniagaan mereka. Ya, mereka berlindung di sebalik ekonomi.

Perniagaan mereka juga hebat, banyak cawangan merata dunia. Sudah berberapa kali tukar nama syarikat, namun gaya hidup dan ideologi masih sama,

Malah makin teruk seperti mengatakan pengasas mereka tidak mati, tapi diangkat Allah ke langit. Sesekali terdetik di hati jahat aku, yela tu entah entah tengah kena seksa dalam kubur.

Aku ada kawan baik, kami pernah sama sama plan untuk lari dari jemaah. Tapi dia tak berjaya sebab sempat di kahwin kan,

Kali terakhir aku hubungi dia, dia berkongsi rasa sedih sebab hanya mampu lahirkan 3 orang anak itu pun rapat rapat, sebab bersalin caesarean, dan dia juga ada penyakit jantung, risiko untuk mengandung lagi.

Kemudian suami nya disuruh jemaah untuk kahwin lagi. Pada mereka, jemaah perlukan anak yang ramai untuk melahirkan askar askar Imam Mahdi. Sebab itu anak masih kecil, perut sudah boyot lagi.

Pil perancang dilarang sama sekali. Sudah bertahun juga aku tidak dapat khabar dari sahabat baik aku berikutan mereka dilarang untuk menghubungi orang luar. Lagi lagi orang luar pengkhianat seperti aku. Ianya ibarat membawa dosa pada jemaah.

Jika salah seorang suami atau isteri yang tidak mahu ikut jemaah, mereka juga disuruh untuk bercerai. Hubungan keluarga juga diputuskan jika tidak mahu mengikuti jemaah.

Semuanya kena taat dan ikut arahan, aku masih ingat seorang orang atasan kata kita sebagai ahli jemaah, ibarat buah catur, ikut saja setiap perintah dan arahan jemaah.

Dinafikan hak, namun tidak mampu bertindak. Mungkin sebab sudah dibrain washed sejak kecil. Tiada kekuatan keberanian. Aku pernah mengajak kawan kawan sebaya yang masih disana untuk keluar, tapi sudahnya aku kembali di ceramah mereka.

Pada mereka, jika benar jemaah ini sesat, pasti sudah di murka Tuhan, tapi sebaliknya jemaah semakin kuat dan berkembang di serata. Jadi dimana logik nya jemaah ini sesat?

Mungkin mereka lupa, disaat kita paling hina pada pandangan Tuhan, adalah dimana bila kita merasa kita adalah paling mulia.

Aku terbaca komen mengenai rumah amal. Ya, betul. Adik aku pernah ditempatkan di rumah amal milik jemaah tersebut dan dijadikan anak yatim walaupun Umi Abi masih hidup.

Maka dengan tertubuhnya rumah amal dan anak yatim, banyaklah pihak luar yang memberi sumbangan wang dan bantuan. Duit itu juga yang digunakan dalam pembangunan jemaah.

Tegar sungguh Umi dan Abi aku biarkan anak mereka diexploitasi, dijadikan anak yatim demi kepentingan pihak lain.

Aku dan Abang berjuang menyelamat kan adik adik kami yang lain. Mereka berjaya kembali ke sekolah di aliran perdana. Pandai pandai semuanya hingga ke universiti. Alhamdulillah aku tumpang gembira walaupun aku tidak berpeluang mengecap nikmat belajar di usia muda.

Nak belajar sekarang sudah malas pula, dah seronok berbisnes. Hehe. Aku lebih banyak belajar berkaitan dunia bisnes berbanding nak kembali belajar akademik. Mungkin otak juga sudah tepu.

Aku doakan kita semua di hindar dari segala hasutan syaitan dan manusia iblis jahat yang licik. Menunggang agama demi kepentingan kuasa, memperhambakan wanita demi nafsu yang berselindung di sebalik tirai agama.

Aku tidak mengajak kalian untuk memboikot perniagaan mereka. Urusan jual beli tetap sah dan halal dalam agama. Terpulang pada kalian.

Tapi untuk aku, aku memang tak kan membeli di syarikat mereka, mungkin sebab aku ada memori sejarah hitam berkaitan mereka dan aku tahu di apa yang ada sebalik perniagaan tersebut.

Ini confession kedua dan terakhir aku. Aku lebih tenang begini, masih belajar kenal agama mengenal Tuhan yang Esa, dengan guru yang betul. Berpaksi Al Quran dan Sunnah.

Aku jalani hidup seperti orang biasa. Berpakaian juga seperti wanita Melayu Islam biasa. Menutup, namun tidak keterlaluan. Aku memilih untuk jadi manusia yang bersederhana, kerana bersederhana itu lebih baik.

Kata Nabi, tujuh puluh tiga pintu, tujuh puluh tiga jalan, yang sampai hanya satu jalan. Moga kita tergolong di dalam satu satunya jalan itu.

– Bunga Indah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *