Anak-anak Perceraian

Assalamualaikum admin dan para pembaca sekalian. Terima kasih admin  sudi post aku punya confession ni.

Nama aku Nana, Oh Nana oh Nana (nyanyi macam lagu Didi and friends tau) aku tahu tak lawak, kejap lagi aku serius ehhh (tengok tajuk, pleaseeee!!). Aku umur 23 tahun, tinggal kat utara selatan timur dan barat rumah aku lerr. Ok gurau lagi, aku berasal dari negeri utara sana, perlis ke kedah ke perak ke awokme pikirlah sendiri yerrr! Sekarang tengah belajar lagi, tak lama lagi habislah, inshaAllah. Doakan aku berjaya dunia dan akhirat tau.

Tajuk aku anak-anak perceraian. Kenapa aku nak cerita tentang benda ni? Dah semestinya sebab aku ni salah seorang daripada mereka yang ibu bapanya bercerai, tak kisahlah sama ada dengan cara baik atau sebaliknya.

Haritu aku balik rumah dalam 2 ke 3 hari, masa tu tengah cuti apa entah, ada laa jiran aku ni datang rumah. Biasalah jenis mak-mak orang ni kalau berjumpa, cerita satu taman dia angkut sekali dah macam nak buat live berita kat awani pun ada gayanya. Ok apa cerita yang jiran aku angkut sekali nak buat modal berborak lama-lama kat rumah aku? Cerita tentang anak jiran aku yang terbiar, tak tahu makan pakai macam mana lepas mak bapak diorang bercerai. Anak jiran aku yang bercerai tu umur dalam 19, 14 dan 12 tahun kalau tak salah aku. Anak-anak tinggal dengan bapak sebab mak diorang tak mampu nak jaga, yelah dah takde rumah sendiri, kerja kilang pastu menyewa rumah dengan kawan-kawan kerja.

Senang cerita memang mak diaorang tak mampu tapi seminggu ke dua minggu sekali dia datang melawat anak-anak dia. Jadinya bila dia melawat tu anak-anak dia ceritalah yang bapak diaorang buat tak kisah jer kat diorang, barang dapur ke biskut kering pun takde nak dibuat alas perut bila lapar. Bapaknya kerja, keluar pagi balik petang. Anak-anak diorang aku tengok memang keluar suka hati dari rumah dah takde sapa nak tengokkan. Kerja sekolah entah siap ke tidak. Dengan umur yang macam tuu, risau terjebak dengan benda bukan-bukan jerr sebabnya budak-budak muda kat area perumahan aku ni berapa kerat jer yang berjenis.

Mesti korang tak puas hati kenapalah mak budak-budak tu tak bersungguh nak jaga juga anak-anak dia. Sini meh aku cerita. Katanya mak diaorang ni lari ikut lelaki lain dan itulah punca penceraian diaorang. Jangan buat kesimpulan dulu. Memang mak diaorang tu ada juga salahnya tapi bapak diaorang apa kurangnya. Nafkah kat isteri dan anak-anak dia boleh pejam mata jaa tak kasi duit tapi dia pakai spek mata rayban tauuu, baju branded, keluar lepak dengan kawan makan sedap-sedap. Ini spesies tak bertanggungjawab punya bapak. Anak bini kat rumah kebulur. Nak ringkaskan cerita, isteri dia keluar cari kerja, tapi bila dah ada duit sendiri ni mulalah otak tu bergeliga tak kena gaya. That’s it. Masing-masing salah tapi bagi aku puncanya adalah bapak diaorang laa. Jadi anak-anak tu tinggallah dengan bapak diorang dengan harapan si bapak tu akan berubah dan belajar dari kesilapan. Lagipun, bapak tuu ada rumah, ada kereta jadi memang mampu untuk dia jaga dan lindungi anak-anak dia. Namun, manusia tetap manusia, kejap jer dia berubah pastu buatlah balik perangai tak bertanggungjawab dia.

Tutup kes tentang jiran aku tuu, ni tentang keluarga aku pulak. Sabar yerr, mungkin panjang dan bosan, takde manfaat pun tapi aku cerita ni takde niat lain selain daripada nak kita semua sedar akan beberapa perkara. Ok, back to the topic!

Masa jiran aku bercerita tuu, aku dengan mak aku mampu dengar jer laa sebab kami dah rasa dah dulu, Alhamdulillah sekarang masih lagi susah cumanya kami lebih bahagia dari dulu. Takde la aku nak kata aku bahagia bila mak bapak aku bercerai, tapi untuk apa pertahankan perkara yang satu pihak saja cuba selamatkan. Aku sayang ayah aku tau whatever he is sebab antara doa-doa dia jugaklah aku sampai ke tahap ni, dengan hasil titik peluh kerja dia jugak lah aku dapat makan, pergi sekolah sampai masuk universiti. However, nobody is perfect and people do mistakes. Mak dan bapak aku pun begitulah, termasuklah aku, ehhh korang pun sama jugaklah haha

Ok, lepas jiran aku balik tuu, aku cakap laa macam ni kat mak aku,

“nasib baik dulu mak tak tinggalkan kitaorang, dan buat perangai entah apa-apa lepas bercerai dengan ayah.”

mak aku diam jerr pastu dia cakap, sebab

“mak fikir nasib anak-anak mak, kalau mak takde macam mana korang nak ke sekolah, makan minum korang semua tu sapa nak jaga”

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Aku bersyukur mak aku sanggup bertahan walaupun banyak cerita yang bukan-bukan tentang kami yang jiran-jiran aku buat. Kalau tadi aku cerita kenapa jiran aku bercerai sekarang biar aku cerita kenapa mak bapak aku bercerai. Ayah aku kerja biasa-biasa jerr tapi mampulah nak sara kami sekeluarga, cumanya kena berjimat sikitlah. Mak aku surirumah sepenuh masa. Kami hidup bahagia tapi adalah jugak ribut petir sikit-sikit bila aku adik beradik buat perangai itu ini, mak aku pun kadang-kadang boleh tahan jugak anginnya.
Kan aku dah kata tadi, mak bapak aku pun ada salah masing-masing.

Lepas bertahun-tahun kerja, bapak aku kena pindah tempat kerja jadinya tempat baru, kawan-kawan baru. Tapi kalau kawan yang baik takpe ni jenis kaki karoke, usung perempuan sana sini sedangkan anak bini kat rumah terbiar. Jadinya, saat inilah bapak aku mula buat perangai. Kalau dulu, habis kerja terus balik, tapi masa tu dah pandai pulak nak melepak kejap dengan kawan-kawan. Dari situ mulalah kenal dengan perempuan sana sini. Sampailah bapak aku kahwin dengan perempuan tuu tapi masa tu dah bercerai dengan mak aku. Tapi the reason is sebab bapak aku buat perangailah.

Masa bapak aku buat perangai tuu, boleh pulak bapak aku pergi sewa sebuah rumah kat kawasan perumahan ni bagi kekasih dia duduk. Mana tak berangin mak aku, aku adik beradik ni gilalah malu tapi nak buat apa lagi, hidup perlu diteruskan. Cumanya masa ni kakak aku dah kerja, aku pulak sekolah yang jauh dari kawan-kawan yang tinggal satu taman dengan aku, adik aku masuk asrama. Jadi bila kat sekolah, aku adalah seorang pelajar yang sihat fizikal dan mentalnya tanpa ada sebarang masalah keluarga. Kawan-kawan rapat aku pun taktahu masalah keluarga  sebab aku malu nak cerita, keluarga diaorang baik-baik jerr mana nak faham kalau aku cerita. Dan Alhamdulillah jugak aku ni terhindar dari masalah sosial yang selalu anak-anak hasil perceraian ni hadapi. Salah satunya adalah aku ni bersekolah kat sekolah yang baik akademik dan sahsiah pelajarnya dan paling utama sekali aku yakin Allah jaga dan lindungi hasil daripada doa mak ayah aku. Aku tahu, walaupun ayah aku buat perangai tapi dia tak lupa doakan anak-anak dia sebab aku anak dia, jadi aku tahulah ayah aku macam mana. Adik beradik aku pun ok jugak takde nak hisap rokok ke ambik dadah takpun rebel ikut jantan sebab stress dengan masalah keluarga.

Masa mak ayah aku bercerai, aku tak tahu pun kata diorang bukan suami isteri lagi. Sebab apa? sebabnya ayah aku memang jarang balik rumah dah sebelum tu, dia tinggal kat rumah sewa tuu. Bila perempuan tu keluar pergi kerja dia pergi laa duduk sana, bila perempuan tu ada dia baliklah tidur rumah aku. Tapi tak lama mana pun perempuan tu duduk situ sebab dia malu. Dia pindah duduk rumah kawan-kawan dia. Masa tu ingatkan ayah aku dah putus tapi kejap jer laa putusnya. Ayah aku tinggal kat situ bila dia bercerai dengan mak aku, bila tengah hari dia datanglah makan ke singgah sekejap tengok aku adik beradik. Aku tak syak apa-apa pun sebab mak ayah aku cakap elok jerr cumanya maybe diaorang dah malas nak bertekak ke apa jadinya ayah aku tinggallah kat sana. Sampailah satu tahap tuu, ayah aku ajak aku pergi beli barang-barang rumah. Aku pun peliklah sebab kat rumah aku barang rumah elok jerr tapi rupanya dia nak siapkan rumah untuk isteri baru dia. Remuk tak remuk hati aku, sampai satu tahap aku telan ubat satu papan tapi antibiotiklah. Mana aku tahu tuu ubat apa tapi itulah caranya Allah masih nak selamatkan aku, Alhamdulillah aku masih hidup.

Cumanya masa tuu aku kecewa sangat sebab aku berharap yang mak ayah aku dah nak berbaik, nak tinggal balik sama-sama tapi benda tu mustahillah nak berlaku sebab diaorang dah bercerai lebih dari setahun masa tu. Aku jerr yang tak tahu, melainkan kakak aku dah tahu sebab dia yang bawa mak aku pergi pejabat agama.

Lepas dah kahwin, ayah aku dengan mak tiri aku tinggal kat rumah  sewa tu juga. Memang kecoh habislah satu taman perumahan aku ni tapi kami anak beranak pekakkan telinga jer. Aku percaya ada sebab kenapa ayah aku buat macam tuu dan kenapa mak aku tetap bertahan kat rumah kami. Walaupun bercerai, rumah yang aku duduk ni, ayah aku bagi pada mak aku sebab dia tahu susah senang mak aku jaga rumah ni, jaga kami adik beradik dan betapa  peritnya mak aku nak hadapi semua ni. Ayah aku kejam tapi dia masih tahu bertimbang rasa. Kata dia ni rumah mak aku dan kami adik beradik, kami tinggal jer kat situ tak perlu nak pergi mana-mana, biar dia yang keluar, cari rumah baru, dia tahu macam mana susahnya kalau mak aku nak kena cari rumah baru. Aku pernah tanya ayah aku kenapa ayah nak tinggal dekat sini, dekat dengan kami sedangkan jiran-jiran suka bercerita macam-macam tentang kita semua, ayah tak malu ke? Ayah aku jawab macam ni,

“Ayah nak dekat dengan anak-anak ayah, korang nyawa ayah, ayah taknak korang tak dapat kasih sayang seorang ayah, ayah taknak korang jadi bukan-bukan..cuma ayah dah buat salah dulu”

Mak aku pula, macam aku cerita tadi dia nak jaga anak-anak dia sebab dia tahu macam mana nasib anak-anak yang bila mak bapak diaorang bercerai. Mak aku bertahan walaupun jiran-jiran aku bercerita sana sini yang mak aku ni masih tunggu ayah aku untuk kahwin dengan dia balik. Mulut orang, mana kita boleh tutup kan?

Aku dengan adik beradik aku, kitaorang pergi sekolah, pergi kerja macam biasa. Jiran nak bercakap apa pun kitaorang buat tak tahu. Ayah aku pun ok juga dengan hidup baru dia, sekali sekala dia datanglah tengok kami. Lagipun nak lari ke mana dah duduk satu taman. Salah tetap salah, yang baik tetap baik. Benda dah hampir 10 tahun yang lepas dah.

Jadinya, punyalah panjang aku bercerita ni, apa yang aku nak sampaikan. Aku nak bagitahu yang anak-anak hasil perceraian ni perlukan perhatian dari mak bapak diaorang. Berapa ramai anak-anak remaja yang terlibat dengan masalah sosial sampai tahap jual tubuh, drug addicts, mengandung dan lahirkan anak luar nikah disebabkan oleh tekanan dan kemurungan dengan masalah keluarga. Aku pernah lalui jadi aku tahu apa perasaan diaorang. Bila mak bapak bercerai, kau akan rasa yang mak atau bapak kau tuu dah tak sayang kau lagi. Sebab apa? Sebab kalau sayang kenapa mesti berpisah, kena tinggal asing-asing, kan? Jadi mak bapak yang ada masalah rumahtangga tuu, fikirlah macam mana korang nak jelaskan pada anak-anak yang korang supaya diaorang tak tertekan. Kawan-kawan aku cerita yang diaorang sambut ulangtahun perkahwinan mak bapak diaorang, aku yanh dengar ni berharap sangat agar aku juga dapat buat macam tu. Kat situ, aku dah rasa kekurangan dah ada pada aku. Dah rasa tak sama macam kawan-kawan aku. Jadi itulah jugak yang dirasai oleh anak-anak hasil perceraian yang lain, mungkin tak semua tapi itulah ditanggung.

Mak bapak yang dah bercerai ni, walau apa pun masalah dan punca korang berpisah tapi hal anak-anak korang wajib ambil tahu, jangan biarkan si mak atau si bapak jer yang uruskan. Melawat dan luangkanlah masa dengan diaorang walau sekejap. Tak semua anak-anak hasil perceraian akan terlibat dengan masalah sosial, depressed tapi tak semua kami ini bernasib baik macam aku dan adik beradik dan yang lain-lain, iaitu kami ini mampu survived, kami mampu belajar dengan baik, bekerja dan hidup dengan baik.

Aku tahu korang pun taknak bercerai atau biarkan anak-anak korang jadi mangsa tapi usahakanlah yang terbaik. Yang bercerai adalah korang, anak-anak tuu darah daging korang, saham korang kat akhirat sana. Jangan lupa yang doa anak yang soleh adalah bekalan yang berterusan kepada korang bila korang mati nanti. Ini pesanan untuk korang, mak dan bapak.

Ok ini pesanan untuk anak-anak pulak. Jangan benci mak bapak korang. Its ok kalau nak marah, kecewa atau rasa apa sahaja tapi jangan lama-lama. Mendung dalam kehidupan kita ni sekejap jer. Move on dari rasa tuu. Mak bapak kita pun manusia, diaorang juga buat salah cumanya mangsanya adalah kita. Tapi kita bagi semangat pada mak bapak kita sebab we deserves a better life together. Yang lepas adalah lepas. Anggap semua ni ujian dari Allah untuk uji setiap dari kita. Allah uji sebab sayang, sebab kasih, sebab nak bagi ampun pada kita. Ujian demi ujian, kalau kita sabar dan bersyukur akan bersihkan dosa-dosa kita. Tertusuk duri kecil pun Allah bagi pahala kalau kita sabar apatah lagi kalau dugaan sebesar tu. Setiap air mata kita yang mengalir masa kita tidur tengah malam tuu Allah tahu, Allah nampak. Doa-doa kita, cakap-cakap kita dalam hati, Allah dengar. Allah kira semua tu sebagai ganjaran pahala kalau kita yakin pada Dia. Siapa tahu susah payah yang kita hadapi harini Allah nak bagi istana yang penuh kenikmatan dan kebahagian dalam syurga nanti. Teruskan hidup dan pegang kukuh pada agama Allah, ok. InshaAllah nanti Allah sembuhkan segala luka hati kita.

Dan sekali lagi, aku nak pesan walau apa pun yang jadi jangan benci dengan mak bapak korang, anak-anak korang jangan diabaikan, teruskan hidup dan berpegang kukuh dengan agama Allah. Lupa nak bagitahu tadi, antara punca bapak aku buat perangai adalah sebab dia lalai dalam menjaga agama, begitu juga mak aku. Senang cerita kami semua tak solatlah dulu, kalau solat pun jarang-jaranh jer. Lepas diuji macam tuu, kami mula kenal agama balik, cuba jadikan solat sebagai rutin kami balik. Analogi mudah, kita bina masjid tapi solat taknak, akhirnya runtuh begitu jer laa masjid tuu. Aku doakan pada korang kat luar sana yang ada masalah keluarga, tolonglah kuat dan jangan buat yang bukan-bukan. Cakap-cakap dari manusia sekeliling tu abaikan, diaorang tak rasa pun apa kita rasa. Korang fikirkan cara nak improved hidup untuk jadi lebih baik, cari cara nak bantu mak atau bapak korang dan ringankan beban mereka. Masyarakat sekeliling janganlah mulut jahat sangat menjaja cerita sana sini. Hari ni hari diaorang, siapa tahu esok lusa hari korang pulak?

Ok dah habis, maaf tersalah terkasar bahasa kat mana-mana, ini cerita benar dan ‘aku’ ni berada dalam kalangan korang jugak sama ada  korang sedar atau tak, korang nak bantu atau tak, itu jerr. Apa aku nak cakap, anak-anak perceraian ni perlu dijaga kebajikan mereka dan berhentilah mengaibkan mereka. Mana yang baik, buat teladan, mana yang tak baik tuu buanglah, aku yang bercerita ni jauh dari kesempurnaan.

Sekian, terima kasih. Aku doakan kita semua akan mendapat kebahagiaan, kalau bukan di dunia, moga-moga di akhirat kelak.

-Nana-

– Nana

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit