Anak-Anak Yang Terlupa

Sebelum aku melelapkan mata diulit mimpi indah, teringin berkongsi kisah kehidupanku yang mungkin boleh menjadi iktibar dan pedoman kepada kita semua.

Alhamdulillah, pertengahan Ramadhan yang lepas aku berjaya menamatkan pembelajaranku dalam bidang perubatan. Aku bukan pelajar UIA, tapi sebuah uni awam di pandan indah. Aku sedar, kejayaan ini adalah bukan semata-mata kerana usaha aku selama 7 tahun, tetapi berkat dari doa ibu bapa, adik beradik, keluarga, pensyarah dan sahabat semua.

Ya. Ibu bapa. Dua insan suci inilah yang sentiasa mendoakan kejayaan aku agar aku mudah menjalani kehidupanku sebagai seorang pelajar dan diberi kejayaan yang cemerlang. Aku bukan pelajar pintar. Aku bukan pelajar genius. Aku berusaha keras untuk berjaya. Tapi, usaha keras sahaja tidak cukup selagi tidak mendapat restu dan keberkatan doa dari ibu bapa.

Ingatlah wahai anak, Redha Allah itu terletak pada redha ibu bapa. Tiap-tiap hariku pasti akan aku selitkan waktu untuk bertanya khabar ibu bapa. Ya, setiap hari. Kadang-kadang lebih dari sekali dalam sehari. Bertanya khabar mereka, sihat atau tidak, buat apa, makan apa. Pada kita, masa yang sedikit kita luangkan ini tidak ada apa-apa, tetapi pada mereka sangat besar ertinya.

Alhamdulillah. Semasa di tahun klinikal tahun 4, 5 dan 6, aku tidak pernah gagal dalam peperiksaan tamat posting. Semasa di tahun klinikal, peperiksaan bukan hanya menjawab soalan teori tetapi pelajar dikehendaki mengenalpasti dan memeriksa pesakit. Dapat pesakit yang mudah memang Alhamdulillah. Jika dapat yang susah dan kurang kerjasama memang nauzubillah.

Dan seperti biasa, malam sebelum peperiksaan, aku pasti akan menelefon kedua ibu dan bapaku. Masa inilah, aku akan menceritakan segala kebimbanganku untuk menghadapi peperiksaan. Aku betul-betul meminta mereka mendoakanku agar dipermudah segalanya dan lulus peperiksaan. Memang benar kawan, dengar sahaja suara mereka dan doa mereka yang berkata, “Fxxxx jangan risau, mak abah sentiasa doakan kejayaan Fxxxx dan dipermudahkan segala urusan. Fxxxx mesti lulus punya. Mak abah yakin”, segala gundah gulana, kerisauan dan kebimbangan bagaikan hilang begitu sahaja. Serta merta keyakinan itu datang dan percaya bahawa doa ibu bapaku ini pasti memudahkan peperiksaanku esok.

Rupanya, benarlah bahawa, doa ibu bapa itu tiada sebarang hijab kawan. Boleh dikatakan setiap kali peperiksaan dengan pesakit, aku akan mendapat pesakit yang mudah memberikan kerjasama, memiliki diagnosis yang mudah dijangka, diagnosis yang pernah aku baca dan hafal, pesakit yang pernah diperiksa di wad serta pemeriksa yang baik hati.

Ingat lagi semasa di tahun 5, posting ortopedik. Posting ini terkenal dengan peratusan gagal yang tinggi. Memang seram dan tidak boleh tidur malam teringatkan peperiksaan yang bakal ditempuh. Semasa peperiksaan long case, kebetulan dan rezekiku, aku mendapat pesakit yang pernah aku clerk dan present semasa di wad dan kesnya aku ambil untuk dijadikan report oleh kerana kesnya agak rare (bone cyst pada kepala femur). Seperti dijangka, alhamdulillah aku lulus. Walaupun tidak cemerlang mana sebab aku pelajar biasa.

Sama juga seperti di posting-posting lain, setiap kali peperiksaan klinikal mahupun teori, seolah-olah dipermudahkan segalanya sehinggalah aku lulus peperiksaan profesional akhir. Apa yang dibaca masuk. Apa yang dihafal masuk. Berasa yakin bila berhadapan pesakit dan pemeriksa.

Benarlah sahabat, semua ini adalah kerana berkat doa ibu bapaku yang tidak putus-putus berdoa, bangun malam dan sentiasa sedekahkan pahala amalan mereka agar aku mudah dalam setiap urusanku.

Wahai sahabat-sahabatku, marilah kita renungkan kembali, ingatlah kembali, kejayaan kita harini, kekayaan kita hari ini, kebahagiaan kita hari ini, pangkat yang kita ada hari ini, mustahil untuk kita kecapi tanpa doa dan restu dari dua insan suci ibu dan bapa kita.

Wahai ANAK-ANAK YANG TERLUPA, juga untuk diriku yang alpa, berbaktilah kepada kedua ibu bapa, jagalah mereka, berkhidmatlah untuk mereka, tanyalah khabar mereka, berikanlah kasih sayang pada mereka, berbuat baiklah kepada mereka. Masa kita bersama mereka sudah tidak lama wahai sahabat. Jangan bila sudah tiada baru hendak merindui. Jangan bila sudah tiada baru hendak meratapi. Kesibukan kerja dan hal duniawi bukan alasan untuk kita mengabaikan mereka. Janganlah kita menjadi Si Tanggang di zaman moden. Mungkin 5 minit yang kita luangkan ditelefon bertanya khabar mereka, akan menjadi asbab untuk kita masuk ke syurga kerana keredhaan mereka pada kita.

Hargailah ibu bapa kita selagi mereka masih ada. Berbuat baiklah kepada mereka nescaya Allah akan mudahkan segala urusanmu dan rezekimu. Percayalah. Buat sahabat-sahabat lelaki yang sudah berkahwin, ingat, kamu wajib taat ibumu terlebih dahulu bukan isterimu.

Buat sahabat-sahabat yang membaca coretanku ini, aku memohon agar kalian mendoakan kedua ibu bapaku mendapat keredhaan Allah dunia dan akhirat, kesihatan yang berkekalan serta dimasukkan ke syurga tanpa hisab. Doakan ibuku juga sihat sepenuhnya dan tidak perlu pantang makan. Demi Allah, ibuku seorang yang sangat kuat. 4 tahun berpantang makan. Moga syurga tempatmu wahai ibu. Bersabarlah atas ujian dari Allah ini.

– F.M

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit