Anak Angkat Yang Bersyukur

ASSALAMUALAIKUM. Aku harap cerita aku ini admin sudi paparkan buat tauladan dan pedoman pada masing-masing. Yang baik jadikan tauladan dan yang tidak baik itu janganlah disimpan. Cukuplah pembaca kenali aku sebagai Sonia (bukan nama sebenar).

Pertama sekali sebelum aku memulakan kisah hidup aku yang berwarna-warni ini, aku harap kalau ada yang tahu SIAPA AKU ini, tolong jangan gatal tangan nak mention nama aku ye. Aku percaya mungkin akan ada yang akan boleh teka SIAPA AKU, tapi tolong buat-buat tak tahu.

Bismillahirahmannirahim… Ok, aku mulakan cerita tentang diri aku dulu, aku membesar dalam keluarga yang besar. Maksud aku, aku duduk dalam sebuah rumah yang didiami bersama nenek, makcik, pakcik, abang dan kakak saudara. Oh ye, aku anak tunggal yang dibesarkan oleh seorang ibu tunggal. Dan didalam rumah itu aku adalah yang paling kecil..kiranya yang bongsu lah dan paling disayangi dan manja*orang kata aku manja tapi aku rasa tak, aku rasa aku seorang yang kasar*.

Berbalik pada kisah ibu aku yang sebagai ibu tunggal,ye..aku hanya tahu ibu tu lah mak dan ayah pada aku. Dari kecil aku tak tahu siapa ayah aku, bagaimana rupa ayah aku, yang aku tahu ibu kata ayah dah meninggal dan ibu tak simpan gambar-gambar kahwin sebab rumah terbakar.

Korang bayangkan lah apa yang aku hadap bila dekat sekolah kena ceritakan tentang keluarga, kena lukis gambar keluarga, dan aku kena pura-pura lukis gambar “ayah” yang aku tak pernah tahu, tak pernah kenal, dan tak pernah tengok pun rupanya. Tapi aku kena lukis juga untuk tunjukkan pada kawan-kawan yang aku pun ada ayah.

Alaaa… korang tahulah mulut budak-budak sekolah ni, bila tahu kita takde ayah, seronok dorang main ejek-ejek. Bila dipikirkan balik, tak sangka mental aku kuat rupanya masa zaman budak-budak. Bab kena ejek “dah lah takde ayah” “eee..takde ayah,anak pungut kot” dan macam- macam lagi lah. Tapi aku kuat, aku akan ejek balik budak-budak yang ejek aku tu supaya aku tak rasa sedih sangat. Tapi sebenarnya dalam hati aku, walaupun aku masih budak waktu tu, aku macam terpikir-pikir dan tertanya-tanya sendiri *kiranya macam bermonolog sendiri la* siapa ayah aku? Mana ayah aku?

Oh terlupa.. mesti pembaca semua tertanya kalau betul meninggal, mana kuburnya?? Korang..soalan ni lah aku pernah tanya pada ibu aku…”ibu, ibu kata ayah dah meninggal, tapi mana kubur ayah?? Ibu tak pernah bawa Sonia pergi tengok kubur ayah pun” aku tanya begini di waktu umur aku 10 tahun. Korang rasa apa yang jadi lepas soalan ni aku keluarkan?? Ibu aku nangis teresak-esak seperti soalan aku umpama pisau yang menghiris hatinya.

Itu adalah kali pertama dan terakhir aku keluarkan kata-kata macam tu pada ibu aku. Korang nak tahu tak sebab apa? Sebab aku tak sanggup tengok ibu menangis seperti itu.. lagipun aku tak rasa sedikit kekurangan pun tanpa seorang ayah. Sebab aku membesar dalam keluarga yang besar, yang semuanya berikan aku kasih sayang yang cukup.

Apa yang aku nak, kalau aku tak dapat dengan ibu aku, aku minta pada nenek, pada makcik pakcik aku, pada abang atau akak saudara aku. Yang pastinya salah seorang dari mereka akan belikan apa yang aku nak. Ibu aku juga tak lokek dalam kasih sayang pada anak-anak buahnya.

Kiranya kami semua ni diberi layanan sama rata. Cuma aku ni sebab paling bongsu, ada terlebih perangai sikit lah. Tapi mereka semua tetap tegas dengan aku. Kasih sayang mereka bukan merosakkan aku. Ok, itu serba sedikit tentang diri aku dan keluarga yang membesarkan aku. Jeng.. jeng.. kenapa aku kata keluarga yang membesarkan aku??

Ceritanya bermula disini. Pembaca tersayang, terima kasih sebab masih membaca sampai tahap ini..sabar, panjang lagi cerita aku. Untuk pengetahuan kalian semua, rupa paras aku sangat-sangat lain dalam keluarga aku. Jika keluar ramai-ramai, orang akan pelik tengok aku. Dah kenapa kulit aku sorang warna lain? Dah kenapa muka aku sorang lain? Dah kenapa bentuk hidung aku sorang lain? Hahahaha..

Aku pun dulu tertanya-tanya juga kalau aku duduk menghadap cermin *masa kecil-kecil memang hobi aku menghadap cermin lama-lama, konon perasan cantik..buruk je hakikatnya.. Ishhh..tak baik, aku bersyukur apa adanya*.

Ok sambung cerita.. aku dah biasa dengan keadaan orang pelik tengok aku, kawan-kawan abang atau kakak saudara yang baru bertemu aku akan tanya benda yang sama setiap kali jumpa “yeke adik kau nie?? kenapa adik muka lain? Kulit lain ?” tapi keluarga aku ni semua pandai, mentang-mentang aku tak dapat tengok rupa sebenar ayah aku, dorang kata aku ikut muka ayah… pandai ye… tapi aku sayang mereka semua..terima kasih Allah.

Sebab tu aku kata mental aku kuat masa kecil-kecil. Setakat hinaan-hinaan bodoh ni, aku tepis dengan senyuman dan ejekan je balik..wah matang aku time tu..bila dipikirkan balik sekarang..bangga dengan diri sendiri masa kecil-kecil…hehehe..jangan muntah pulak, sabar-sabar.

Tapikan korang, tipulah aku tak rasa yang kadang-kadang aku ni anak angkat sebab rupa aku lain antara semua… yang membuatkan aku tepis perasaan itu atau lebih senang cerita aku tak rasa aku anak angkat kerana sebuah kasih sayang.. kasih sayang yang tak berbelah bagi aku terima dari semua membuatkan aku rasa..”tak mungkin aku anak angkat.. anak angkat selalunya kena dera..” hahaha.. biasalah kesan cerita-cerita drama kat tv tu.. hello pengarah, jangan rosakkan jiwa dan pikiran budak-budak boleh tak.. hahaha.

Dipendekkan cerita, aku jalani kehidupan aku macam biasa bersama keluarga besar aku dan ibu aku yang tercinta. Tamat sekolah menengah..sementara tunggu result SPM, ada satu peristiwa berlaku dan kerana peristiwa itu berlakulah, akhirnya terbongkar segala rahsia… rahsia yang selama ini disimpan ketat-ketat, dipegang rapat-rapat. Di usia aku menginjak ke 18 tahun, aku dapat tahu dari sumber-sumber yang boleh dipercayai, aku sebenarnya anak angkat. Allahuakbar!!! Ya Allah!! Ya Allah!! Ya Allah!! Pada awalnya, aku sangkakan mereka hanya berlawak dengan aku.

Tapi bila mereka serius dan bersumpah tentang perkara itu, aku ingat lagi reaksi aku waktu itu..aku hanya tertunduk.. air mata aku jatuh.. aku tak tahu apa aku rasa.. sumpah.. aku tak tahu apa aku rasa.. aku nak rasa marah.. tapi aku tak boleh marah.. sebab tak ada sedikit kekurangan sepanjang aku dibesarkan sehingga aku pun tak boleh nak sangka yang aku anak angkat. Tapi aku perlu tahu kebenaran.. ya.. aku perlu tahu asal usul aku.. di saat itu aku cuma terpikir, aku anak yang tidak sah taraf ke??

Selama seminggu aku berdiam diri selepas tahu hakikat sebenar siapa diri aku. Tetapi betullah kan, naluri seorang ibu, walaupun dia tidak melahirkan aku, tapi dia yang membesarkan aku. Disini aku ingin tekankan, syarat untuk menjadi seorang ibu bukan sekadar melahirkan sahaja. Tanpa melahirkan pun, seorang wanita mampu menjadi seorang ibu yang baik.

Allahuakbar.. ibu aku seorang yang sangat-sangat baik. Sehinggakan aku tak sampai hati dan tak tahu nak memulakan pertanyaan, “Ibu, betul ke Sonia anak angkat?”. Aku tak mampu nak tanya..aku tak tahu nak keluarkan soalan tu macam mana tanpa buat ibu terasa.

Sebab tu aku hanya mendiamkan diri je selama seminggu. Tapi, seperti aku katakan, naluri seorang ibu..dia tahu anak yang dia besarkan ini dalam kesedihan. Tiba-tiba ibu keluarkan kata-kata “Sayang, kalau ada benda yang Sonia nak tanya ibu, tanyalah.. insyaAllah ibu akan ceritakan semuanya”. Aku terus pandang wajah ibu aku..lama aku pandang sebelum aku jawab, “ ye, memang ada benda yang Sonia nak tanya, tapi malam ni ye”.

Pembaca tersayang, terima kasih sekali lagi sebab kalian sudi baca hingga tahap ini… Jadi, malam tu ibu dah sedia tunggu di bilik, atas katil.. mungkin ibu pun berdebar-debar nak tunggu apa soalan yang akan aku tanya…(Ibu..maafkan Sonia, Sonia sayang ibu dunia akhirat).

Aku masuk bilik dengan hati yang berdebar-debar, mahunya tak berdebar, setelah 18 tahun baru aku tahu siapa diri aku sebenar. Aku ingat lagi, ibu pandang aku, ibu senyum kat aku, aku balas dengan senyuman yang kosong. Ibu duduk di tepi katil, dan aku duduk di bawah, sambil pegang lutut ibu. Dan pandang ibu lama..sebab aku tak tahu nak tanya macam mana.

Ibu hanya menunggu dengan sabar. Ya..ibu memang seorang yang penyabar. Aku mulakan pertanyaan, aku masih ingat lagi hingga sekarang (sekarang umur aku dah tahap kalau kahwin boleh dapat anak sedozen… tekalah sendiri.. hehe) “Ibu, apa yang Sonia tanya ni, ibu tolong lah cerita perkara sebenar, Sonia tak kisah, Sonia cuma nak tahu benda yang betul.. jangan tipu lagi.. emmm.. betul ke Sonia anak angkat?” Ibu senyum.. usap kepala aku (ibu memang penyayang, selalu usap kepala aku, cium dahi aku, cium kepala aku yang busuk ni..)

Ibu balas “siapa yang bagitahu Sonia? Cerita dengan ibu dulu” lalu aku pun cerita kan dengan tenang dari mana aku dapat tahu segalanya. Habis cerita aku..ibu pun mulakan cerita..pada awalnya okay, tapi lama kelamaan ibu sebak dan nangis..” Sebelum ibu bagitahu perkara sebenar, ibu nak Sonia tahu, ibu jaga Sonia dari Sonia baru lahir, ibu bawa masuk Sonia ke rumah ini dari tapak kaki Sonia sebesar 2jari ibu ni..” aku sebak pandang wajah ibu..nak elakkan aku nangis teresak, aku terus baringkan kepala aku dekat peha ibu..airmata mengalir laju. Sambung ibu, “Sonia ibu ambil dari *tempat dirahsiakan*, mak ayah kandung Sonia susah.

Sonia ada abang, ada kakak. Tapi ibu tak tahu Sonia anak ke berapa.” Dalam hati aku bersyukur pada Allah, aku bukan anak tidak sah taraf. Aku bukan menghina anak yang tidak sah taraf, pembaca jangan salah faham. Demi Allah tak, Cuma aku fikirkan tentang diri aku waktu tu bagaimana aku nak menghadapinya.

Ibu sambung cerita lagi, “Mak kandung Sonia memang tak mampu nak bela Sonia, ayah kandung Sonia masa tu ada masalah kerja, ibu ambil Sonia, Ibu bagi duit pada dorang sebab dorang ada masalah duit. Bil hospital semua ibu yang bayar.” Masa tu aku sedih, dalam fikiran aku dah pikir, maka ayah kandung aku ni jual aku ke?? Tapi ibu seakan tahu apa aku pikir.. “Ibu bukan beli Sonia nak, Ibu memang nak ambil Sonia, Ibu tak kahwin, Ibu ikhlas besarkan Sonia, Ibu beri segalanya cukup” Ya Allah..sebaknya aku rasa..Ibu tak kahwin besarkan aku..besar pengorbananmu ibu. Terima kasih ibu. Aku masih diam sebab nak beri ruang ibu luahkan segalanya.

Ibu sambung, “Ibu dapat tahu sekarang ni mak ayah kandung Sonia ada di *tempat dirahsiakan*, kalau Sonia nak pergi cari, ajaklah sesiapa..tapi ibu tak nak ikut. Sonia ikut muka ayah, ibu ingat lagi rupa ayah Sonia. Tapi ayah Sonia rendah je. Sonia tinggi ikut mak kandung Sonia. Orang rumah ni semua sayangkan Sonia. Tak pernah anggap Sonia orang luar. Semua sayangkan Sonia macam darah daging sendiri.” Ye memang aku akui, mereka semua sayangkan aku. Terima kasih keluarga besarku.

Ibu sambung lagi.. “ Sayang…ibu cuma tak rasa sakit lahirkan Sonia je, tapi ibu jaga Sonia betul-betul dari hari pertama Sonia lahir, hari pertama Sonia dah kitaorang bawa balik ke rumah ni,sakit pening Sonia semua ibu yang hadap. Sonia lah racun, Sonia lah penawar ibu. Ibu sayang Sonia dunia akhirat. Demi Allah nak..” Waktu ni suara ibu dah sebak sangat. Aku pula dah lencunkan kain batik ibu dengan airmata aku yang macam air terjun.

Seganas-ganas aku ni pun, bab macam ni memang aku kalah lah. Ibu cakap lagi “ Sonia kalau nak pergi cari mak ayah kandung Sonia, pergilah.. ibu tak halang tapi tolong jangan tinggalkan ibu..ibu mati takde Sonia” Ya Allah.. aku berdosa kerana lukakan hati ibu aku dengan semua pertanyaan tu tapi aku tiada pilihan.

Aku perlu tahu juga asal usul aku. Dan aku tahu ibu berat nak ungkapkan kata-kata “pergi cari mak ayah kandung” tu..sebab takut aku tinggalkan dia. Setelah lama berdiam diri, aku mula bersuara “Ibu, Sonia dah besar ibu. Sonia tahu siapa yang besarkan Sonia selama ini. Siapa yang berikan kasih sayang pada Sonia. Sonia cuma nak tahu cerita yang sebenar je. Sonia takkan tanya ibu lagi tentang ni. Dan tolong jangan buka cerita ni lagi.

Sonia pun tak nak cari mak ayah kandung Sonia. Sonia tak sedia lagi. Sonia takkan tinggalkan ibu. Terima kasih ibu besarkan Sonia, berikan kasih sayang yang cukup untuk Sonia. Sonia sayang ibu dunia akhirat.” Aku peluk ibu aku erat-erat. Aku rasa lega yang teramat sangat. Aku dah tahu siapa asal usul aku.

Alhamdulillah.. aku tak memberontak saat diuji sebegini. Aku terima dengan tenang. Ahli keluarga yang lain pun dah tahu yang aku tahu siapa diri aku. Mula-mula dorang semua takut aku lari rumah. Dorang ni apa lah..aku ni bukan anak yang tak kenang budi. Dorang besarkan aku cukup segalanya beri pendidikan..agama. Aku takkan memberontak. Dan tak terpikir untuk memberontak pun saat tu.

Terima kasih Allah berikan aku membesar dalam keluarga yang penuh kasih sayang. Terima kasih keluargaku menjaga aku dan membesarkan aku tanpa membeza-bezakan aku sehinggakan aku tak boleh jangka sememangnya aku anak angkat. Hanya Allah SWT yang dapat membalas segalanya.

Mesti korang nak tahu, adakah sekarang aku dah jumpa keluarga kandungku?? Bahagiakah aku selepas pertemuan aku dan keluarga kandungku?? Kalau korang nak kan sambung bagitahulah dekat komen (perasan macam admin nak siarkan cerita aku ni.. hahahahha).

Terima kasih pembaca sekalian sebab baca sampai habis. Maaf terlalu panjang. Jika ada diantara kalian yang kisah jalannya hidup sama dengan aku, tolong jangan memberontak. Hargailah mereka yang membesarkan kita. Akhir kata, yang baik jadikan tauladan..yang buruk itu jangan disimpan. Salam sayang pada pembaca semua.

Kisah benar,

– SONIA (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *