Anak dan Kakak Yang Gagal

Anak dan Kakak Yang Gagal

Assalamualaikum semua. Terima kasih admin kalau siarkan confession ini. Hakikatnya sudah terlalu lama dipendam kisah kisah ini. Sudikanlah pembaca untuk beri kata semangat, dan cadangan. Nama aku Anon. Seorang wanita lewat 20-an, sudah berkahwin dan punyai 2 orang. Kisahku berkenaan keluargaku yang terlalu retak dan pecah, tak ku tahu bagaimana untuk dibaiki.

Aku dilahirkan dalam keluarga yang besar. Bapaku kerap berkahwin dan punya belasan anak. Aku, dan 2 orang adikku adalah hasil perkahwinan terakhir bapaku. Kami bertiga dibesarkan dalam keadaan sentiasa berpindah randah, maka kami tak pandai bersosial dan tak punya ramai kawan. Ibuku seorang wanita besi; seringkali dipukul, dimaki dan diherdik bapaku (pernah ditarik rambut, lebam sana sini, dicurangi) tapi ibuku tetap berusaha menjaga keluarga kami.

Ibu kami membuat pelbagai jenis pekerjaan untuk menyara kami dan bapaku pula sekejap bekerja dan sekejap menganggur, ditambah dengan kaki judi dan kaki minum; aku masih ingat bau badan beliau setiap kali pulang dan kerana aku yang sulung, aku banyak menyaksikan pergaduhan antara ibu dan ayahku.

Sejujurnya ketika kecil, bapaku sangat menyayangi kami bertiga. Sebagai bapa, boleh kata dia agak penyayang dan cuba mendidik kami mengikut acuan beliau (pendidikan Inggeris). Hasilnya, aku banyak terpengaruh dengan minat beliau membaca, berpuisi, berfikiran kritikal. Namun, bapa kami seorang yang panas baran dan ego; kesalahan kecil kami akan dihukum dengan libasan tali pinggang, hanger, tuala, buku, kayu golf etc. Adik aku no 2 paling teruk kerana sentiasa dijadikan punching bag oleh kerana beliau lelaki tetapi agak pasif dan senyap.

Ketika aku berusia 10 tahun, aku dan adik ku menjumpai poster muka ayahku ditampal di sekitar kawasan perumahan, menuntut beliau melunaskan hutang. Kami yang sangat malu tapi sayang pada ayah koyakkan semua poster tersebut. Keadaan lebih buruk bila rakan sebaya kami tak nak bermain dengan kami, ibu bapa memanggil kami anak liar dan terbiar dan kami juga tak dijemput jika ada birthday party. Itu menambahkan lagi kesedihan kami sebagai kanak-kanak; tiada kawan, tiada ibu bapa yang normal dan hidup dalam porak peranda.

Beberapa tahun kemudian, ibu disahkan menghidap kanser tahap 4. Belum sempat mengenali ibu, dalam tempoh 6 bulan beliau meninggalkan kami bertiga selamanya. Bapaku tidak berubah, malahan tetap dengan tidak bertanggungjawan. Semenjak ibu tak ada, kami kerap berpindah, dan juga duduk dengan saudara mara jika bapaku tak mampu. Aku mula hilang hormat pada bapa.

Adik-adik aku cuba untuk besarkan sebagai kakak dan mak dan ayah; adik lelaki aku mula bergaul dengan budak nakal, ambil dadah dan kerap mencuri dan melarikan diri; adik perempuan aku naif dan masih dilindungi. Aku nekad untuk belajar tinggi untuk selamatkan adik adikku. Aku bekerja semasa sekolah dan cuti sekolah sehingga beberapa minggu sebelum SPM. Itulah duit yuranku, bukuku, makan minum dan sewa rumah kami.

Rezekiku ditawarkan ke bidang kritikal di universiti awam. Aku belajar. Walaupun jauh dan teruk keadaan kewangan (dapat biasiswa tapi guna untuk beri pada keluarga juga) , ditambah tekanan di tempat belajar , aku kuatkan semangat untuk adik adikku. Tahun kedua pengajian, ayahku telefon tak dapat handle adik lelakiku. Adik aku terjebak dengan dadah hingga hilang kewarasan.

Semenjak itu, dia dah tak normal. Agresif. Senyap termenung. Bercakap seorang. Hampir gila aku menangis kemarahan, kesedihan dan kecewa. Kemudian, aku dapat tahu adik bongsuku terpaksa buat kerja macam macam untuk sara keluarga. Dia mula tak ke sekolah. Terjebak dengan dadah dan juga alkohol. Hilang motivasi. Dan terus menerus sehingga ke hari ini, terus tidak sambung belajar dan mula memberontak tidak bekerja.

Aku fikir aku gagal. Aku gagal membesarkan mereka. Aku gagal kerana aku jauh. Aku selfish kerana aku sahaja yang berjaya keluar dari hidup begitu. Aku tamatkan juga belajar. Aku berjaya menjadi penjawat awam; sekali lagi jauh dari mereka kerana dicampak ke negeri lain. Aku tiada di sisi mereka. Tapi jika aku tak bekerja, siapa akan menanggung bapaku, adik lelaki ku yang istimewa (schizophrenia adalah diagnosis beliau) dan adik bongsuku yang dah kecundang dengan tekanan hidup?

Aku begitu marah dengan bapaku, hingga aku tak boleh bercakap dengan dia. Aku menyalahkan dia kerana gagal sebagai ketua keluarga. Aku buntu memikirkan macam mana aku nak bantu adik bongsuku bangun dan berdiri atas kaki sendiri? Tahun lepas, aku pula didiagnose dengan Major Depressive Disorder akibat terlalu tertekan dengan hal keluarga dan tempat kerja. Aku perlu makan ubat dan terapi setiap bulan. Aku cederakan diri sendiri kerana terlalu tertekan hingga hilang kawalan kereta dan kereta terbalik.

Tapi Tuhan Maha Pengasih; aku tidak cedera parahdan suamiku memberi sepenuh sokongan. Namun hatiku kosong; setiap hari aku terbayang, bagaimana adik adikku? Masa depan mereka? Bagaimana aku nak bantu adik aku untuk bangun. Jujur aku buntu. Dan aku tak sanggup meningggalkan mereka bersendirian. Aku tahu keperitan dan kepayahan mereka lalui dari kecil. Kini aku dapat tahu, adik aku sekali lagi mengambil dadah. Tuhan sahaja tahu betapa hancur hati aku.

Jika para pembaca ada cadangan, saya sangat alu alukan.

Terima kasih sudi membaca.

– Anon

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit