Anak Derhaka?

Assalamualaikum. Terima kasih jika admin siarkan cerita ni. Aku tak pandai nak mukadimah panjang berjela. Tajuk confession ni merupakan tanda tanya aku setiap hari. Biar aku cerita latar belakang keluarga aku serba sedikit. Panggil aku Mimi. Aku anak yang paling bongsu dan dikatakan ada pelajaran yang tinggi dalam adik beradik aku. Aku boleh dikatakan harapan dalam keluarga aku sebab aku satu- satunya anak yang dapat masuk u.

Disebalik kejayaan aku dalam pelajaran ni, ada seorang wanita yang sentiasa berkorban untuk memastikan yang aku dapat belajar dengan baik. Segala keperluan aku dia cukupkan. Dia ialah mak aku. Orang yang takkan aku lupakan dunia akhirat. Mak aku lengkapkan keperluan pelajaran untuk Aku. Tapi mak aku lupa nak bekalkan ilmu rohani buat aku.

Aku dibesarkan dalam keadaan yang sangat kurang didikan agama oleh mak abah aku. Segala bab ibadah, ilmu agama aku gali sendiri di sekolah dan melalui buku yang aku baca. Mak abah aku cukupkan keperluan duniawi buat aku walaupun kami bukan datang dari keluarga yang senang. Tak terbalas jasa pengorbanan mak aku selama ni. Aku berjaya habiskan pelajaran dengan titik peluh mak aku. Memang aku kebanggaan keluarga. Mak aku selalu ingatkan Aku supaya dapatkan kerja tetap dulu, balas jasa dia sebelum Aku berkahwin.

Selepas grad, aku memang kerja sementara nak tunggu panggilan pekerjaan yang tetap. Tapi nak dijadikan cerita kerja sementara aku tu memang tak sesuai untuk aku. ( Susah nak pergi solat ). Akhirnya aku buat keputusan untuk berhenti dan teruskan cari kerja lain. Ditakdirkan Allah, jodoh aku sampai sebelum rezeki pekerjaan. Tapi dalam masa yang sama aku tetap usaha cari kerja.

Lepas aku kahwin, segala nya berubah. Mak aku jadi risau aku lupakan dia. Selepas kawin aku kerap juga balik rumah mak aku. Tapi Aku sedih sebab mak aku macam tak memahami yang aku dah kahwin dan aku tak boleh buat sesuka hati dah. Alhamdulillah suami aku sangat memahami yang aku balik untuk orang tua aku. Sekarang mak aku desak aku supaya aku bekerja supaya boleh bagi duit untuk dia setiap bulan, boleh bantu dia. Jauh dalam hati aku itulah perkara yang aku nak buat kalau aku dapat kerja. Aku tak pernah lupakan segala jasa pengorbanan dia. Tak pernah terlintas dalam hati aku nak abaikan dia sebagai mak yang dah bawak aku kedunia ni, orang yang dah bergolok gadai demi Aku.

Aku jadi tertekan dan terkilan sebab mak aku boleh dikatakan setiap hari desak aku suruh aku kerja cepat cepat supaya boleh bantu dia. Aku tak kisah dia nak maki aku sebab tak dapat kerja lagi. Aku faham perasaan dia. Mak aku ungkit atas segala jasa pengorbanan dia hantar aku pergi belajar selama ni. Aku jadi tertekan sebab perkara tu. Aku usaha, cuma rezeki aku dalam pekerjaan lambat sikit dengan keadaan semasa yang agak susah ni. Sampai satu tahap aku fikir biarlah aku kerja je apa apa asalkan Aku dapat bantu dia setiap bulan. Aku terkilan dia ungkit dan dia cerita dekat adik beradik aku yang lain supaya jangan sampai dia mintak yang bukan bukan jadi kat hidup Aku.

Aku jadi risau sebab doa ibu ni mustajab. Aku jadi takut mak aku doakan Aku bukan bukan. Setiap hari aku stress mengenangkan benda ni. Aku usaha jadi anak yang baik untuk dia. Ada jugak aku cuba nasihatkan mak aku supaya dia doakan yang baik baik untuk aku supaya aku dapat kerja dan boleh bantu dia. Cara mak aku sekarang ni seolah olah aku ni dah derhaka sampai dia anggap aku teruk sangat sekarang ni. Susah aku nak terangkan konsep rezeki dekat mak aku sebab dia takkan terima langsung. Kalau la dia tahu usaha aku merata mintak kerja untuk bantu dia.

Tak pernah terlintas aku nak lupakan dia. Terngiang ngiang saat dia bagitau supaya aku sentiasa ingat setiap apa keringat yang dia dah korbankan. Aku harap sangat Allah lembutkan hati dia supaya dia faham keadaan dan situasi Aku. Setiap hari aku doakan dia, supaya hati dia sentiasa lapang, tenang dan dijauhkan dari kepayahan, kesulitan. Aku sedekah dia Al Fatihah supaya dia sentiasa dimurahkan rezeki. Aku memang tak mampu nak balas jasa dia sebab aku rasa apa yang dia dah korbankan terlalu banyak untuk Aku. Aku ni harapan dia. Tapi sekarang dia anggap harapan dia dah punah lepas aku kahwin. Sekarang pun dia seolah olah menyesal bagi aku kahwin. Allah, siapalah aku nak hindar urusan ajal maut dan jodoh ?

Mak , walaupun Mimi tahu mak tak baca luahan ni. Tapi Mimi harap Allah bagi ketenangan buat mak. Mimi harap Allah gerakkan hati mak agar mak sentiasa berlapang dada dengan ujian yang mimi tempuh sekarang ni. Mimi nak jadi anak yang baik untuk mak tapi buat masa sekarang Mimi memang tak mampu nak balas semua jasa pengorbanan mak tapi percayalah setiap hari Mimi tak pernah lupa semua tu. Walaupun Mimi tak mampu nak bantu mak macam yang mak mintak, Mimi sentiasa doakan mak dan ayah sentiasa sihat sejahtera, dimurahkan rezeki dan dikurniakan sihat tubuh badan.

Mimi hanya mampu berdoa semoga Mimi boleh hadapi ujian ni. Mak jangan lah doa yang bukan bukan untuk Mimi. Mak jangan lah sumpah Mimi seolah olah Mimi dah derhaka pada mak. Mimi takot kalau doa yang tak baik tu akan dimakbulkan. Semoga Allah bukakan pintu hati mak supaya berada dalam ketenangan dan kebaikan. Mimi sayang mak dunia akhirat. Bagi lah Mimi peluang jadi anak yang sentiasa mendoakan mak dunia akhirat. Moga Allah murahkan urusan Kita dunia akhirat. Amin.

Derhaka ke aku ni?

– Mimi

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *