Salam semua. Saya gelaran diri saya sebagai AD.
Sebelum saya mula bercerita, untuk makluman semua akan ada part yang saya terpaksa bohong. Kenapa?
Ada banyak hati yang saya perlu jaga, dan kisah keluarga saya ini juga diketahui ramai. Saya tak mahu ada yang bertanya pada mak kerana tak mahu mak sedih bila kisah lama diungkit kembali.
Umur saya sekarang hampir 40, kerja berpendapatan baik, anak-anak tengah meningkat dewasa dan alhamdulillah saya bahagia dlm perkahwinan. Harapnya berkekalan Insyaallah.
Ceritanya pasal ayah saya. Ayah dan mak masih ada tapi ayah tinggalkan kami masa saya masih kecil, jadi saya membesar dengan mak.
Susah senang mak yang menguruskan kami 6 beradik.
Ayah kaki perempuan, kaki judi. Nafkah tak pernah beri untuk kami dari kecil sampai besar. Adik-adik tiada kenangan manis, yang kami ingat ayah datang minta duit dengan mak.
Atau ayah datang mengungkit apa yang dia pernah beli masa dulu-dulu. Atau datang marahkan mak bila kami tak bagi duit kat dia. Ayah kerja bagus tau bergaji besar tapi duit selalu takde untuk anak-anak.
Macam mana nak bagi duit kat dia, kitorang semua masih belajar dan harapkan duit biasiswa dan elaun bulanan. Elaun tu jugalah yang kami guna untuk bantu satu sama lain.
Tak larat nak cerita susahnya kami masa kecil. Mak berniaga kecil-kecilan untuk biaya kami sekolah. Tapi faham2 lah dengan anak ramai, kami memang susah.
Cuma walaupun kami susah, kasih sayang adik beradik dan mak cukup kuat. Hingga kini.
Cuma perit di jiwa terhadap ayah tu memang ada. Tak larat nak cerita apa yang dia buat sampai hati anak-anak dah tak berharap apa pun dengan dia.
Fast forward waktu sekarang, kami semua dah kerja, semua berpendapatan bagus dan setiap bulan kami kirimkan duit untuk mak. Boleh gajikan pembantu untuk mak, baiki rumah dan mak pun dah ada gelang emas.
Nak juga sebut gelang emas sebab mak dulu2 pernah ada barang kemas tapi semua digadai dan dijual untuk sekolahkan kami. Dan kami sebenarnya ajak mak tinggal bersama, tapi mak taknak sebab suka tinggal kat kampung.
Dan guess what? Ayah pun datang semula dengan tiada apa-apa. Tiada dah pangkat, kereta, rumah, dan semua perempuan yang dia banggakan bila dia bandingkan mak dulu. Yang ada cuma hutang.
Kami setelkan hutang dia, dan carikan tempat tinggal dan pembantu untuk uruskan makan minum dia. Semua tu kami lakukan atas dasar tanggungjawab sebagai anak-anak.
Tapi jujur saya cakap langsung tiada kasih sayang. Yang ada cuma rasa kesian dari seorang manusia terhadap manusia lain.
Masalah sekarang timbul bila ayah dah mula demand kami layan dia seperti mana kami layan mak. Dia nak kami bawa dia bercuti bersama seperti mana kami bawa mak, dan macam-macam lagi yang berunsurkan duit.
Dia demand kami treat dia sama macam mak. Bermula lah rasa meluat saya dengan ayah. Bukan sikit2 ya tapi meluat sangat.
Dia tak faham ke kami anggap dia macam orang asing? Dari kecik sampai besar waktu sakit, waktu naik pentas terima hadiah, waktu grad, waktu kami kahwin, yang ada bersama kami cuma mak.
Ayah cuma membawa memori pahit di jiwa kami. Memori yang kami taknak kenang, yang kami taknak ingat sampai bila-bila.
Jujur saya katakan bila ayah datang semula, jiwa saya mengeluh-
Apa lagi ayah nak? Tak cukup lagi ke buat kami sedih dulu?
Dulu waktu kami perlu ayah, ayah sibuk dengan perempuan. Sekarang mana semua tu?
Geram nak tanya semua tu pada ayah bila dia call minta itu minta ini. Tapi saya masih cuba bersabar sebab taknak jadi anak derhaka.
Tapi jujur saya cakap kesabaran dah semakin tipis. Apa dia ingat kami semua ni cop duit kot.
Bab agama juga kami dah cuba usahakan tapi ayah tak mahu.
Saya tulis disini sebab terbaca komen netizen mengenai seorang ibu yang ditinggalkan di rumah orang tua. Ramai yang mengutuk anak-anak kerana meletakkan ibu mereka di sana dan tidak menjaga sendiri.
Situasi kami hampir sama sebenarnya cuma alhamdulillah Allah berikan rezeki lebih untuk kami, membolehkan kami menyediakan tempat tinggal untuk ayah.
Tinggal bersama? Oh tidak, saya tidak kenal ayah dan saya tidak akan membawa orang asing untuk tinggal bersama. Saya ada anak-anak perempuan yang tgh remaja dan bagi saya perangai ayah kaki perempuan a big no.
Tak perlu rasanya nak mengata itu ini sedangkan kita tak tau kisah sebenar disebaliknya.
Untuk mak, kami akan berikan yang terbaik selagi mampu. Kasih mak terhadap kami akan dikenang sampai bila-bila.
Untuk ibu bapa yang bercerai atau berpisah di luar sana, jangan jadikan alasan bercerai untuk tidak memberi nafkah dan tidak ambil berat terhadap anak.
Mungkin sekarang kamu rasa anak-anak itu beban, tapi satu hari nanti kamu akan menyesal. Dan masa itu sudah terlambat.
Tanggungjawab yang ditunaikan sebenarnya itulah yang memberi keberkatan dan pahala bagi kamu.
Dan pada ibu/ bapa yang membesarkan anak seorang diri, buatlah dengan terbaik. Berilah pendidikan dan ilmu agama secukupnya supaya mereka mampu menjadi manusia yang berjaya dari segi rohani dan keduniaan.
– AD (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit