Anak Istimewa Dan Guru

Saya merupakan seorang guru biasa. Baru 15 tahun mengajar. Menariknya, sepanjang 15 tahun ini, setiap hari merupakan hari yang istimewa. Banyak perkara baru yang saya tempuh. Menguatkan lagi minat saya dalam bidang perguruan.

Kebelakangan ini, sering keluar kisah ibu bapa menyalahkan guru. Itu salah ini salah. Cabaran kami ialah, untuk berhadapan dengan ibu bapa. Kisah saya nak kongsikan kali ini juga tentang ibu bapa yang tidak dapat (mungkin tidak mahu) menerima hakikat anaknya autisme.

Kedua ibu bapa ini berpangkat. Berkedudukan. Namun diuji anaknya mengidap autisme. Sejak dari Darjah 1, anak pasangan ini dihantar ke sekolah kebangsaan biasa. Dari Darjah 1 juga guru-guru telah mengesan akan masalah yang dihadapi oleh anak pasangan ini. Berkali-kali perkara-perkara serius terjadi. Anak ini tidak salah. Dia tak tahu dan tidak dapat mengawal dirinya. Isunya, berkali-kali pihak sekolah menjemput ibu ayah ke sekolah untuk melihat sendiri apa terjadi bila anaknya berada di dalam kelas. Tidak dapat duduk diam tidak dapat belajar dalam suasana biasa. Guru-guru biasa macam saya tidak dilatih untuk kanak-kanak autisme. Sebaliknya ada guru-guru khas di sekolah-sekolah khas yang pakar dan faham keperluan anak-anak seperti ini.

Berbalik pada murid saya ini, si ayah sering menyalahkan kami dan murid-murid lain. Dikatakan guru tidak pandai menarik perhatian anaknya. Murid-murid lain mengacau anaknya. Namun, dia masih tidak dapat menerima hakikat. Hari ini, murid ini sudah di tahun 5. Masalah terus terjadi. Malah dia boleh di katakan tidak belajar apa-apa kerana di dalam kelas dia sukar mengikut aliran perdana.

Isunya, si ayah dan ibu. Kami sangat sayangkan murid ini. Kami selalu fikir masa depan dia. Kenapa tidak didaftar di sekolah khas. Di sana gurunya berkemahiran dan berkepakaran dalam bidang mereka dapat membantu anak2 autisme. Ibu ayah ini masih keras hati. Saya pelik. Tak mungkin mereka tidak pernah tengok progres anak mereka. Sejujurnya, saya sangat simpati.

Saya tahu dan faham. Mereka masih tidak dapat menerima hakikat anak mereka menghadapi masalah pembelajaran. Anak mereka tidak normal. Namun janganlah tenggelam dalam dunia sendiri. Demi anak tersayang, lakukanlah sesuatu. Lihat. Buka mata. Walau anak kita tidak seperti anak lain, itu tetap anak kita. Lakukan sesuatu. Terima hakikat. Jangan terus.
menafikan. Sedangkan anak kita terus diperjudikan. Kasihan mereka. Saya masih berusaha memujuk ibu ayah ini. Bukan ‘membuang’ anak mereka dari sekolah saya. Tetapi untuk meletakkan masa depan anak ini ditempatnya. Supaya dia dapat mengurus diri. Supaya dia belajar dan fokus pada bakat yang mungkin dapat dikesan oleh guru yang pakar dan dilatih untuk murid sebegini. Kami guru lain tidak mampu. Kami tidak dilatih untuk murid sebegini. Emmm…. saya risau masa depan murid ini hanya kerana si ibu dan ayah yang masih takut dengan bayang-bayang sendiri. Saya bercakap, atas kapasiti seorang guru. Juga sebagai ibu bapa.

– BULAN BINTANG

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit