Assalamualaikum semua. Terima kasih admin sebab sudi siarkan confession aku. Luahan hati aku ini hanya aku tulis sekadar melepaskan perasaan terbuku dalam hati. Untuk cerita bahawa cerita sebegini wujud dalam dunia realiti.
Aku perkenalkan diri aku sebagai Ju. Masih belajar peringkat ijazah dan bekerja sambilan dari rumah. Alhamdulilah, purata pendapatan aku agak lumayan. Cukup untuk aku tampung keluarga aku.
Kami 4 beranak, kemudian Allah anugerahkan kami sekeluarga satu hadiah sangat besar. Jadilah kini kami 5 beranak.
Kami terima seorang bayi lelaki untuk dijaga oleh kami. Allah permudahkan urusan, kami berjaya dapat bayi itu secara sah disisi undang- undang.
Secara puratanya, akulah yang menjaga dan sepenuhnya menanggung adik angkat aku itu. Ibarat aku ibunya cuma aku adalah kakaknya. Hahah peningkan ? Dari segi segala keperluan dan kehendaknya.
Berbalik kepada luahan hati aku, seminggu sebelum pkp 2.0, ibu aku diberitahu oleh saudara aku untuk menjaga anak saudaranya. Kiranya, sepupu akulah. Lebih kurang usianya 2 tahun.
Bagi aku tiada masalah pun, sebab berkongsi rezeki dengan mereka. Mana tahu rezeki aku akan bertambah selepas ini.
Ibunya meminta sejumlah wang kecil untuk meneruskan kelangsungan hidup. Untuk membeli makanan katanya. Aku berikan kepada ibuku, hanya sekadar niat aku berkongsi rezeki tanpa mengharap apa apa balasan.
Aku tidak pernah bersetuju mahupun menolak kehadiran dia. Aku hanya berdiam dan membiarkan dia dirumah kami. Oh ya, ini adalah permintaan ibu kandung anak itu sendiri. Senang cerita, aku namakan budak itu Faris.
Mengikut khabar angin, yang aku dengar dari keluarga kami, bahawa kononya, si Faris ini sering dipukul dan didera. Aku jadi lebih yakin untuk bantu dia.
Iyalah, sedangkan orang luar yang minta bantuan pun aku tolong, inikan pula saudara sendiri. Faris merupakan anak tengah dari 6 beradik. Aku tak pasti anak ke 4 atau ke 5. Lebih kurang itulah.
Hari Selasa ibunya hantar ke rumah, kami menerima dengan hati yang terbuka. Waktu dia sampai, Allah. Sangat sedih ligat keadaan bajunya, sangat hitam kotor dan berhingus sehingga kering dipipinya. Bayangkan selipar pun tidak mampu beli.
Ibunya tinggalkan satu beg baju, tapi hampir keseluruhan bajunya itu tidak dapat dipakai. Sinting dan koyak. Selipar pun tak ada. Botol susu pun tidak ditinggalkan padahal si Faris masih menyusu. Takpelah, aku bincang dengan ibu aku untuk shopping barang barang Faris.
Hari pertama sahaja, aku habiskan sejumlah wang untuk pampers, botol susu dan pakaian baru untuknya. Kebanyakkan barangnya berjenama dan pakaian nya dari butik. Kerana aku mahu adil dan sama rata.
Sempat aku bawak dia ke Petting Zoo ( 4 km dari rumah kami) dan ke swimming pool. Kebetulan aku ada kerja di kawasan tersebut, jadi aku berikan ruang untuk dia merasa pengalaman baru.
Setiap kali masuk Mall, tak pernah aku tidak memberikan apa sahaja kemahuan dia. Bagi aku, dia patut diraikan.
Ooh ya, lupa aku cerita, Faris ni seorang yang nakal. Hari pertama dan kedua, baik diam dan sopan sahaja. Mula dia serasi dalam rumah, habis satu rumah dikacau nya.
Nasib baik rumah kami jenis barang bahaya tiada di bawah. Sebab adik kecilku dalam fasa merangkak. Jadi faham sahajalah, agak bahaya.
Nak diceritakan nakalnya si Faris ni, tak terbayang aku. Bayangkan sofa kain ibuku, dia boleh koyak dengan jarinya sahaja. Sedangkan kain, bukannya PVC atau kulit yang mudah terkopek.
Kami tak pernah memarahinya. Bagi kami, seronok kerana ada penghibur yang memecah kesunyian dirumah kami.
Rutin hariannya setiap hari, memecahkan balang balang kaca ibuku. Walau setinggi mana disimpan, dia tetap mempunyai akal untuk mencapai nya.
Keimanan dan kesabaran kami sekeluarga diuji ketika ini. Sehingga aku jadi malu sekiranya Faris dibawa kerumah orang lain. Risau dan takut perangai nakalnya makin menjadi.
Sepanjang seminggu sebelum pkp2.0 tu, aku sempat belikan Faris basikal roda tinggi. Dua bijik, satu besar untuk outdoor dan satu kecil untuk indoor.
Kemudian bermulalah pkp 2.0. Kami hanya menetap dirumah kerana mereka masih kecil jadi perjalanan dan pergerakkan kami agak terhad. Disitulah bermula satu persatu cerita terungkai.
Ketika sibuk makan, entah bagaimana, mungkin kami terleka, Faris masuk ke dalam almari luar. Tempat ayah menyimpan segala peralatan tajamnya. Hampir sahaja kayu kayu berat menimpa kepalanya.
Aku jadi hampir pitam melihat keadaan kayu dan alatan tangan ayah bertaburan. Risau aku jika terkena anak orang. Apa aku akan jawab kepada ibunya nanti. Pasti ibunya mengharap kami menjaga anaknya dengan baik. Bukan keadaan malang begini.
Kemudian, ditambah pula insiden kedua, aku bawa dia ke klinik. Faris terkena selsema. Risau terjangkit kepada adik kecilku. Hanya aku berdua dengan dia. Biasanya pintu belakang aku dah child lock.
Hari tersebut aku tersilap langkah, meletakkan car seat dia dihadapan. Sebelah pemandu. Sedang kereta baru bergerak, boleh dia membuka pintu.
Nasib aku baik kerana dia duduk didalam car seat yang dh diikat. Kereta pula masih dalam keadaan perlahan. Ya Allah masatu tak tahu nak cerita perasaan aku. Takut dan aku menangis sehingga sampai kerumah.
Tidak lama selepas itu, timbul insiden dia bermain parang. Faris pergi membuka almari itu lagi, mengusik parang yang ayah sedang lentur didalam baldi berisi air. Plat besi parang yang baru diasah tu direndam didalam baldi kecil.
Faris main air didalam baldi tu dengan mencelup tanganya. Ya Allah, seriau bila difikirkan. Jika terkena tangan, tapak tangan, hampir putus agaknya.
Jika ada yang tertanya, kenapa ayah tidak kunci almari itu, Almari itu tidak boleh dikunci tapi dah dikunci menggunakan alat warna putih untuk pintu almari. Aku beli di Mr. Diy. Aku tak pasti nama nya tapi begitulah kegunaannya.
Setelah dua tiga insiden yang berbahaya, aku mula menyuarakan isi hati aku. Meminta ibu untuk pulangkan kembali kepada keluarganya.
Bukan aku tidak kasihan, tapi aku risau. Jika sesuatu lebih buruk terjadi. Ibu aku mula mengatakan bahawa aku terlalu melebihkan adik kecil aku berbanding Faris sedangkan Faris darah daging aku.
Aku mengaku aku jangg menjaga Faris kerana berbeza dari segi keserasian. Aku jaga adik kecilku dari umur dua hari sehingga sekarang. Aku faham semua pergerakkan, tabiat, waktu makan, ragam dan semua aspek.
Manakala Faris, aku terima ketika dia sudah berusia dua tahun. Aku tidak kenal caranya, seleranya, tabiatnya. Terutama sekali waktu perlu memandikan dan mencuci najisnya. Aku janggal dan tidak selesa.
Ibu aku kerap menyalahkan aku kerana terlalu melebihkan adik kecilku berbanding Faris. Aku tidak merasakan sedemikian kerana aku limpahkan Faris dengan semu keinginan dan kehendaknya. Aku turuti. Walaupun harganya beratus ringgit.
Cuma kasih sayang, ambil masa untuk aku pupuk. Tambahan, Faris agak lincah orangnya. Perlukan kekuatan untuk aku menjaganya.
Pernah ibuku tidak bercakap dengan aku selama tiga hari kerana tinggalkan Faris dengganya. Aku perlu keluar bekerja dan terpaksa tinggalkan Faris kepadanya.
Ibu aku kata dia tidak mampu menjaga seorang diri. Sedangkan selama aku bekerja dari rumah, aku mampu menjaga kedua-duanya disamping kelas secara atas talian.
Kemudian, hampir sebulan Faris dengan kami, mula timbul cerita cerita kurang enak. Daripada mulut saudara lain. Kononya ibu aku raih simpati, ibu aku buat hanya kerana pujian.
Aku mula rasa sakit hati. Ayahku juga mula masuk campur, kerana timbul segala fitnah. Ada pula desas desus bahawa ibu Faris akan buat report polis atas dakwaan dera sekiranya terjadi sesuatu malang terhadap Faris.
Kami sekeluarga mula jadi was-was dan berasa tidak senang dengan kehadiran Faris. Seolah-olah kami buruk dan teruk dimata mulut orang yang berkata. Sedangkan mereka tidak pernah membantu ibu Faris ketika susah dan tidak pernah pula datang menjenguk Faris ketika didalam jagaan kami.
Aku sekali lagi bersuara minta ibu aku pulangkan semula Faris. Ibu aku mula sedih, meningatkan keadaan Faris ketika mula-mula datang. Comot dan tak terurus. Tambahan, Faris baru sahaja sihat selepas tangannya patah.
Aku pernah bertanya pada ibunya kenapa tangan Faris patah, tapi ibunya hanya berdiam dan kata Faris nakal dan jatuh. Aku pelik, setinggi mana Faris jatuh sehingga patah tangan. Menjadi isu dan persolan dari mula Faris sampai dirumah aku.
Setelah aku dan adik beradik serta ayah yakinkan ibu aku untuk memulangkan Faris, dia bersetuju. Aku terus ke balai polis terdekat untuk mengambil surat. Rumah Faris dari rumah aku agak jauh, kira kira 30km.
Aku tidaklah sekejam itu sebenarnya, aku kasihan jugak bila Faris bakal didera atau dipukul oleh bapa nya. Tapi aku perlu melindungi keluarga aku.
Jika Faris nakal sehingga membawa malang seperti jatuh dan berdarah, kami sekeluarga bakal berdepan dengan tuduhan mendera. walaupun kami tidak membuat.
Kerana akta mendera sangat berat. Aku takut sekiranya rekod baik keluarga aku untuk terus mendapatkan sijil anak angkat adik kecilku dibatalkan hanya kerana Faris. Aku jadi paranoid.
Adik kecilku adalah nyawa aku. Aku berhabis segalanya untuk adik kecilku. Tak mungkin aku biarkan semua ini membatalkan niat kami sekeluarga.
Setelah mendapat surat di balai terdekat, aku pergi bersama ibuku menghantar Faris. Kami diberi kelonggaran melalui surat kerana aku tidak tahu rumah dan ibuku pula tidak boleh memandu.
Sampai di rumah Faris, aku pulangkan semua pakaian yang dibawa ibunya pada hari permulaan. Mainannya dan beberapa beg susu dan pampers, serta basikal roda tiga kecil dipulangkan.
Pakaian Faris yang berjenama dan dari Butik, ibu simpan dirumah. Entah kenapa ibu simpan, jika ikut hati aku, aku berikan sahaja.
Setelah pulangkan Faris, aku perlu ke balai terdekat dengan rumah Faris. Bagi beberapa urusan.
Kemudian entah bagaimana bersembang dengan pegawai bertugas, terkeluar cerita bahawa Faris pernah dijaga oleh seorang nurse. Nurse tersebut telah berkahwin namun tidak dikurniakan zuriat. Nurse tersebut ingin menjadikan Faris anak angkat.
Nurse tersebut upah ibu Faris untuk menjaga Faris ketika beliau bekerja. Entah dimana silapnya, disitulah terjadi tangan Faris patah. Ketika nurse jemput Faris pulang, baru sedar tangan Faris patah. Ibu Faris buat report kononya nurse tersebut mendera Faris.
Hampir sahaja nurse tersebut digantung tugas dan dikenakan tuduhan mendera. Setelah siasatan dan hasil ujian, nurse tersebut tidak bersalah. Justeru, nurse tersebut batalkan niat untuk menjadikan Faris anak angkat.
Aku dengar juga, nurse tersebut telah membantu ibu Faris membeli kereta secondhand. Tapi tidak diserta kan dalam report kerana risau dikenakan dibawah akta pemerdangan manusia.
Entah kenapa, pemulangan Faris kepada keluarga kandungnya merupakan satu kelegaan bagi aku. Aku tahu ini bukan terbaik untuk Faris, tapi ini yang terbaik untuk aku. Mungkin bukan aku yang Alah takdirkan untuk bantu Faris.
Aku tidak terlalu sabar untuk itu dan aku tidak sanggup kehilangan adik kecilku demi Faris. Aku cuma mampu berdoa dan berharap Allah pelihara Faris .
Setelah hal nurse diketahui ibuku, dia mula rasa lega dan tidak lagi sedih dengan ketiadaan Faris. Cuma ibuku berhasrat setelah tamat pkp, kami akan mengulang Faris dan memastikan keperluaanya cukup.
Itulah cerita yang aku ingin sampaikan. Bahawa wujud dua jenis ibu yang ingin memberikan anak mereka.
Satu, ibu yang berharap anaknya terbela tanpa berharap apa apa balasan. Kedua, ibu yang menjual anak. Memberi anak dengan pulangan yang berbeza. Dan aku merasai dua dua didalam kehidupan aku.
Sekian. Nanti kalau ada perkembangan Faris, aku cerita disini lagi.
– Juweeta (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit