Aku anak yang selama ini diam.
Diam bukan sebab aku tak rasa apa-apa, tapi sebab aku dah letih.
Aku pendam semuanya sebab aku tahu kalau aku bersuara, aku tetap salah. Sebab dia mak.
Tapi, sampai bila aku nak biar diri aku terus begini?
Aku manusia. Aku ada hati. Aku ada perasaan.
Aku bukan patung yang tak terluka setiap kali dia marah-marah tanpa sebab.
Aku bukan batu yang tak hancur bila dia baling barang sambil menjerit di depan aku.
Aku bukan kayu yang tak retak bila pintu dihempas kuat-kuat di depan mukaku hanya kerana aku tak buat apa yang dia nak.
Kadang-kadang aku fikir, kenapa aku lahir ke dunia ini?
Aku tak pernah minta dilahirkan. Aku tak pernah pilih untuk punya ibu yang seperti ini. Tapi, aku tak ada pilihan. Aku cuma anak.
Setiap kali dia sindir aku, setiap kali dia bercerita tentang keburukan aku pada orang lain, aku terasa bagai dunia ini mengecil dan menghimpit aku.
Aku nak menangis, tapi aku tak boleh. Sebab aku tahu, kalau aku menangis, aku akan disindir lagi. Katanya aku ni “lembik.” Katanya aku ni “tak guna.” Katanya aku ni “cuma tahu susahkan orang.”
Tapi, Mak tahu tak?
Aku pun manusia. Aku pun nak rasa disayangi. Aku nak ada seorang ibu yang boleh peluk aku bila aku rasa lemah, bukan yang baling barang ke arah aku bila dia tak puas hati.
Aku nak ada seorang ibu yang boleh mendengar aku bercerita tanpa mencelah dengan sindiran yang menyakitkan. Aku nak rasa, walaupun sedikit, yang aku ini dihargai sebagai anak.
Mak selalu cakap, aku ni anak yang tak tahu bersyukur. Tapi, Mak pernah tak tanya diri sendiri?
Pernah tak Mak cuba faham aku? Atau Mak cuma nak aku faham semua rasa sakit dan marah Mak tanpa Mak peduli tentang apa yang aku rasa?
Aku tahu, aku tak sempurna. Aku tahu, aku tak selalu jadi anak yang Mak harapkan. Tapi, Mak tak pernah cuba terima aku apa adanya.
Mak selalu bandingkan aku dengan anak orang lain, seolah-olah aku ini sampah yang tak berguna.
Kadang-kadang, aku tertanya-tanya:
Adakah aku salah kalau aku marah pada Mak? Adakah perasaan aku ini tak valid hanya kerana Mak itu ibu aku?
Aku cuba bertahan, Mak. Aku cuba jadi anak yang baik. Tapi, aku juga ada batasnya. Aku manusia, bukan robot. Aku juga ingin bahagia, Mak.
Tapi setiap kali aku rasa nak bahagia, Mak hadir dengan marah Mak, sindir Mak, dan cacian Mak yang meruntuhkan semua dinding yang aku bina untuk pertahankan diri aku.
Aku cuma anak, Mak.
Anak yang tak pernah minta dilahirkan ke dunia ini. Anak yang tak pernah minta semua ini berlaku.
Tapi, kalau aku bersuara, aku tahu, Mak cuma akan cakap aku derhaka. Sebab aku anak, dan Mak selalu betul.
Dan aku? Aku terus memendam. Sampai bila? Aku sendiri tak tahu.
Semoga sesiapa yang membaca ini, terutama seorang ibu, sedar bahawa anak juga manusia.
Perasaan mereka penting, dan cinta bukan hanya diberikan dalam bentuk tanggungjawab, tetapi juga penghargaan dan kasih sayang.
– Nina (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit