Assalamualaikum dan hai. Maafkan aku kerana perkongsian kali ini agak panjang. Maafkan juga andai perkongsian ini tidak menyenangkan, Aku cuma mahu mencari tanda sokongan dan kiriman kata positif serta doa yang baik dari kalian.
Sejujurnya, berat untuk aku kongsikan memandangkan ini adalah pekung yang terpaksa aku simpan dan hadap sejak kecil tapi aku dah penat sebenarnya.
Penat untuk simpan yang akhirnya perlahan2 buatkan aku makan hati sendiri.
Buat mereka yang pernah kongsikan isu keluarga berkaitan parent, aku mengerti rasa ‘kegilaan’ itu. Sakit dilukai orang luar tak sesakit bila dilukai insan yang tinggi darjatnya disisi Tuhan.
Sejak kecil, dah diajar untuk hormat dan wajib patuh pada mereka, keredhaan Allah terletak pada mereka.
Cuma, kadang aku terfikir, apakah kerana aku hanya seorang anak, aku tidak punya hak untuk berkongsi rasa yang aku simpan tentang mereka?
Apakah kerana aku hanya seorang anak, orang tuaku boleh buat apa yang mereka mahu? Dan apakah kerana aku ini adalah anak, aku tidak berhak untuk rasa kecewa dan sedih selepas dimaki mereka setiap hari?
Yang aku tahu, aku berdosa jika melukakan hati mereka. Tapi yang aku tidak tahu, adakah aku juga berdosa kerana aku selalu menangis dan mengadu pada Allah tentang apa yang mereka lakukan pada aku.
Lama aku simpan apa yang aku alami. Setiap kali jadi perkara yang sama, setiap kali itulah keinginan aku untuk pergi dari dunia ini membuak2. Mujur, Allah ada. Niat aku terhenti disitu.
Aku sejak kecil dah acap kali menjadi penonton babak mak abah bergaduh sampai bawa parang, lempar barang sampai pecah, bertengkar dengan ayat2 kasar.
Mak selalu pesan apa yang jadi dalam rumah, jangan dibawa keluar. Ya, aku simpan kemas2. Orang nampak aku ceria di luar, tapi didalam hati aku dah remuk teruk.
Aku juga sudah lali bila mak abah sering maki aku dengan ayat2 luar biasa yang tak sepatutnya mereka ucapkan pada aku. Biasanya, jadi seperti itu selepas mereka bergaduh dan lepaskan pada aku.
Kadang, aku cuba tegur sebab aku tak nak adik aku takut melihat mereka, dan aku dah mula naik segan dengan jiran dek kerana pergaduhan mereka.
Tapi sekali lagi aku dimaki kerana anggap aku nak membela salah seorang antara mereka. Sampai berminggu tak bertegur dengan aku. WhatsApp semua diblock. Aku simpan lagi rasa remuk itu.
Kemuncaknya, apabila saudara mara tahu akan masalah keluargaku apabila mak mengadu pada mereka menyatakan abah punca segalanya memandangkan mak bukan menantu idaman keluarga abah.
Dan mungkin sebab itu, mak berdendam dengan mereka sehingga kini sampaikan tidak mengizinkan abah, aku dan adik untuk jenguk mereka.
Abah pula, aku tidak tahu apa perasaannya memandangkan semua duit memang diserahkan pada mak untuk diuruskan. Aku rasa malu sangat bila ada saudara yang datang jumpa aku dan minta untuk aku jalankan tanggungjawab sebagai anak dengan menegur mereka.
Aku rasa dikhianati, selepas sekian lama diajar untuk pendam, tapi mak sendiri yang berkongsi masalah keluarga kami.
Mungkin juga mak sudah tidak tahan, tapi setiap kali mak mengadu, aku yang diserang saudara mara kerana tidak tahu menjaga mereka. Aku rasa sedih dan terbeban juga, memandangkan usia aku pada ketika itu baru 15 tahun.
Apa saja yang aku mampu lakukan. Bukan aku tak pernah cuba jadi orang tengah, tapi diakhir nanti aku juga disalahkan dan dijadikan tempat lepaskan kemarahan.
Setiap tahun sehingga kini, Aku tidak pernah merasakan Hari Raya disebabkan mak abah selalu bergaduh dan mengurung diri dalam bilik. Aku dan adik sampaikan dah boleh faham, yang kami memang tak akan beraya.
Tipulah, tidak rasa cemburu melihat orang lain berswafoto bersama keluarga sambut hari lebaran, sedangkan kami? Ya, aku simpan lagi.
Sampai saat ini, disaat aku menulis ini, aku menangis kenangkan apa yang aku lalui. Aku selalu salahkan diri sendiri yang menjadi punca mereka bergaduh.
Selalu aku berdoa, biarlah aku yang pikul semua beban mak abah, asalkan mereka tidak bergaduh dan adik aku bahagia melihat mereka.
Adik aku sekarang kerap memberontak dan banyak habiskan masa dengan kawan. Aku sedih sebab tak dapat protect dia dari masalah mak abahku.
Dan mak abah, selain bergaduh sebabkan isu peribadi mereka, isu adik yang kerap keluar jugak mereka akan bergaduh dan keluarkan kata2 kesat pada adik. Adik pernah menangis pada aku, yang mak pernah mesej doa yang bukan2 padanya. Ya, aku simpan lagi.
Aku simpan dan simpan, tapi mak abah seolah2 nak tunjuk pada dunia tentang pergaduhan mereka.
Mak abah sampai upload tentang pergaduhan mereka di media sosial, sampaikan kawan2 aku yang menjadi friend list mereka, jadi tahu dan pinggirkan aku kerana sebab itu.
Kadang, aku fikir tidak segankah mereka, saudara mara yang dekat jauh semua tahu pasal masalah mereka, jiran2 yang selalu terganggu dengan pergaduhan mereka tidak kira siang atau malam.
Korang tertanya kenapa tiada saudara atau jiran yang menegur? Maybe sebab mereka juga takut. Sebab pernah ada saudara yang tegur, terus mak tak bertegur sapa dan menjenguk saudara itu. Hurm.
Aku dah lelah sebenarnya. Aku dah penat simpan dan dah penat nak hadap satu persatu. Mak abah tetap kekal dengan ego mereka dan saling menyalahkan antara mereka.
Aku masa dulu mungkin boleh diam lagi kerana takut dipukul dimaki, tapi kini aku diam dan tidak mahu masuk campur lagi kerana takut hilang hormat. Aku masih sayangkan mereka,
Aku selalu ingatkan adik, mereka buat kita macam nie, mereka tetap orang tua yang pernah susah payah besarkan kita. Itu sajalah pesanan buat aku dan adik setiap kali mereka memaki dan bergaduh depan kami.
Dan setiap kali ada sharing tentang anak2 yang melalui kehidupan seperti ini, aku menangis mengerti remuk hati tu. Mungkin kalian boleh katakan, sabar dan sabar.
Dan mungkin juga kalian boleh katakan biarkanlah sebab mereka orang tua yang tinggi darjat dan dah banyak berkorban untuk anak2.
Mungkin juga ada yang akan kata, anak jenis apa ini yang buka aib mak abah sedangkan mereka yang besarkan kami. It’s ok. Aku faham stigma masyarakat, yang mak abah mmg dua insan yang patut aku sanjung dan patuh.
Malah, ianya jugak jadi tuntutan agama untuk berbakti kepada mereka.
Mungkin kerana itu, perasaan aku sebagai anak yang lalui semua ini hanya dipandang sepi memandangkan mak abah lebih berhak untuk lakukan apa yang mereka mahu hanya sebab mereka adalah syurga aku.
Dan mungkin sebab itu, ramai yang salahkan aku sebagai anak, kerana mempunyai rasa kecewa dan sedih pada mak abah sendiri sedangkan merekalah yang besarkan aku.
Dan mungkin juga sebab itu, hak aku sebagai anak yang inginkan suasana keluarga bahagia dinafikan kerana mereka lebih tinggi darjat disisi Tuhan.
Mungkin sebab itu juga, ramai yang akan kata sebab aku tidak punya anak, maka aku tidak mengerti apa yang mereka lalui.
Aku faham dan aku bangga kerana ramai yang masih sayangkan orang tua mereka dan sangat pentingkan adab dengan orang tua.
Cuma, aku mahu tahu, adakah aku perlu tunggu untuk mempunyai anak, baru aku faham apa yang mereka lalui lalu aku ulang semula apa yang aku pernah hadap kepada anakku?
Dan begitulah seterusnya. Apakah susah untuk mak abah datang pada aku, dan minta maaf kerana mereka telah buat aku takut dan sedih dengan pergaduhan mereka?
Adakah kerana mereka punya darjat tinggi dan kuasa veto keatas aku, mereka rasa aku patut hadap semua ini dan jika aku membantah, aku dikira anak derhaka dan berdosa.
Dari mulut masyarakat biasa sehingga lah ke kuliah agama, rata2 ramai perjuangkan hak ibu bapa yang ditindas dan dizalimi anak, namun jarang yang mengulas tentang kami sebagai anak yang ditindas emosi dan mental.
Mungkin kerana kami ini adalah hanya anak, yang tak diminta untuk dilahirkan ke bumi, tapi sering membebankan kaum ibu bapa dengan kerenah kami.
Maafkan kami sebagai anak, yang sepatutnya tidak punya hak apa2 untuk merasa kecewa dan sedih dengan ibu bapa. Kami patut lebih diam dan buang semua rasa terluka itu sebabkan ibu bapa lebih banyak berkorban untuk kami.
Maafkan kami. Biarlah kami sebagai anak yang lalui semua ini terus diam, asalkan kami tidak dilabel anak derhaka.
Biarlah kami sebagai anak hadap apa yang kalian pamerkan, asalkan kalian puas dan bahagia dengan cara kalian. Kami cuma berpangkat seorang anak, kami bahagia bila orang tua yang kami sayang juga bahagia.
Buat mak abah, maafkan kakak. Kakak tak dapat jadi anak yang terbaik buat mak abah, ampunkan kakak seandainya sepanjang kakak hidup dan cuba menegur mak abah,
Bukanlah kerana kakak nak tunjuk hebat atau nak menempah neraka, tapi kerana kakak fikirkan adik yang sedang sedih melihat kalian bergaduh.
Kakak tak dapat buat lebih untuk protect adik, tapi itu sajalah yang akak mampu buat. Terima kasih mak abah, untuk semuanya yang telah mak abah korbankn.
Apa pun yang kakak lalui, kakak maafkan mak abah. Kakak tak akan tuntut sedikitpun rasa terluka kakak ini di sana nanti, kerana kakak sedar tanpa mak abah, kakak tiada didunia ini.
Cuma kakak pinta, izinkan untuk kakak terus mengadu pada Allah setiap kali kakak sedih dengan mak abah. Kakak juga manusia biasa yang punya hati dan perasan. Tapi jangan khuatir, kakak cuma mahu luahkan saja.
Hurm, sebenarnya aku tak perlu tunggu untuk ada anak untuk faham pengorbanan mak abah.
Aku cuma perlu tunggu bila ada anak, aku takkan ulang semula apa yang aku lalui pada anak aku. Biarlah kesakitan yang dicipta keluarga sendiri terhenti setakat aku,
Tak perlu jadi sebagai warisan turun temurun. Buat kalian yang punya mak abah yang perfect segalanya, kalian untung tak perlu hadap semua ini.
Aku tumpang gembira dan cemburu sedikit hehe. Semoga kekal bahagia disamping keluarga. Buat kalian yang lalui seperti aku, jangan dibalas apa yang mereka lakukan, santuni mereka sebaiknya, setiap kali rasa dendam dengan apa yang mereka lakukan,
kembalilah pada fitrah sebagai seorang anak yang wajib untuk hormat dan patuh pada mereka. Payah mmg payah, tapi itu hakikat yang patut diterima.
Buat kalian yang begitu concern dengan luahan kami dan anggap kami seolah tidak mengenang budi dan jasa orang tua kami, maafkan kekurangan kami.
Kami cuma mahu luahkan ketakutan dan kesedihan yang kami pikul tapi tiada siapa yang mahu ambil tahu kerana kalian lebih percayakan ibu bapa adalah syurga yang tidak patut dinerakakan.
Rata2 yang kongsi tentang ibu bapa masing2 hakikatnya sangat sygkan ibu bapa, cuma mengharapkan tiada lagi penderaan emosi dan mental.
Dulu, mungkin aku selalu salahkan takdir kerana aku merasakan hak seorang anak tiada erti bagi ibubapa. Kini, aku faham, biarlah orang nak mengata itu ini,
Allah lebih faham tentang aku. Sekalipun hak sebagai anak tidak dititikberatkan sepertimana hak ibubapa, aku yakin Allah tahu dan ada dengan aku.
Allah sayang aku, sebab tu Allah izinkan aku untuk hidup dalam keluarga ini supaya jadi iktibar pada aku dan yang lain.
Akhir kata, maafkan Aku yang serba kekurangan.
Aku cuma seorang anak yang hanya mahukan kebahagian dlm keluarga sendiri. Kalau bukan untuk aku sekalipun, biarkanlah adik aku merasai kebahagiaan itu walaupun seketika.
Dan aku mohon, jangan dikecam orang tuaku, kerana mereka juga pasti mempunyai sebab sendiri mereka lakukan semua itu terhadap aku dan adik. Aku sudah maafkan mak abah, biarlah Allah yang aturkan semuanya.
Kadang kita lupa, anak juga manusia, punya perasaan yang dipendam dek kerana orang tuanya. Kadang marah tak bertempat sampaikan terkeluar kata2 kesat, nak dimarah nyamuk, tapi dibakar kelambunya.
Mungkin sebab itu ada satu sharing dalam kuliah agama kata, seorang mak sedih dengan perbuatan si anak, lalu mengadu pada ustazah (tak silap aku),
Ustazah pesan, cuba tanyakan pada anak, apa yang kita pernah lakukan sehingga mengguris hatinya, cuba minta maaf kepada anak andai pernah melukakan hatinya.
Selepas itu, si anak pun berkongsi rasa dan akhirnya berubah.
Semoga kita saling berkasih sayang dan tidak menganggap anak itu hanya sebagai tempat luahan kemarahan semata. Semoga dengan kebaikan kalian sebagai ibu bapa terhadap anak, menjadi asbab kalian ke syurga dengan doa anak2 yang soleh dan solehah.
Semoga juga kalian yang sedang tumbang dengan ibu bapa kalian, dibalas ganjaran setimpal dengan kebahagiaan yang tiada berkesudahan.
Mungkin bukan rezeki kita untuk peroleh kebahagiaan dari keluarga sendiri in shaa Allah kita cipta kebahagiaan lain dalam keluarga kita dengan pasangan dan anak2 di masa depan nanti.
Big hugs for you~
– EL (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit