Berkahwin dengan anak lelaki sulung ibu sangat memenatkan fizikal dan mental aku.
Salah aku juga terburu-buru berkahwin dengan anak lelaki ibu dengan harapan dapat bertukar tempat kerja yang waktu itu jauhnya beribu kilometer dari kampung halaman.
Tak apalah dah jodoh. Tak kenal tak cinta kahwin sajalah.
Arwah ibu aku adalah isteri pertama. Ibu mertua pula isteri kedua. Kedua-dua suami mereka berpoligami. Tapi beza langit dengan bumi.
Arwah ibu aku yang selalu ditinggalkan suami tidaklah merungut sekerap ibu mertua aku yang hari-hari suami di depan mata. Bangun tidur bapa mertua ada, nak tidur pun bapa mertua ada.
Setiap kali puasa dan hari raya bapa mertua tak pernah gagal ada dengan ibu mertua. Ada sahaja tak kena. Tak cukup kasih sayang, tak cukup perhatian, tak cukup material.
Siapa mangsanya? Aku.. aku menantu pertama, isteri anak lelaki sulung ibu. Semua rungutan yang tak mampu dipenuhi suami dan anak lelaki pertama dipenuhi aku..
Tahun pertama, kedua, ketiga ok lagi.. ladang pahala, sementelah ibu bapa sendiri pun meninggal dunia ketika aku baru berkahwin..
Tapi bila aku nak balik kampung ziarah adik beradik, nak beli rumah, nak berjalan semuanya disoal diiring air mata, siapa mampu bertahan.. Kenapa nak balik? Siapa balik? Berapa hari balik? Ayah kau tak bagi mak itu, ayah kau tak bagi mak ini..
Masuk tahun ke 13 aku jadi tepu, aku jadi benci.. aku penat, masa, tenaga, wang ringgit.. aku lebihkan keluarga mertua dari keluarga aku sendiri.
Lebih malang, perkahwinan ini tak dikurniakan anak.. aku juga yang salah, yang gagal. Kata ibu mertuaku keturunan mak tiada yang macam ini.
Aku simpan bertahun-tahun rasa kecil hati. Nak mengadu dengan emak sendiri, emak dah meninggal dunia. Sedangkan keputusan ujian hospital menunjukkan tiada sperma untuk disenyawakan dengan ovum. Kosong.
Berpisah. Aku penat, aku ambil keputusan berpisah. Selepas lebih sepuluh tahun bertahan. Tapi aku bodoh, aku tak fikir panjang, kerana kasihan pada bekas suami, kasihan melihat rumah yang tidak terjaga, aku berkahwin semula.
Tapi sekarang aku rasa kosong, aku menyesal berkahwin semula. Wajah ibunya di mana-mana, aku benci.
– Kemboja Jingga (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit