Anak Luar Nikah Itu Hadiah Dari Allah IV

Untuk part I, (https://iiumc.com/anak-luar-nikah-itu-hadiah-dari-allah/).

Untuk part II, (https://iiumc.com/anak-luar-nikah-itu-hadiah-dari-allah-ii/).

Untuk part III, (https://iiumc.com/anak-luar-nikah-itu-hadiah-dari-allah-iii/).

Kerana ipar duai dan adik beradik, ibu aku sakit meroyan. Akhirnya aku yang dibenci ibu.

Seperti yang aku pernah ceritakan dalam post lepas, aku dibenci oleh ibu sebaik sahaja ibu aku lahirkan adik bongsu.

Dari kecil aku sangat rapat dengan ibu sebab aku je perempuan. Adik-adik semua lelaki. Ibu pergi mana-mana pun aku ikut. Tidur pun bawah ketiak ibu.

Aku menyusu badan sampai aku umur 6 tahun. Aku 6 tahun baru ada adik. Korang boleh bayangkan tak rapat aku dengan ibu macam mana?

Kitorang tinggal kat rumah pusaka keluarga sebelah bapa aku.

Adik beradik bapa aku tinggal rumah sebelah-sebelah.

Tapi aku masih ingat sampai hari ni. Walaupun aku masih kecil, tapi ingatan aku sangat kuat pada zaman kanak-kanak. Setiap kali bapa aku keluar daerah sebab kerja, kakak kepada bapa aku datang rumah pergi gaduh ibu aku.

Aku tak tahu gaduh sebab apa, tapi itulah yang aku nampak. Setiap kali bapa aku takde, mesti dia datang pergi gaduh.

Bila bapa aku balik, dia mengadu dekat bapa aku macam-macam cerita sampai ibu bapa aku pula gaduh.

Bila dah gaduh, bapa aku akan keluar rumah sekejap untuk bertenang.

Tapi sebaliknya, kakak bapa aku datang semata-mata nak nyanyi dan menari depan ibu aku yang sedang menangis.

Aku jadi saksi semua tu.

Dia manusia yang penuh dengan lakonan.

Korang dapat rasa tak sakitnya hati ibu aku macam mana?

Ibu aku tak pernah nak minta cerai sebab keluarga ibu aku orang susah.

Kalau bercerai, kat mana ibu aku nak pergi? Ibu aku bukan ada pendidikan.

Kalau bercerai, aku dan adik-adik pula macam mana.

Banyak lagi perbuatan-perbuatan ipar duai ibu aku yang selalu buat ibu aku menangis. Mentang-mentang ibu aku susah, mereka kutuk hina dan ambil kesempatan.

Kalau aku ingat semua tu, aku jadi berdebar sebab marah yang tersimpan tak pernah terlepas. Bila ingat je, aku istighfar banyak-banyak.

Aku taip nak cerita ni pun, aku keluar airmata. Tapi sebab aku nak korang tahu apa yang aku lalui zaman kecil hingga aku remaja.

Mungkin bapa aku perasan yang kakak-kakak selalu masuk campur urusan rumahtangga. Sejak tu, bapa aku akan hantar kami ke rumah nenek sebelah ibu di kampung setiap kali bapa aku keluar daerah.

Rumah nenek aku rumah berdindingkan zink.. Tapi kami bahagia sebab kami dilayan sebaik-baiknya. Berbeza dengan adik beradik bapa aku. Nak main mainan anak-anak mereka pun aku dan adik-adik di marah. Mampu tengok je la.

Macam-macam mainan mereka ada. Tapi kami cuma mampu tengok.. Nak sentuh tak boleh.

Kalau kat rumah nenek, kami main bawah kolong lari-lari dengan anak-anak jiran.

Takde sape larang dan marah kami.

Takde sape nak gaduh dengan ibu.

Tak habis dengan ipar duai yang selalu cari salah ibu, adik kandung mak aku sendiri pula jadi jarum disaat ibu sedang dalam pantang.

Masa ni aku dah umur 10 tahun.

Masa tu ibu sedang dalam pantang adik bongsu aku. Adik ibu aku pula ni selalu datang menjenguk bila waktu bekerja masa takde bapa aku.

Telinga aku ni jadi saksi selalu dengar dia bagitau ibu aku yang bapa aku ada perempuan simpanan.

Hari-hari datang bawa cerita yang sama.

Jangan kata ibu aku, sape-sape pun pasti akan kusut fikiran dan fikiran jadi kacau. Dah lah ipar duai macam tu, dapat pula berita-berita tak

Best dari adik sendiri. Bila adik sendiri yang cerita, sedikit sebanyak pasti percaya bulat-bulat.

Tapi aku tak tau la betul atau tak cerita tu. Sebab aku tak pernah nampak.

Lagipun bila kat rumah, bapa aku yang masakkan selama ibu aku berpantang.

Lama kelamaan, ibu aku dah berbual sendirian. Lepas tu ketawa sendirian.

Bila bapa aku takde, ibu aku bakar seluar dan baju bapa aku setiap kali dah pakai.

Sampai bapa aku mencari tapi tak jumpa.

Masa ni mak aku dah mula ajukan pisau potong daging kat leher aku.

Aku diberi amaran jangan pernah bagitau bapa yang ibu dah bakar.

Setiap kali ada benda yang ibu aku angin, aku yang diajukan pisau kat leher.

Aku diam je setiap kali ibu aku buat macam tu. Nak nangis tapi tak tau nak nangis kat sape. Tak tau nak peluk sape.

Sebab selama ni, ibu lah tempat aku bermanja. Tempat aku mengempeng.

Ibu juga yang selalu bawa aku ke mana-mana. Tapi sejak tu, aku takde sape-sape. Takde tempat aku nak pergi.

Sebab aku masih tidur sebilik dengan ibu sambil jaga adik bongsu aku yang masih baby.

Maki hamun menjadi makanan harian.

Aku dituduh pelacur.

Aku dituduh main dengan bapa aku.

Aku dituduh main dengan jiran aku.

Aku dituduh main dengan adik-adik aku..

Aku dituduh main dengan uncle aku.

Ibu aku terbayang-bayang dengan cerita-cerita yang makcik aku bawa, tapi semua dilepaskan kepada aku.

Aku takde tempat nak pergi.

Hari-hari aku menangis bawah kolong.

Sedara mara sebelah menyebelah takde nak lindung aku. Takde sape nak ambil peduli aku dan adik-adik.

Pernah sekali aku lari pergi rumah kakak bapa aku sebab ibu dah hunus pisau kat leher aku. Tapi apa yang aku dapat?

Aku ditendang dan dihalau.

Sebab mereka tak nak ibu aku datang cari aku kat sana.

Aku pernah mengadu beberapa kali kat bapa aku, tapi aku jadi menyesal bila bapa aku bergaduh dengan ibu.

Aku jadi tersepit.

Tak mengadu, aku yang dihunus pisau.

Tak mengadu, aku yang dimaki hamun.

Bila mengadu, ibu aku pula di marah.

Bila mengadu, ibu aku pula di tengking.

Semua tu berlanjutan sampai aku remaja. Akhirnya aku dapat bilik sendiri.. Bilik tu bekas stor. Aku bersihkan untuk tempat aku tidur. Aku mula berkurung dalam bilik sendirian. Sebab keadaan sakit ibu aku semakin teruk.

Setiap kali aku makan, aku dihamun. Aku dihamun sebab makan makanan yang ibu aku masak.

Mungkin dalam bayangan ibu aku, aku adalah perempuan yang selalu diceritakan oleh makcik aku.

Sejak dari tu aku cuma makan kat sekolah. Sehari sekali je aku makan. Berbulan juga aku macam tu. Aku tak pernah bagitau bapa aku yang aku belum makan. Tapi mungkin bapa aku dapat hidu juga apa yang jadi, bila bapa aku balik pasti ada tapau untuk aku.

Baju sekolah dan pakaian aku semua cuma berbasuh seminggu sekali. Iaitu pada waktu bapa aku ada je aku dapat keluar dari bilik.

Selebihnya aku berkurung. Bilik aku lama-lama dah takde rupa bilik anak dara. Sampah aku longgokkan kat penjuru bilik.

Aku perempuan. Korang yang baca ni mungkin ada ibu atau sedara mara yang guide korang bila datang haid. Aku?takde. ..

Aku datang bulan pada umur 13 tahun.

Aku cari pakaian yang dah lama tak pakai, aku koyakkan buat pad. Itulah yang aku pakai pergi sekolah dalam beberapa hari.

Belanja sekolah aku kumpul beberapa hari, baru aku dapat beli pad. Aku nak minta bapa aku belikan pun aku segan.

Sejak dari tu, aku dah mula tulikan telinga dengan maki hamun ibu. Ibu tetak parang kat pintu bilik aku, aku just berjaga.

Sebab tu aku cari cara nak keluar dari rumah. Ada dalam post sebelum ni macam mana cara aku keluar dari masalah aku.

Sebab tu aku anggap anak luar nikah aku tu adalah hadiah dari Allah. Hidayah terbesar yang Allah bagi aku. Kerana anak itulah aku dapat keluar dari dunia kegelapan aku. Kerana anak itulah aku dapat merasa semula pelukan dari ibu setelah bertahun aku tersiksa.

Aku membesar takde kasih sayang.

Di sekolah, kawan-kawan hanya nampak aku sebagai seorang yang pengotor. Jiran tetangga hanya nampak aku sebagai seorang yang sosial.

Hakikatnya takde sape yang tahu apa yang aku lalui. Bukan takde, tapi semua pun pentingkan diri sendiri. Semua hati kering takde nak fikirkan keselamatan aku dan adik-adik.

Aku pula tak nak cerita kat sape-sape luar dari rumah sebab taknak ibu aku lagi yang dapat akibatnya.

Waktu tu, tak dinafikan ada masanya aku lawan semula bila ibu maki hamun. Lama kelamaan, aku jadi lali. Aku sayang ibu aku. Dia tetap ibu aku. Sebab aku tahu apa punca ibu aku jadi macam tu.

Aku serahkan pada Allah untuk setiap perbuatan ipar duai ibu aku dan adik ibu sendiri. Masing-masing ada bahagiannya. Allah itu maha adil. Kifarah itu pasti. Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya menderita selamanya.

Sekarang, ibu aku adalah ibu yang paling bahagia. Kerana kami anak-anaknya ada disisi menjadi penjaga yang akan terus melindungi ibu.

Kami adik beradik ada kerjaya masing-masing.

Selama ibu sakit macam tu, bapa tak pernah tinggalkan atau ceraikan. Sampai hari ni bapa ke mana-masa pasti bawa ibu. Selalu ke luar negeri bawa ibu sambil lawat adik-adik aku. Adik-adik aku semua tinggal di lain-lain negeri atas sebab tuntutan kerja.

Keluarga ipar duai ibu dan adik kandung ibu pula, ada bahagian masing-masing. Di dunia lagi Allah dah bagi tunjuk.

semoga mereka sedar apa yang mereka hadapi hari ini adalah hasil perbuatan mereka yang lepas. semoga mereka sempat taubat dan minta maaf pada ibu..

Kesalahan mereka pada Allah, boleh Allah ampunkan. InsyaAllah. ..

Tapi dosa sesama manusia pada ibu aku, mereka kena minta maaf pada ibu aku sendiri.

Hasil dari ikatan kekeluargaan kami, sakit ibu sudah tidak seteruk dulu.

Pernah kami nak bawa ibu jumpa psikiatri, tapi ibu taknak. Ibu fikir kami cuba nak racunkan ibu.

Oleh kerana ibu tak nak, kami tak paksa.

Tapi kami bagi sokongan moral dan selalu teman ibu berbual.

Sekarang ibu dah normal.

*Nasihat aku untuk semua, tolonglah jangan jadi toksid dalam rumahtangga adik beradik. Kesan dia kepada anak-anak kecil. Anak-anak yang dapat tempias hasil perbuatan kamu. Dosa besar tu kamu akan bawa sampai bila-bila selagi tak taubat dan tak minta maaf.

*Tolonglah ambil berat kepada anak-anak kecil kepada pesakit kemurungan atau apa-apa yang berkaitan kesihatan mental. Sikap tidak ambil berat lah menyebabkan kita selalu dengar ibu kelar anak. Ibu bunuh anak. Ibu racun anak.

*Tolong bagi kata-kata semangat dan dorongan kepada pesakit mental untuk sembuh. Jangan dikutuk, dihina, dicaci mahupun disindir-sindir.. Semua tu penyebab utama sakit tu trigger dan akan jadi lebih teruk lagi. Tolong dengar masalah mereka dan bagi perhatian.

*Setiap perbuatan itu, Allah akan balaskan. Mungkin bukan kamu yang kena, tapi kamu akan melihat apa yang kamu pernah lakukan itu akan jadi kepada anak-anak atau cucu cicit kamu.

*Kalau kamu sedar ada perbuatan kamu yang salah, maka segeralah minta maaf dan taubat. Taubat sungguh-sungguh. Kesalahan pada manusia tidak akan terhapus selagi kamu tidak minta maaf kepada empunya badan.

Sekadar dari cebisan lembaran hidupku.

– Daya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *