Anak Malaysia Pertama Terbang Tinggi Di Tanah Rendah Belanda

“Assalamualaikum.”

Salam perkenalan daripada aku, seorang insan biasa yang mempunyai semangat luar biasa. Ini ceritera aku. Kisah aku dalam menggapai PhD yang penuh onak dan duri selama empat tahun di Belanda. Arkitek dan pensyarah dalam pada masa yang sama.

Jika ditanya adakah aku memang menanam minat serta keinginan untuk menyambung ke peringkat PhD sejak dari kecil?

“Dah besar nanti, Arul nak jadi apa.” Atuk yang aku panggil ayah bertanya tentang cita-cita aku.

“Entahlah, yah. Arul ikut mama je.”

“Tapi kan, UIA tu macam best. Arul suka sangat tengok abang-abang dan kakak-kakak kat sana.”

“Dapat sambung degree dalam apa-apa bidang pun dah cukup.” Aku menambah lagi.

Jawapan aku adalah tidak sama sekali. Aku tidak pernah bermimpi mahupun berangan untuk menyambung pengajian sehingga bergelar seorang Doktor Falsafah.

Apatah lagi, cita-cita menjadi arkitek hanya bermula sejak aku mendapat tempat di UIA dan ianya tidak pernah luntur sehingga sekarang disebabkan minat yang sangat mendalam.

Namun, setelah diberi peluang menjadi tutor di UPM pada tahun 2007 dan seterusnya ditawarkan menyambung pengajian Master, tanggapan aku berubah terhadap kerjaya aku ini.

“Aku kena sambung PhD ni. Selangkah je lagi.”

Aku mula merasakan dengan menyambung pengajian ke peringkat tertinggi, ia lebih memudahkan aku untuk berkongsi idea kepada masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Kedudukan dan keistimewaan orang yang berilmu dan yang mencari ilmu dinyatakan dalam banyak ayat dan hadis serta ulasan-ulasan para ulama. Di antaranya, firman Allah Ta’ala bermaksud:

“Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.” (Al-Mujaadalah: 11)

Daripada Abu Umamah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

“Kelebihan orang alim berbanding abid seperti kelebihanku berbanding orang yang paling rendah dari kalangan kamu. Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya, sekalian penghuni langit dan bumi, sehingga semut di dalam lubangnya, dan ikan-ikan berselawat ke atas orang yang mengajar kebaikan kepada manusia.” (Riwayat at-Tirmizi)

“Kelebihan orang alim berbanding abid seperti kelebihan bulan purnama berbanding seluruh bintang-bintang. Sesungguhnya ulama adalah pewaris nabi-nabi. Dan sesungguhnya nabi-nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Sebaliknya mereka mewariskan ilmu. Maka sesiapa yang mengambil ilmu, sesungguhnya dia telah mengambil habuan yang sepenuhnya.” (Riwayat at-Tirmizi dan lain-lain)

Mungkin agak klise dengan mengaitkan bahawa ilmulah satu-satunya penyuluh manusia di dalam kegelapan, namun ilmu juga dapat menyesatkan sekiranya tidak dikawal.

Oleh itu, gunakanlah ilmu dengan sebaik-baiknya dan bukan dengan hanya mengomong kosong dan mendabik dada setelah memperolehi kejayaan.

Aku memulakan pengajian Master pada tahun 2010 dalam bidang perumahan kerana bidang ini memang aku minati dan gemari sejak awal lagi.

“Tak sia-sia aku berkuli empat tahun kat JB dulu. Betul-betul berguna masa aku sambung Master.”

Aku meminati bidang perumahan kerana ketika aku menjadi Arkitek Tapak Projek, aku memang menguruskan projek perumahan di Johor Baharu tidak kira rumah teres, rumah banglo dan pelbagai lagi projek perumahan.

Oleh itu, pelbagai permasalahan ketika mengendalikan projek memberikan motivasi kepada aku untuk menyambung pengajian peringkat Master.

Ketika aku memulakan pengajian Master, aku telah pun memikirkan potensi tajuk yang ingin aku utarakan untuk pengajian peringkat PhD.

Jadi sekiranya jika kita sudah yakin untuk menyambung PhD, adalah penting untuk kita menyasarkan dengan jelas kelangsungan matlamat untuk menyambung pengajian daripada pengajian Master terus ke peringkat PhD.

“Apa yang aku boleh contribute bila sambung PhD nanti dengan harga rumah di Malaysia yang macam harga Yahudi ni?” Aku jenuh berfikir semasa menyambung pengajian Master.

“Kesian budak-budak muda sekarang ni. Nak beli rumah tapi tak mampu. Berhuhu huhu je la diorang.”

Oleh yang demikian, untuk PhD, aku telah mencadangkan sebuah model perniagaan baharu bagi mendapatkan penyelesaian kepada perumahan rumah mampu milik di Malaysia. Walaupun aku menjalankan kajian di Belanda, aku mencadangkan rumah mampu milik di Malaysia, bukannya di Belanda.

Sebelum aku boleh melakukan kajian secara mendalam, aku perlu membentangkan kertas cadangan kajian aku. Sesi pembentangan dan mempertahankan kertas cadangan di Koninkrijk der Nederlanden (Kerajaan Tanah-tanah Rendah) dipanggil sesi ‘Go-no-Go’.

Walaupun baru beberapa bulan memulakan pengajian di Belanda, aku mengambil keputusan untuk pulang bagi menyambut cahaya mata kami yang ke-3 pada 25 Januari 2013.

Namun sukar juga untuk aku mengambil keputusan kerana aku sudah memasuki fasa untuk pembentangan kertas cadangan kajian atau dipanggil Go-no-Go Proposal Defense.

Kegagalan untuk memberikan pembentangan yang meyakinkan akan menyebabkan aku akan diberhentikan oleh pihak universiti. Ketika itu, aku nekad untuk kembali pulang ke Malaysia kerana rezeki Tuhan sentiasa luas dan terbuka. Bagi aku, keluarga adalah segala-galanya.

Aku mengambil keputusan untuk bercuti selama 4 bulan bagi menjaga isteriku di dalam pantang dan menjaga Akhiz Zuhd sementara isteriku bekerja (untuk makluman, tiada cuti bersalin diberikan ketika mendapat HLP), jadi aku akur akan keputusan tersebut dengan mengambil tanggungjawab menjaga isteriku, memasak lauk pantang dan memandikan serta menjaga bayiku sehingga umurnya 4 bulan.

Pada bulan April 2013, isteriku akan menduduki peperiksaan tahun pertama yang membolehkan beliau meneruskan pengajian atau tidak. Dengan situasi baru sahaja bersalin, dia mengheret buku ke sana dan ke sini, membuat rujukan dan menelaah tanpa rasa penat. Semuanya demi anak-anak dan masa depan kami sekeluarga.

Pada akhir bulan April 2013, aku menerima satu lagi berita yang mengejutkan ketika sedang sibuk menguruskan isteri, anak-anak dan rumahtangga. Kiriman e-mel dari universiti telah mengarahkan aku menyiapkan pembentangan untuk sesi ‘Go-no-Go’ yang akan berjalan pada Jun 2013. Jadi aku cuma ada masa dua bulan untuk bersedia.

Kebiasaannya di universiti aku, TU Delft, sesi ‘Go-no-go’ ini dijalankan sama ada pada bulan 12, 15 dan 18 dalam pengajian PhD. Aku menjangkakan nama aku naik pada bulan ke-12 atau 15. Tiba-tiba pada bulan ke-9, aku dimaklumkan perlu menghadiri sidang ‘Go-no-go’ tersebut.

Keputusan ini sungguh mengejutkan kerana kebiasaanya sesi ‘Go-no-Go’ tersebut berjalan selepas bulan ke-12, 15 atau 18 pengajian. Dan aku merasa sungguh pelik kerana aku diarahkan untuk membuat pembentangan begitu awal pada bulan ke-9 pengajian.

Namun aku akur, dalam tempoh menjaga isteri dan bayiku semasa dalam pantang, aku berusaha menyiapkan laporan untuk kertas cadangan kajian dan juga slaid pembentangan.

Setelah menerima khabar mengejut tersebut, aku mula mengambil masa menyusun perkara-perkara yang perlu dilakukan sebelum ‘bertempur’ dengan sesi ‘Go-no-Go’. Perasaan gelabah dan takut itu usah dicerita, setiap hari perasaan itu menjelma selepas menerima perkhabaran tarikh sesi tersebut.

Paling penting ketika itu, aku perlu menyiapkan bahan pembentangan semasa berada di Malaysia dan pulang semula ke Belanda untuk menentukan status pengajian PHD aku.

Sekembalinya aku ke Belanda, aku dikehendaki menyediakan material tambahan untuk pembentangan sesi ‘Go-no-Go’ tersebut. Perasaan makin berdebar-debar, ditambah pula kegagalan dalam sesi‘Go-no-Go’ berkemungkinan akan menyebabkan aku disuruh pulang.

Untuk makluman, sesi ‘Go-no-Go’ ini memberi peluang untuk calon PhD meneruskan perjalanan PHD ke peringkat seterusnya. Jika gagal, selamat tinggal Belanda dan selamat kembali ke tanah air tercinta, Malaysia.

Ada beberapa orang calon PhD Malaysia yang terpaksa pulang semula ke tanah air selepas gagal dalam sesi ‘Go-no-Go’ tersebut. Ingat ya, ‘Go-no-Go’ bukan Ponorogo walaupun bunyinya hampir sama.

Tibalah masa yang mendebarkan pada 12 Jun 2013, aku mendapat sesi pertama. Pelbagai soalan diajukan oleh panel yang terdiri daripada Profesor di jabatan aku dan juga ahli panel undangan.

Walau bagaimanapun, segalanya dapat aku jawab dengan tenang. Usai pembentangan, semua hadirin diminta keluar. Ketika itu, hanya aku dan ahli panel sahaja berada di dalam dewan tersebut.

Komen yang diterima ada yang keras dan selebihnya sangat konstruktif. Tambahan lagi, orang-orang Belanda ini memang terkenal dengan sikap berterus-terang mereka. Kalau tidak betul, mereka akan cakap tidak betul terus supaya kita dapat memperbaikinya. Dipendekkan cerita, alhamdulillah aku berjaya walaupun terdapat sedikit elemen kejutan sebelum menghadapinya.

Akhirnya berdasarkan keputusan majoriti, aku berjaya mengharungi fasa pertama dan mendapat GO dalam masa 9 bulan setelah bertungkus lumus menjaga anak, isteri, turun naik JB-KL-Amsterdam.

Walaupun ada panel yang tidak bersetuju untuk memberikan aku GO pada bulan ke 9, namun mereka bersependapat bahawa ada potensi dalam kertas cadangan kajian yang aku bentangkan itu.

Maka bermulalah perjalanan PhD aku secara serius. Pada tahun pertama pengajian, masa aku banyak dihabiskan untuk memantapkan kajian dan juga menulis bab 2.

Aku juga mengambil kesempatan untuk mengumpul seberapa banyak kertas rujukan daripada jurnal dan juga persidangan serta menggunakan perisian seperti Mendeley dan Endnote. Perpustakaan aku ketika itu hampir mencecah 200-300 artikel.

Pada 15 September 2014, aku sudah sampai ke tahap 24 bulan dan perlu mengemaskini ke dalam sistem untuk membolehkan permit visa pemastautin disambung. Ketika ini, aku sudah pun menjalankan pengambilan data di Jepun dan beberapa lokasi di Eropah.

Aku juga harus memberi pembentangan kepada pihak jawatankuasa bagi mendapat kelulusan untuk meneruskan pengajian. Ya, memang lain caranya di Belanda ini. Segalanya perlu mengikut masa dan kemajuan yang ditetapkan.

Seminggu sebelum pembentangan, aku mengambil inisiatif untuk membuat pembentangan bersama rakan-rakan sepejabat dan tenaga-tenaga pengajar di sana serta mengambil peluang itu untuk menambahbaik persembahan aku sama ada daripada segi lisan mahupun visual.

Alhamdulillah, reaksi yang diterima sangat baik dan memberangsangkan. Usai pembentangan, Profesor aku sangat berpuas hati terhadap usaha yang telah dijalankan serta memberikan pujian terhadap persembahan visualku yang sangat menarik.

Aku memang menggunakan segala perisian untuk membantu aku daripada segi persembahan visual. Tidak cukup dengan Microsoft PowerPoint, aku juga menggunakan Adobe Illustrator, Adobe Photoshop, Microsoft Visio, video dan sebagainya bagi menjadikan persembahan aku menarik serta mudah difahami oleh semua orang.

Pada akhir tahun ke-2 pengajian, aku sudah berjaya menyiapkan draf pertama bab kajian, metodologi dan dapatan kajian. Proses ini aku lakukan berulang-ulang kali kerana penulisan memerlukan kemahiran yang tinggi lebih-lebih lagi pada peringkat PhD.

Aku juga telah menetapkan pertemuan bersama promotor sebulan sekali dan dua minggu sekali bersama daily supervisor. Sebelum mesyuarat berlangsung, aku akan menyediakan agenda mesyuarat selewat-lewatnya dua hari sebelum tarikh.

Semasa mesyuarat, sebarang perbahasan dan perbincangan akan direkodkan bagi tujuan rekod dan sekiranya ada perkara berbangkit di kemudian hari. Usai bermesyuarat, minit mesyuarat akan ditulis dan diagihkan kepada semua jawatankuasa dengan tujuan untuk memberi ulasan atau menyediakan tindakan lanjut.

Setiap dua minggu, aku akan menghantar kemajuan kajian aku dengan menggunakan Gantt Chart dengan menggunakan Microsoft Project dan setiap tugasan akan diberikan peratusan agar semua pihak dapat melihat kemajuan aku supaya dapat memberi ulasan yang sepatutnya mengikut masa yang ditetapkan.

Tanggapan yang mengatakan bahawa anda boleh mula menulis hanya pada tahun akhir adalah salah sama sekali. Proses ini mengambil masa, lebih-lebih lagi bagi kita yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Genap tiga tahun setengah (42 bulan), aku berjaya menghantar draf penuh salinan tesisku kepada pihak jawatankuasa. Ini bermakna, aku mempunyai baki enam bulan lagi kerana pengajian di Eropah mengambil masa minimum sekurang-kurangnya 4 tahun.

Segalanya berjalan lancar berkat perancangan awal dan usaha yang berterusan, ditambah pula dengan kerinduan yang menebal pada keluarga di tanah air. Doa mamaku yang tidak putus-putus untuk anaknya ini juga adalah punca bagaimana aku sampai ke tahap ini.

Baki enam bulan ini, aku habiskan dengan melakukan pembetulan terakhir sebelum manuskrip akhir boleh dihantar ke Graduate School. Sistem di Eropah juga berbeza dengan di UK mahupun Malaysia.
Prosesnya mengikut turutan adalah Draf – Pembetulan – Hantar – Bela Diri, berbanding di Malaysia yang menggunakan format Hantar – Viva -Pembetulan – Berijazah.

Penantian selama empat tahun akhirnya berbaloi apabila akhirnya aku berjaya menyiapkan tesis PhD dalam bidang Seni Bina dengan pengkhususan ‘Mencari Penyelesaian Rumah Mampu Milik Di Malaysia’ dalam masa yang ditetapkan.

Lebih membanggakan apabila kejayaan aku menyiapkan tesis tepat pada masanya membolehkan aku menjadi anak Malaysia dan sekali gus anak Melayu pertama berjaya menyiapkan PhD dalam tempoh yang diberikan sebelum tarikh akhir. Malaysia boleh!

Siapa bilang orang Melayu tak hebat? Aku telah membuktikannya. Kita boleh duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan Mat Salleh. Ingat ikut cara sendiri bukan berkiblatkan orang Putih.

Mat Salleh memang bijak tetapi mereka tidak rajin seperti orang Melayu. Semasa di sana, aku bersaing secara sihat dengan para pelajar dari Greece dalam menyiapkan tesis tepat pada masanya.

Alhamdulillah segala ujian yang aku harungi sebelum ini ada hikmahnya, #zackphdjourney tamat secara rasminya pada pada 30 Januari 2017, penantian aku selama empat tahun berakhir apabila bergelar Doktor Falsafah dari alma meter yang ketiga berprestij di dunia dalam bidang seni bina iaitu TU Delf.

Untuk berjaya, pilih suri teladan dalam bidang masing-masing. Ikuti dan contohi cara mereka melakukan sesuatu perkara sehingga berjaya dan ubah mengikut cara kita selepas itu. Fikir lain daripada yang lain dan cipta sesuatu yang baharu selepas itu.

Bukan cara aku menentukan keputusan sesuatu daripada segi kuantitif tetapi aku lebih mengutamakan kualitatif. Aku tidak mementingkan proses yang dijalankan tetapi sangat mementingkan keputusan yang dicapai. Proses adalah perjalanan individu untuk mencapai sesuatu. Setiap individu tidak sama, jadi kita tidak boleh memaksa mereka mengikut cara kita.

Setelah dikurniakan PhD pada tahun 2017, aku merasakan perubahan yang agak ketara ketika aku mengutarakan sesuatu perkara. Setiap tutur kata aku dipandang serius dan diterima oleh orang-orang awam.

Sejak itu, aku lebih berhati-hati mengeluarkan sesuatu kenyataan dan akan memastikan aku benar-benar yakin dengan setiap perkara yang aku ingin utarakan serta berbincang dengan orang-orang di sekeliling aku.

Namun harus diingat, ilmu itu bukanlah diukur daripada ketinggian tahap pelajaran seseorang tetapi yang paling penting adalah ilmu itu dapat diamalkan dan memberikan manfaat kepada orang-orang di sekeliling kita.

Walaupun kehidupan selepas PhD adalah permulaan hidup sebenarnya namun, PhD telah mengajar aku pelbagai perkara tentang kehidupan dan juga ragam manusia.

Setiap calon PhD juga mempunyai cerita, ujian dan halangan yang berbeza-beza. Namun kita haruslah tabah, cekal dan berusaha untuk mengharungi segala rintangan bagi mencipta satu kejayaan.

Proses menjadi penyelidik untuk melakukan kajian kendiri mengajar aku dan calon-calon PhD lain kemahiran survival dan berdikari. Kemahiran survival dan berdiri di atas kaki sendiri bermula sejak aku kecil lagi. Aku mempunyai pengalaman bekerja di Gudang Pos Malaysia di Larkin dalam usaha mencari duit tambahan.

Bekerja semasa bulan puasa meninggalkan kenangan mendalam. Penat tetapi menyeronokkan terutamanya semasa memilih kad raya sebelum dihantar kepada penerima. Aku juga pernah bekerja di Pizza Hut selepas tamat peperiksaan SPM.

Duit gaji yang aku peroleh digunakan untuk beberapa tujuan seperti mengambil ujian lesen memandu kereta, membeli barangan dapur dan pelbagai keperluan lain. Mama tidak perlu mengeluarkan duitnya bagi membolehkan aku mengambil lesen memandu kerana aku mampu mencarinya sendiri.

Kemahiran survival dan berdikari yang aku pelajari dari kecil aku praktikkan semasa dalam tempoh pengajian PhD aku. Terima kasih masa lalu yang banyak membantu aku dalam usaha untuk memburu gelaran Doktor Falsafah.

Tahun 2017 merupakan tahun yang bertuah dan menggembirakan buat aku dan isteri. Pada bulan Julai 2017 pula, isteriku berjaya bergelar doktor pakar kecemasan dan trauma dan kini berkhidmat di salah sebuah hospital di Selangor.

Inilah kisah hidup dan episod perjalanan PhD aku di tanah rendah Belanda. Alhamdulillah segalanya telah selesai. Ianya sebuah kenangan manis bukan hanya untuk aku tetapi juga untuk mereka yang telah banyak berkorban untuk aku – isteri, mama, anak-anak, mentua dan mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Niat aku bukan untuk menunjuk, aku harap semoga kisah aku ini dapat memberikan inspirasi kepada anda semua.

Pahit getir hidup…
Dan pengorbanan
Terpaksa dihadapi,
Demi kejayaan
Terdidik sejak mula,
Tabah berusaha
Tanpa cuba melangkah,
Tak kemana
Di mana kau berada
Pencapaian tak tiba dengan mudah
Kini “Standing In The Eyes Of The World”
Hanyalah selangkah dari nyata
Keazaman membara di jiwa
Menanti saat bebas merdeka
Tiba masa kau melangkah gagah
Bersemangat ke arah matlamat sedaya upaya
Engkau terunggul
Harapan yang pernah terkulai layu
Kembali segar mekar bawah bayanganmu
Setiap manusia ingin berjaya
Namun tak semua miliki tuah
Engkau menghampirinya
Kesempatan telah pun tiba…
Kini “Standing In The Eyes Of The World”
Hanyalah selangkah dari nyata
Keazaman membara di jiwa
Menanti saat bebas merdeka
Tiba masa kau melangkah gagah
Bersemangat ke arah matlamat sedaya upaya
Engkau terunggul
Wajah “Standing In The Eyes Of The World”

– Zack (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *