Hai, assalamualaikum semua dan ini ialah kisah aku.
Sejak aku kecil ayah aku bekerja sebagai pemandu lori. Dia menyara keluarga dia dengan memandu lori. Ayah tak ada pendidikan yang tinggi, sekolah cuma sampai tingkatan 5. Bagi ayah dia hanya tahu satu satunya kerja yang dia mampu buat adalah memandu lori.
Ayah kerja bukan bawa lori pagi balik petang. Sekarang ini ayah kerja bawa barang dari kilang dia bekerja di Penang dan hantar ke KL. Pergi hari Isnin pagi Selasa malam baru sampai rumah. Kadang Rabu baru sampai rumah sebab lori rosak atas highway dan terpaksa tunggu mekanik datang baiki.
Ada segelintir masyarakat memandang serong pada pemandu lori. Bagi mereka pemandu lori ni ‘lembab’ atas jalan, menghalang jalan mereka atau paling sedih memandang rendah pekerjaan mereka. Tapi kita lupa jasa dan kepentingan mereka kepada industri dan pembagunan negara dari pelbagai segi termasuk ekonomi.
Aku tak pelik kalau ada pemandu lori yang ambil dadah, ketum, merokok atau pil. Dari segi undang-undang tindakan mereka sangat bahaya dan salah terutama kepada pengguna lain diatas jalan raya. Tapi kita kadang tak tahu cerita ‘belakang tabir’ yang mereka perlu lalui.
Mereka kadang perlu rushing hantar barang yang diminta pihak client. Jika lambat boss mereka akan memarahi mereka. Adakalanya baru saja balik rumah tiba-tiba company call semula minta datang kerja untuk hantar barang ke tempat lain.
Pemandu lori juga manusia. Mereka letih, kadang-kadang mandi makan pun tak sempat. Kaki bengkak. Belakang sakit malahan ada yang kena buasir kerana bawa lori muatan yang berat. Tidur tak cukup badan letih lesu. Kadang sakit pun tak dapat cuti. Belum lagi tersadai atas jalan kerana lori rosak, berjam-jam tunggu mekanik datang baiki lori.
Aku nak cerita satu peristiwa yang ayah aku sendiri lalui. Dia dah beritahu company kepala trailer dia rosak dan mungkin tak dapat bawa barang. Tapi company still minta hantar barang ke KL. Ayah aku ikutkan saja. Lepas hantar ke KL dalam perjalanan pulang, di Tanjung Malim ayah ada call mak cakap lori dia ada bunyi pelik dan bau hangit. Mak kata berhentilah dulu tapi ayah cakap tak boleh nanti barang sampai lambat company dia nak guna.
Selang beberapa minit ayah call semula dan aku yang jawab. Dalam sekitar jam 10 malam. Suara ayah gelisah dan takut. Dia kata “Kakak, lori ayah terbakar ni. Habis barang semua!”
Aku panik. Aku tak pedulikan barang ayah dalam trailer dia dan aku tanya adakah dia selamat. Itu lebih penting.
Aku dengan mak dah fikir nak pergi ke ayah. Tapi ayah cakap tak perlu sebab dia OK. Malam tu aku dengan mak tak dapat tidur. Berkali juga kami call nak tahu perkembangan ayah. Katanya barang dia sempat ambil cuma barang dalam kontena saja hangus semua. Sementara tunggu tunda lori datang abah stay tepi higway dari jam 10 malam tu sampailah keesokkan petang baru lori tunda datang dari Penang.
Ayah dari dia muda dia merokok untuk hilangkan mengantuk sewaktu memandu. Tapi dia mula berhenti beberapa belas tahun dahulu. Dan ayah tak pernah ambil benda-benda salah sebab dia tahu dia perlu jaga keluarga dia dengan baik. Kata ayah sekarang dia cuma jadikan kacang, kuaci atau kerepek untuk hilangkan mengantuk dia.
Aku pernah beberapa kali ikut ayah. Seronok dapat naik lori besar. Tapi sepanjang perjalanan aku yang banyak tidur, ayah tak pernah berhenti tidur. Kadang-kadang dia goyang-goyangkan kaki dia sebab letih dan mengantuk. Dan sampai kilang client kena tunggu pula berjam-jam untuk turunkan barang kemudian load semula barang dari client untuk bawa pulang ke company ayah.
Tak semua gaji pemandu lori tu tinggi. Tapi ayah mampu sara kami sekeluarga dan beri pendidikan yang terbaik untuk kami. Apapun pekerjaan ayah kita mereka hanya fikir untuk beri kepada keluarga.
Dan buat kita, hormatilah apa sekalipun pekerjaan orang dan kepada anak anak janganlah malu dengan pekerjaan ayah kita. Mereka tak hebat dimata orang lain, tapi jadikanlah mereka hebat dimata kita.
– Kakak (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit