Anak Pemberi Rezeki?

“Jangan takut ada anak ramai sebab anak punca rezeki murah. Makin ramai anak, lagi murah rezeki.”

Salam semua. Selalu kita dengar ayat macam ni kan? Kalau ada anak ramai, Allah akan beri rezeki lebih. Lepas tu semua tolak untuk merancang sebab kalau merancang maknanya kita tolak rezeki dari tuhan. Jadi mereka lagi bahagia ada anak ramai.

Aku tak nafikan anak itu pemberi rezeki. Tapi kalau kita tengok rancangan bersamamu, anak ramai tapi miskin. Kita tengok sekeliling, ada yang anak ramai tapi hidup susah. Di mana hilangnya rezeki anak itu? Kalau anak itu punca rezeki, kenapa orang yang ramai anak kebanyakan hidup susah? (Aku tak cakap semua orang ramai anak hidup susah, tapi kebanyakannya hidup susah).

Kenapa macam tu? Salah ke ayat anak pemberi rezeki tu?

Bagi aku, anak itu memang pemberi rezeki. Tapi perlu disertakan dengan perancangan keluarga yang baik. “Kenapa perlu merancang? Anak kan rezeki. Kalau merancang ibarat kita menolak qada dan qadar. Kita kena la terima qada dan qadar dari Allah.” Ramaikan yang berfikiran seperti ini?

Tapi tahukah kalian? Di dalam Al-quran ada disebutkan tentang perancangan keluarga?

Sebelum aku bercerita lebih lanjut, aku akan kaitkan alquran dengan sains. Tak lengkap lah agama tanpa ada sains kan. Bak kata Albert Einstein, “science without religion is lame, religion without science is blind”. Jadi sains dan alquran sangat berkait rapat. Ok aku teruskan cerita aku.

Surah Albaqarah, ayat 233,
Allah berfirman: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu……..”

Bila baca ayat ni, tang mana yang disebut tentang perancangan keluarga?

Dengan kemajuan sains sekarang, telah terbukti bahawa menyusu adalah salah satu cara untuk merancang keluarga. Macam mana boleh jadi macam tu? Ketika menyusu, badan ibu akan menghasilkan hormon yang dipanggil sebagai prolaktin. Prolaktin ini akan menghalang hormon “FSH dan LH”. FSH dan LH berfungsi untuk merangsang ovari untuk mengeluar kan telur untuk disenyawakan dengan sperma. Dalam bahasa mudah FSH dan LH ni hormon untuk kesuburan.

Jadi dengan terhasil nya prolaktin ketika menyusu, ia akan menghalang hormon-hormon kesuburan ni. Ini akan menjadikan ibu kurang subur sepanjang tempoh menyusu. Dalam masa yang sama akan menjadi salah satu kaedah merancang. Di dalam alquran digalakkan menyusu selama 2 tahun. Jadi secara tidak langsung kita digalakkan menjarakkan kehamilan secara 2 tahun. Anda tertanya tanya tak kenapa doktor-doktor nasihatkan kita untuk menjarakkan anak sekurangnya 2 tahun? Sebenarnya doktor cuma mengikut nasihat yang dah disebut dalam alquran.

Jadi sebenarnya, secara tersiratnya alquran ada menyebut secara perancangan keluarga. Ada jugak aku baca komen-komen di fb bahawa anak-anak nabi semua beza umur 3 tahun tapi aku tak tahu betul atau tidak. Kalau ada siapa yang tahu tolong share untuk manfaat kita bersama. Kalau betul moga kita boleh contohi. Kalau salah aku minta maaf sebab aku cuba cari beza umur anak-anak nabi tapi tak jumpa. Mohon siapa yang arif dapat kongsikan ilmu bersama-sama.

Perancangan keluarga ini banyak manfaatnya. Kalau tak, takkan la alquran nak menggalakkan perancangan keluarga kan?

Salah satu kebaikan merancang dapat menjaga kesihatan ibu. Ini bagi aku sangat penting. Kalau kesihatan ibu tak terjaga, ibarat hilangnya tiang dalam keluarga itu. Siapa lagi nak jaga makan minum suami dengan anak-anak kalau bukan ibu kan. Macam mana merancang boleh jaga kesihatan ibu? Contohnya, masa ibu tu mengandung dia ada anemia (kekurangan sel darah merah). Biasanya untuk pulih ambil masa juga. Bila beranak lagi banyak darah yang hilang dicampur dengan nifas lagi entah berapa banyak darah ibu yang dah hilang. Kalau tak merancang, tiba-tiba ibu pregnant lagi, anemia pun tak sempat pulih lagi, macam mana dengan kandungan terbaru itu? Ibu belum betul-betul pulih dah kena kandung anak yang lain. Kesihatan ibu mungkin akan lebih merosot.

Merancang juga dapat menjaga kesihatan mental. Haritu ada ibu yang confess bertapa penat nya menjaga anak ramai sebab suami dia nak anak ramai dan tak bagi dia merancang. Akhirnya dia tertekan sampai mengugurkan kandungan dia. Kesihatan mental juga penting supaya ibu dapat berfungsi dengan baik untuk menjaga keluarganya. Ditambah pula jika si ayah kurang mengambil perhatian tentang kebajikan ibu dan menganggap bahawa tugas menjaga anak dan rumah adalah tugas ibu semata-mata. Ini dapat menjejaskan emosi ibu dan menjejaskan kesihatan mental ibu hingga membolehkan ibu-ibu bertindak diluar kawalan. Kita pernah dikejutkan dengan cerita ustazah bunuh diri sebab tertekan dengan anak yang ramai dan suami yang kurang prihatin. Ini menunjukkan kesihatan mental sangat penting untuk ibu-ibu.

Dengan merancang juga dapat mengelakkan kelahiran pra-matang atau bahasa mudahnya lahir tak cukup bulan. Kalau kalian “booking” buku pink dan jarak kelahiran kurang 2 tahun, doktor akan tulis dibahagian kulit hadapan buku sebagai risiko untuk kandungan tersebut. Sebab salah satunya adalah kelahiran pra-matang ini lah. Aku tak cakap kalau jarak anak kurang 2 tahun memang confirm anak akan lahir tak cukup bulan, tapi risiko untuk mendapat anak pra-matang lebih tinggi. Bila anak lahir tak cukup bulan, organ-organ mereka belum cukup matang. Mereka mungkin ada masalah pernafasan kerana paru-paru belum matang, masalah jantung, pendarahan dalam kepala, hypoglycemia (kurang gula), jaundice dan banyak lagi yang boleh berlaku. Jadi dengan merancang, secara tidak langsung kita dapat mengurangkan risiko untuk mendapat bayi pra-matang.

Merancang juga dapat membantu menstabilkan ekonomi keluarga. Kalau gaji sederhana dan tiap-tiap tahun beranak susah untuk stabilkan ekonomi. Nak jaga anak bukan nya mudah. Pampers, susu, makanan, baju, mandian dan sebagainya semua perlukan duit. Bila anak dah besar nak hantar ke taska, sekolah, universiti, lagi banyak duit yang diperlukan. Dengan zaman kegawatan ekonomi ni kena la pandai merancang ekonomi kan. Kalau tiap-tiap tahun beranak, sampai tak sempat menabung, nak sara diri sendiri pun kais pagi makan pagi, macam mana dengan nafkah anak-anak? Untuk menyara anak-anak, ibu bapa terpaksa bekerja lebih masa atau menbuat kerja sampingan. Waktu untuk bersama anak-anak pun akan berkurang. Waktu untuk mendidik anak-anak juga berkurangan. Anak-anak itu amanah. Mendidik anak-anak juga satu kewajipan. Jika ibu bapa sibuk dengan kerja, macam mana nak mendidik anak? Takkan kita nak harapkan orang lain untuk mendidik anak-anak kita pula kan.

Banyak lagi faedah-faedah perancangan keluarga yang aku tak sebutkan dan aku rasa kalian boleh cari sendiri. Bagi aku, nak anak ramai tak salah. Cuma ia perlu disertakan dengan perancangan keluarga yang baik supaya setiap kebajikan anak-anak terjaga. Anak ramai ni seronok sebab adik beradik aku sendiri pun ramai. Lebih dari 10 orang. Keluarga kami sangat meriah. Jarak umur antara kami rapat-rapat. Kurang dari 2 tahun. Dari kecil memang keluarga kami hidup susah. Mak ayah aku terpaksa buat lebih dari 1 kerja untuk menyara kami. Masa untuk kami adik-beradik pun kurang. Walaupun masa dengan kami kurang, kami masih mendapat didikan dari emak dan ayah. Alhamdulillah, hidup kami semua semakin baik daripada dulu.

Maaf kalau cerita aku lari dengan tajuk. Aku harap masyarakat sedar tentang kepentingan perancangan keluarga. Bukan nya tetap dengan pemikiran “Anak itu rezeki dari Allah. Kenapa perlu merancang?”. Kan kita disuruh berusaha dulu baru bertawakal. Paling kurang kita kena cuba dulu merancang. Kalau sudah merancang tapi tetap mengandung, itu mungkin rezeki dari Allah. Jadi kita kena terima apa yang Allah telah tetapkan. Sekarang ada banyak cara untuk merancang keluarga. Kalau aku cerita tentang kaedah perancangan keluarga, akan jadi lagi panjang pula confession ni. Kalian boleh cari sendiri kaedah-kaedah perancangan yang sesuai untuk kalian. Akhir kata, aku berharap semoga anak-anak yang dianugerahkan oleh Allah menjadi sumber rezeki untuk kita semua. Amin.

– Unknown

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *