Assalamualaikum,
Aku seorang perantau. Sejak umur 11 tahun, ibu ayah aku dah mengajar aku untuk berdikari. Ayahku tinggal di negara jiran manakala ibuku tinggal di sini. Sehingga kini, jikalau kami, ibu dan adik beradik ingin bertemu ayah, kami terpaksa ke negara jiran, juga tempat kelahiran kami semua. Ibu dan ayah tidak bercerai, cuma hubungan jarak jauh disebabkan pendidikan anak anak.
Dijadikan cerita, setelah tamat tingkatan 6, aku ditawarkan belajar di IPTA di ibu kota. Di sana titik permulaan aku berjauhan dengan ibu dan adik beradik lain, kerana abang sulungku berada di utara, abang kedua ku berada di selatan, aku seorang di ibu kota, dan adik beradik lain di Borneo. Aku memohon PTPTN sepanjang pembelajaran ku di ibu kota. Alhamdulillah aku tidak menyesal memohon PTPTN kerana duit itu aku bahagi dan guna sebaiknya dari awal sem sehingga sebahagian duit itu aku beli tiket penerbangan untuk balik kampung pada hujung semester, sehingga sem terakhir. Selama aku belajar, aku sedikit pun tidak meminta duit dari ibu kerana tahu ibu juga bertungkus lumus menggunakan duit yang ayah bagi kerana ibu seorang suri rumah.
Aku punya ramai kawan dan mereka memanggilku orang jauh. Setiap cuti mid sem, aku antara penghuni hostel yang setia kerana aku tidak dapat pulang ke rumahku yang jauh dan memerlukan banyak duit untuk tiket penerbangan yg mahal. Kerana aku tahu, duit yang aku ada jikalau digunakan, aku terpaksa menahan lapar untuk sampai ke hujung semester. Niat di hati ingin berkerja part time, tetapi ibu tidak mengizinkan kerana takut pelajaran terganggu dan aku akur. Kawan kawan yg duduk berdekatan la yang selalu melawat aku ketika cuti mid sem.
Kini, aku tamat belajar dan masih merantau di ibu kota. Punya ramai kawan itu seronok, tapi bila nak minta tolong, tidak semua akan muncul membantu. Dan sejak itu, aku tidak lagi meminta tolong dari kawan kawan, dan mereka menggelarku sombong kerana semuanya aku buat tanpa bantuan. Dari mencari rumah sewa, pindah barang, aku terpaksa naik public kerana aku tiada lesen kereta mahupun motor. Aku gagahkan kudrat ku sebagai perempuan bertubuh kecil untuk mengangkat segala barang yang ada menaiki bas dan lrt. Tiada satu orang pun mahu menolong, malah memerli aku “adik nak lari rumah ke bawa barang semua ni?” sambil tertawa sinis. Ada juga memandang dan menjeling.
Aku mula bekerja di syarikat swasta dan menyewa bilik berdekatan dengan tempat kerjaku. Rakan rakan sekerja ku juga fresh graduate seperti aku. Pada satu hari, aku jatuh sakit. Demam seminggu dan kerap sakit tekak. Aku tiada pilihan untuk berehat dari terus bekerja. Setelah sihat, aku mula bekerja dan rakan sekerja aku mula menegur aku kenapa aku kerap demam dan jatuh sakit. Aku cuma senyap dan jawab working hours terlalu lama mungkin menyebabkan aku jatuh sakit kerana aku terpaksa bekerja 11 jam tolak. Rakan sekerja aku berkata aku kerap memikirkan masalah aku sehingga bawa ke rumah, dan risau sangat dengan masalah.
Aku terasa hati bila dia kata janganlah terlalu memikirkan masalah, jadilah seperti dia, balik rumah saja, dia lupa masalah di tempat kerja dan kembali lagi dengan hati senang pada keesokan harinya. Niat di hati aku bukan ingin membandingkan aku dengan dia, tapi aku kena memikirkan segala masalahku kerana aku tinggal seorang diri dan jauh dari keluarga! Dia masih tinggal bersama ibu bapanya, adik beradik dan sudah tentu tidak perlu memikirkan soal hendak membayar rumah sewa, hendak makan apa hari ini dan seterusnya kerana masih boleh menumpang kasih sayang ibu dan bapanya. Pergi kerja juga masih boleh meminta ibu ayah menghantar dia.
Aku pula, terpaksa mengumpul duit untuk membeli tiket penerbangan jika ingin balik ke rumah. Dan jauh di sudut hati, aku memang rindukan ibu dan adik adik, tapi kerana ingin mencari rezeki, aku terpaksa merantau kerana peluang pekerjaan yang sangat limited dan gaji yg sangat rendah di sana. Kadang kadang aku melihat kawan kawan sebaya dengan ku sudah mempunyai kereta atau sekurang kurangnya motor untuk bergerak ke sana sini, walhal aku masih menaiki public transport. Bukan tidak bersyukur, tetapi aku sedar aku hanya perantau di tempat orang. Aku tidak dapat balik ke ‘rumah’ dan susah senang aku sendiri yang menanggungnya.
Semakin aku jauh dari keluarga, semakin banyak aku belajar life skill yang sangat membantu seperti membaiki paip, bertukang, dan sebagainya. Sehingga ramai yang terkejut gadis berbadan kecil seperti aku membancuh simen dan membaiki siling. Seperti itulah hidup, tak semua yang kita mahu kita akan dapat, tapi semua yang kita dapat adalah apa yang kita perlukan. Semoga aku semakin matang dan kuat menempuh hidup sebagai anak perantau. Sekian.
– rafflesia
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit