Anak Perempuan dan Kemarahan Ibu

Assalamualaikum, saya ada terbaca tentang luahan seseorang tentang layanan ibunya terhadap anak lelaki dan perempuan, (https://iiumc.com/kenapa-suka-susahkan-anak-perempuan/).

Saya doa agar Allah berikan dia kesabaran dan permudahkan semua kesulitan dia.

Saya tidak berada di tempat dia tapi saya faham perasaan bagaimana diherdik dan diperlekehkan oleh ibu sendiri. Saya membesar dengan seorang ibu yang tegas dan garang. Jarang saya diberi pilihan untuk membuat keputusan besar dalam hidup saya.

Dari saya kecil saya selalu dimarahi atas kesilapan-kesilapan kecil sampaikan sudah jadi normal untuk saya telan dan terima. Otak saya telah ditanam untuk menurut dan terima semua kata-kata dan arahan ibu saya.

Saya tahu ramai orang alim dan ustaz kerap mengingatkan tentang taat kepada ibu bapa. Saya akur dan terima. Saya anak yang berhutang budi dengan ibu saya. Tapi apakah salah untuk saya berasa marah dan tertekan?

Adakah nilai manusia saya jadi berkurangan sekiranya saya mempunyai perasaan marah terhadap ibu sendiri?

Saya anak yang banyak berdiam diri soal hati dan perasaan. Saya tak banyak bercerita dengan ibu saya tentang diri saya, apa yang saya nak, apa yang saya lalui, apa masalah saya sebab saya tahu ibu saya akan meletakkan semua kesalahan atas diri saya,

Kadang2 bukan salah saya pun tetap ditudingnya saya yang incompetent, pemalas, tak pandai etc.

Sudah banyak kali saya cuba untuk bercerita tapi apa yang keluar dari mulut ibu saya sangat menyakitkan.

Dah 24 tahun pun setiap hari saya tetap kena marah dengan perkara-perkara remeh sampaikan satu kali tu saya ternangis depan ibu saya dan cakap “apa lagi salah orang?”

Tapi ibu saya hanya pandang dan buat tak tahu. Sepanjang saya hidup, saya tak pernah menolak semua keputusan dan arahan ibu saya.

Setiap kali saya cuba pertahankan diri saya cara baik dan lembut, modal balas ibu tetap jugak tentang “anak derhaka”, “tak tahu bersyukur”, “tak reti menghargai”, “ibu lebih tahu dari kau”.

Saya tertekan kerana saya tahu saya akan kalah sekiranya melibatkan agama.

Saya juga membesar dengan rasa takut untuk buat salah dan failure, takut dimarahi dan dibentak, takut diri ini tak sama dengan anak orang lain, takut untuk bercerita dengan ibu sampai fikir berkali-kali sebelum beritahu.

Saya selalu dimomokkan sebagai seorang yang begitu dan begini. Saya malu nak berdepan dengan orang sebab takut mungkin ibu pernah bercerita tentang saya kepada mereka walaupun ibu mungkin tiada niat. Tapi ibu saya dah terbiasa jadi begitu.

Waktu saya degree dulu, mental health saya tak berapa baik. Saya kerap jumpa therapist dan pergi kaunseling berseorangan tanpa pengetahuan sesiapa. Course saya ambil pun atas desakan ibu bukan saya yang nak.

Saya akur sebab tiada guna bertelagah dengan ibu. Lepas habis belajar, mental saya semakin tertekan sebab saya tak mahu bekerja dalam bidang saya belajar tapi saya tiada pilihan lain. Dulu ibu saya kata saya akan berterima kasih dengan dia atas setiap keputusan dia.

Tapi sudah 6 tahun saya begini, panjang mana lagikah saya perlu bersabar. Saya dah cuba macam-macam perkara untuk keluar dari depressing state ni, sekalipun saya tak pernah menyalahkan ibu saya.

Tapi ibu saya tetap kata semua ini salah saya yang tak pandai menguruskan diri. Ada banyak lagi perkara yang ibu saya tidak mahu dengar dan faham. Ibu saya dah terbiasa berprasangka sehingga sukar dia nak melihat yang baik-baik dalam diri saya.

Baru-baru ni ibu saya ada buat keputusan tanpa berbincang dengan saya dahulu. Hal yang ibu cakap bukan satu benda mudah buat saya. Bila saya utarakan pendapat dan kehendak saya, terus ibu kata saya tak tahu apa-apa jadi saya patut diam, ikut, dan tinggal bersyukur.

Ibu selalu ingat saya masih budak kecil yang tak reti berfikir dan membuat keputusan. Ibu ada hak atas hidup saya. Ibu marah dekat saya sebab saya tidak sehaluan dengan dia.

Hanya sebab saya kata “saya tak mahu” terus dilabel anak yang tak reti menghargai walhal saya cuma berharap ibu saya faham dan berfikir untuk situasi saya. Saya tidak meninggikan suara atau kurang ajar pun.

Ibu saya bila marah atau tak berpuas hati, dia akan bercerita dengan sedara mara atau kawan-kawan rapat. saya malu bila orang tahu aib saya tapi saya diamkan diri. Mungkin betul saya yang bersalah dan tak pandai.

Saya beralah dengan perasaan saya supaya tetap terus taat dengan ibu saya dan janganlah Allah duga saya buat sesuatu diluar batas. Kadang-kadang saya menangis sorang-sorang sebab penatnya hidup dalam kemarahan seorang ibu.

Apa lagi saya perlu buat untuk puaskan hati ibu? Saya dah penat mencuba untuk ubah persepsi buruk ibu terhadap saya. Kalini saya betul2 biarkan. Biarlah benda ini antara ibu dan tuhan. Saya sudah serahkan sepenuhnya kepada Allah.

Betul, tiada makhluk lagi yang akan sayang kita lebih dari seorang ibu tapi ingatlah sayang Tuhan tu lebih besar dari bumi dan seisinya.

Saya akan hilang ibu tapi saya tak akan hilang tuhan jadi saya harap Allah nampak usaha saya yang kecil ni dan mudahkan urusan akhirat saya.

Saya tiada niat untuk jadi anak derhaka dan saya komited untuk jaga ibu saya sampai hujung nyawa inshaAllah. Saya akan terus ingat pesan nabi walaupun saya susah untuk menerima beberapa perkara yang terjadi antara ibu dan saya.

Anak,

– Anon (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *