Anak Ramai, Rezeki Atau Bencana?

Aku Mary, dibesarkan dalam keluarga dengan adik beradik seramai 9 orang. Ayah aku bekerja swasta manakala mak aku tidak bekerja.

Boleh aku katakan kami hidup sederhana, dengan gaji ayah aku RM4000 dan jika ada bonus boleh mencapai RM5000++ sebulan.

Ayah aku seorang yang bekerja keras untuk menyara keluarga kami, daripada aku kecil hinggalah sekarang.

Ayah bekerja keras menyara kami sekeluarga, dan ayah tidak sama sekali kedekut dengan gaji yang diperolehinya. Setiap titik peluhnya dicurahkan kepada kami.

Jika mempunyai duit, apa yang kami mahukan akan diberikan kepada kami. Ayah selalu membawa kami berjalan-jalan jika ada duit lebih.

Aku amat menghormati dan menyanjungi ayah aku dalam bab ini, aku boleh lihat kerja kerasnya dari dulu sehingga sekarang untuk membesarkan kami.

Namun, kekurangan ayah aku adalah mulutnya sangat celupar. Mak aku berkahwin ketika di awal usia, dan ayah aku pula sedikit tua berbanding mak aku.

Sepanjang hidup mak aku, jika ada perkara yang membuat ayah aku marah, semuanya dihembuskan kepada mak aku.

Cacian bodox, banganx, bahlux, takde otax, semuanya dilemparkan kepada mak aku. Tidak kiralah siapa yang membuat ayah aku sakit hati, yang menjadi mangsanya mak aku.

Ada sekali, ayah naik hantu dan marah kerana sedara belah mak aku datang ke rumah untuk memberikan sedikit hadiah.

Ayah naik hantu, dan mula mengeluarkan fitnah bahawa adik aku bukan anak kandungnya dan merupakan anak saudara mak aku.

Mak aku dimaki hamun dengan teruk oleh ayah aku. Memang ayah tidak pernah naik tangan ke mak aku, namun cacian makian nya sudah cukup merosakkan seluruh isi badannya.

Ayah juga mengharamkan mak aku untuk pergi ke rumah sedaranya, jika mak aku pergi maka akan jatuh talak ke atas mak aku.

Kami sebagai anak turut membesar dengan cacian dan makian. Jika ada kesilapan atau kesalahan yang dilakukan kami akan dimarahi dan dimaki oleh ayah.

Sedikit sebanyak, cacian ini telah menyebabkan aku mengalami tekanan mental sehingga ke hari ini. Aku lebih suka berseorangan dan mempunyai tekanan jiwa di mana episod emosi aku antara sedih dan bahagia berubah sekelip mata sahaja.

Keluarga aku juga mempunyai hutang yang banyak termasuklah hutang kredit kad, hutang kereta dan hutang motor. Semuanya dia atas nama mak aku, kenapa nama mak aku, sebab nama ayah aku dah blacklist.

Aku acap kali terfikir bagaimana hutang ini akan dijelaskan memandangkan umur ayah aku juga telah menginjak hampir 60 an. Siapa yang akan menyambung untuk membayar segala hutang ini.

Adik-adik aku juga masih ramai yang kecil dan bersekolah. Adik-adik aku pula sangat bermasalah untuk hadir ke sekolah. Dalam seminggu hanya dua tiga hari saja yang dihadiri, adakalanya adik-adik aku akan ponteng seminggu.

Aku selalu terfikir apa akan jadi dengan masa depan mereka ini. Tambahan pula mak aku terlalu berlembut sehingga adik aku boleh sesuka hati sahaja.

Jika adik tidak pergi ke sekolah, marahnya hanya pada waktu itu sahaja, tidak ada hukuman yang mahu diberikan agar mereka berubah.

Hal di rumah pula, mak dan ayah aku sangat tidak menitikberatkan disiplin.

Sejak kecil, mereka tidak mengajarkan anak-anak untuk membuat kerja-kerja rumah seperti membasuh pinggan, membasuh tandas, mengemas pakaian dan sebagainya.

Ajaran ayah aku bahawa hanya anak perempuan yang harus membuat kerja-kerja rumah bukan anak lelaki.

Aku sungguh membangkang keras ayah aku tentang perkara ini sejak aku kecil. Setiap hari, rumah aku bersepah dan sangat kotor disebabkan oleh sikap individu dalam rumah yang tidak mengambil kisah tentang kebersihan dan disiplin menjaga rumah.

Dengan keadaan ini, semua orang di dalam aku sangat-sangat tertekan dengan suasana di dalam rumah yang tidak ceria dan harmoni.

Bayangkan kesepahan yang dilakukan oleh isi rumah seramai 10 orang, namun semuanya tidak mengambil kisah tentangnya. Jadi siapa yang mengemas? Sudah tentu hanya mak aku atau aku.

Kadangkala, aku sengaja berprotes dengan tidak mahu membuat apa-apa, hanya untuk menyedarkan bahawa inilah kesan ajaran yang tidak sepatutnya.

Kekotoran dan rumah yang bersepah sangat teruk aku hadapi sejak kecil sehingga menyebabkan aku sangat trauma dan tertekan.

Sedikit sebanyak perkara ini membuatkan aku tidak mahu berkahwin, kerana bagi aku mungkin perkahwinan itu hanyalah beban.

Antara hal yang mahu lakukan adalah hidup jauh dari keluarga ini, aku mahu hidup berseorangan dan tenang.

Aku berpendapat bahawa, jika tidak mampu dalam menguruskan anak, tidak perlu anak yang terlalu ramai. Menguruskan anak bukan hanya tentang duit, namun tanggungjawab membentuk mereka menjadi manusia.

Anak itu rezeki, namun rezeki yang dikurniakan juga akan dipersoalkan setiap satunya di akhirat nanti.

Kadang aku terfikir, mungkin orang kaya tidak mahu mempunyai anak yang ramai, kerana mereka cakna dengan emosi dan mental anak-anak.

Mereka mahu emosi dan mental anak-anak terjaga sebab itu mereka memilih untuk tidak mempunyai anak yang ramai.

– Mary (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Dalam dunia fiksyen aku, orang kaya mahu anak yang ramai sebab boleh meneruskan legasinya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *