Anak Soleh

Terlebih dahulu aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada admin IIUM Confession kerana menyiarkan kisah aku di sini.

Alhamdulillah, aku dilahirkan dalam keluarga sederhana, bahagia dan alhamdulillah semua adik beradik boleh dikatakan berjaya dalam hidup dan kerjaya. Tinggal seorang lagi yang masih menuntut ditahun 3 sebuah IPTA dan seorang lagi di kampung menjaga kedua ibu bapa kami.

Tujuan aku confess disini adalah untuk berkongsi pengalaman adik aku yang kedua terakhir dalam keluarga kami. Adik aku merupakan seorang lelaki berusia 23 tahun. Dulu belajar dalam jurusan kejureteraan mekanikal di sebuah IPTA di Malaysia. Dalam keluarga kami, dia ambil keputusan untuk jaga mak ayah kami dan lupakan cita-cita untuk sambung belajar buat sementara waktu.

Adik aku pilih untuk berkorban bukan bermakna kami taknak jaga mak abah tapi sebab mak abah kami taknak duduk di Kuala Lumpur. Mak abah lagi selesa duduk di kampung. Puas kami adik beradik pujuk tapi mak abah tetap nak duduk di Kampung. Jadi jalan terakhir, adik kami yang berkorban masa depannya buat sementara. Kami akan pulang ke kampung bergilir-gilir masa cuti untuk melihat orang tua kami dan ada masanya orang tua kami datang ke Kuala Lumpur untuk berubat atau jika terdapat temu janji di hospital.

Alhamdulillah, kami sangat berbangga dan amat berterima kasih atas pengorbanan adik dalam menjaga orang tua. Di kampung, dialah driver, dialah nurse, dialah pekebun, peniaga dan adakalanya chef untuk mak abah kami. Dia tetap pandai cari duit sambil menjaga orang tua kami. Segala benda yang boleh dijadikan punca rezeki halal semua dia buat. Pagi bercucuk tanam di halaman rumah, petang berniaga air. Abah selalu puji dia, abah selalu cakap adik tak pernah merungut jaga abah, tak pernah walau sekali mengeluh penat menjaga abah. Kemana abah nak pergi, dia ikutkan saja. Bawa abah berubat ke sane kemari tanpa keluh kesah. Alhamdulillah dia memang layak dapat pujian dari abah.

Abah selalu cakap pada aku, abah ada anak-anak yang soleh dan solehah. Abah ada menantu-menantu yang baik. Abah selalu susah-susahkan anak-anak sebab abah sakit. Bila abah cakap macam tu, perasaan aku terlalu sedih. Abah ketahuilah kami semua tak pernah rasa abah susahkan kami. Malah kami nak berbakti kepada abah selagi termampu. Kami akan cuba sedaya upaya bahagiakan mak dan abah selagi diberi peluang kerana segala jasa baik dan pengorbanan mak abah dalam membesarkan kami hingga kami semua berjaya, takkan mampu kami balas.

Buat adik aku, kakak doakan kau berjaya dunia dan akhirat. Pengorbanan kau juga pengorbanan terbesar dalam keluarga kita. Kakak selalu doakan kau dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan. Kakak tahu akan ada bahagian yang terbaik untuk kau. Kau yang paling bertuah dapat bersama mak abah dalam kebanyakkan masa. Moga kau sentiasa dirahmati, dilindungi dan diberkati oleh Yang Maha Esa. Aamiin Ya Rabbal Alamin.

Wahai anak-anak sekalian, berbaktilah dan hargailah kepada kedua ibu bapa anda selagi diberikan peluang. Jangan pernah lukakan hati orang tua kita. Layankan jelah apa yang mereka nak selagi termampu. Dalam menjaga orang tua tu biasalah kalau tersalah faham, tersilap kata tapi jangan simpan didalam hati. Pangkat, darjat, duit harta boleh dicari tapi ingatlah bahawa Ibu dan Ayah tiada ganti.

Adakalanya kita disajikan dengan berita anak buang mak ayah, anak hantar mak ayah ke rumah kebajikan orang tua-tua, anak pukul mak ayah dan bermacam-macam lagi berita yang menyayat hati. Allahu, sesungguhnya sedih bilamana anak-anak sanggup buat begitu pada ibu bapa mereka. Ingatlah sejahat atau sebaik mana pun mak ayah kita dahulu, mereka tetap mak ayah kita. Ingatlah, kita juga akan tua seperti mereka. Jadi tunjukkanlah ajaran dan tauladan yang terbaik pada anak-anak kita supaya bilamana kita tua, anak-anak akan menjaga kita sebaik mungkin seperti kita jaga orang tua kita.Akhir kata, ‘Ayah dan Ibu, itulah permulaan kita, dapat melihat bulan dan matahari’.

Terima Kasih.

– Lea

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit