Anak Syurga Mama

Assalamualaikum pembaca-pembaca setia IIUM Confessions. Hai. Aku perkenalkan diriku sebagai Lisa ye. Aku berumur hampir 30 tahun, sudah setahun berkahwin dan sepatutnya sudah mempunyai seorang bayi berusia 3 bulan. Kenapa aku gunakan perkataan ‘sepatutnya’? Ini kerana anakku telah meninggal dunia ketika dia berusia hampir 2bulan. Terlalu rumit rasanya jika aku bercerita dengan lebih lanjut perihal kematian anakku. Aku percaya penyakit paru-paru hanyalah asbab kematian kepada anak syurgaku.

Apa yang aku ingin sampaikan kepada semua ialah hormatilah ibu-ibu yang berpantang tanpa bayinya disisi kerana aku sendiri pernah merasakan dan terlalu sakit rasanya batin ini. Aku masih teringat saat satu jam selepas aku melahirkan anakku secara pembedahan, suamiku datang berjumpa denganku di wad. Dia menangis kerana terlalu sebak untuk bercakap tentang anak kami dan aku masih belum berasa apa-apa ketika itu mungkin kerana kesan daripada ubat bius.

Aku tertidur sampai subuh esok hari dah hanya sedar selepas nurse minta aku bersihkan badan. Jam 9.00pagi suamiku datang untuk bawa aku berjumpa anakku di NICU. Pada ketika itu barulah aku sedar yang keadaan anakku sememangnya kritikal dan tidak boleh diselematkan dalam tempoh yang singkat. Namun sebagai ibu, aku tidak pernah berputus asa untuk memohon kepada Allah supaya anak aku sembuh dan pulih seperti sediakala. Hari demi hari selama 44 hari berpantang aku tempuhi tanpa zuriatku disisi. Aku juga tidak berpantang dengan baik seperti ibu-ibu lain.
Bohonglah jika aku tidak menangis dan meratap kerana aku kerap memikirkan anakku di hospital.

Kuasa Allah yang maha besar, satu per satu Dia tunjukkan supaya aku menjadi orang yang tabah dan redha. Melihatkan kesihatan anakku yang semakin merosot dari hari ke hari, aku sujud meminta kepada Sang Pencipta supaya memberikan petunjuk yang benar. Akhirnya aku dan suami bersetuju untuk doctor mencabut segala bantuan penafasan terhadap anakku. Saat mesin-mesin sokongan dicabut, doctor hanya memberitahu anakku mungkin mampu bertahan selama 3 jam saja tapi siapa kita untuk menidakkan kuasa tuhan? Aku mampu mendakap dan bersama-sama anakku selama 3 hari sebelum dia meninggal dalam 10 malam terakhir Ramadhan.

Aku Manusia paling beruntung kerana anakku meninggal dalam dakapanku. Saat sakaratul mautnya, aku memeluk erat dan meletakkan mukanya rapat ke telingaku sehinggalah anakku menghembuskan nafas yang terakhirnya. Tiada setitis air mata yang keluar saat itu kerana aku sudah puas menangis. Malah aku rasa tenang apabila anakku sudah tiada kerana aku tidak sanggup melihat dia dicucuk pada setiap hari dan diperlakukan seperti bahan experimen. Aku ingatkan selepas kematian anakku, tiada lagi yang bertanya. Tetapi mulut, Manusia tidak mungkin semuanya sensitive dengan perasaan orang lain.

Ada yang bertanya padaku ‘anak lisa cacat ke?’ ‘anak lisa lahir tak cukup bulan ke?’ , malah ada anak jiranku yang baru bersalin sama sepertiku seolah-olah bangga kerana anaknya sihat dan seronok bercerita tentang ragam anaknya tanpa memikirkan perasaanku. Aku tidak marah, malah aku mendoakan orang-orang begini tidak diuji seperti aku kerana dugaan ini terlalu perit untuk ditelan tetapi aku percaya pasti ada kemanisannya nanti. Semoga aku dan suami mampu menjadi seorang ibu dan ayah lagi satu masa nanti. Pesanku, jagalah perasaan seorang ibu yang telah kehilangan anaknya dan seorang ibu yang mempunyai anak yang sakit.

Buat wildan syurga mama, rehat dan tenanglah disana. Inshaallah satu masa nanti kita bertemu juga.

– Lisa

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit