Anak Tak Kenang Budi

Cerita saya di sini dengan harapan saya dapat berkongsi pengajaran yang saya dapat dalam sifat saya yang tidak mengenang budi orang tua terutamanya kepada ayah saya.

Saya dibesarkan sehingga berumur 9 tahun di kampung atuk belah ibu saya, Ayah cuma akan datang melawat sebulan sekali. Ibubapa saya tidak bercerai, mereka cuma membuat keputusan untuk tinggal berasingan untuk menjaga orang tua masing-masing.

Setiap kali ayah datang melawat, memang seronok. Duit belanja sekolah ayah bagi RM1, perghh… rasa macam orang kaya sebab kebiasaannya ibu cuma bagi 20sen sahaja. Ayah bagi seringgit tu macam gila dibuatnya bila masa rehat. Beli semua. Nasi lemak 30sen, air 10 sen, jajan ‘rokok’ 60sen. Bahagia.

Sampailah satu tahap, ayah ajak ibu balik kampung, tinggal dengan ayah. Masa tu semuanya berubah. Duduk sana terus tak ada kawan. Adik saya pula kena buli di sekolah sampai tak nak datang sekolah 2 minggu. Ayah dah tak bawa kami jalan-jalan, sibuk menoreh getah. Kadang-kadang sampai lupa ambil saya di sekolah.

Yang ada transport dan lesen cuma ayah. Jadi nak tak nak, tunggu jelah. Kadang-kadang tak tahan sangat, saya jalan kaki, itupun bila balik kena marah teruk sebab ayah cari dari sekolah sampai ke rumah jiran. Takut kena culik ke apa.

Selepas setahun dua berpindah, kami ada krisis kewangan yang teruk. Yelah, ayah sekadar menoreh getah, getah pula makin hari makin jatuh harganya. Ibu buat keputusan untuk ambil upah jahit baju.

Lepas sahaja ibu dapat kukuhkan kewangan sikit, ayah makin jarang beli barang dapur. Segala jenis bayaran, buku sekolah, yuran, barang dapur, baju raya, hampir semuanya ibu tanggung. Ayah cuma beri bila ibu minta. Itupun tak mencukupi. Pandai-pandailah tambah.

Lauk utama kami adalah telur. Ayah suka beli telur sepapan terus, bajet untuk sebulan. Kadang-kadang seminggu sahaja dah habis. Ayah marah ibu kalau ibu kata barang dapur dah habis. Adik beradik saya sudah 8 orang ketika itu. Bayangkan 10 orang makan, mana tak habisnya.

Ayam pula boleh kiralah berapa kali makan dalam setahun. Ayam biasa potong 12 kan? Tapi ibu potong sampai kepak, peha tu jadi 3. Kami hanya boleh makan seketul je, lebih untuk hari-hari esok. Walaupun kami bercatu makan, ayah yang utama. Kalau ibu goreng 11 biji telur, ayah makan 3, lebih tu pandai-pandailah kami kongsi. Mak beri layanan ‘raja’ kepada ayah.

Masuk ke alam universiti, ibu lah mangsa kami untuk minta duit. Walaupun ada antara kami yang tak mahu sambung belajar, ayah paksa juga. Kami bergantung sepenuhnya kepada PTPTN. Tak cukup baru minta dekat ibu.

Disebabkan keadaan yang saya alami, saya ada sifat kedekut yang melampau, dan saya pantang dengan ketidakadilan. Sekarang saya sudah berkahwin, namun sesen pun duit saya tak kongsi dengan suami, dan saya pesan pada suami jangan jadi macam ayah saya. Saya tak nak perkara macam dulu berlaku. Saya tak nak jadi macam ibu.

Bila saya ada duit lebih, saya bawa ibu jalan merata. Ayah saya tak ajak langsung. Dalam hati ‘siapa suruh tak jaga anak dulu, sekarang anak dah tak rapat dengan kau. Tua ni tak ada siapa nak layan kau.’ Memang perkara tersebut berlaku. Bila ayah duduk tenguk TV, semua lari. Ayah duduk di sebelah pun saya tak selesa. Seolah-olah ayah orang luar.

Kadang-kadang suami ada menegur, katanya tak baik buat ayah macam tu. Saya tak peduli. Ada sekali, suami beritahu dia perasan ayah jalan senget sebelah.Kaki ayah sakit. Saya terkedu, saya kasihan, umur sudah 60 sakit kaki pula. Tapi saya tolak ke tepi. ‘Ah, ibu lagi susah dulu.Ibu tak tidur malam jahit baju, ibu masak, ibu jaga anak. Ayah pergi menebas, menoreh je pun.’

Setahun berkahwin, saya diuji dengan kewangan secara tiba-tiba. Suami tak mampu menanggung seorang diri Saya berkongsi duit gaji saya namun saya memberontak.

‘Duit saya, saya punya hak. Awak yang patut tanggung semua.’ Suami diam. Sikit pun tak marah. Begitulah sepanjang perkahwinan. Asalkan duit saya diguna, saya marah. ‘Tak adil! Itu duit saya.’ Saya tak nak kejadian lalu berulang lagi.

Sehinggalah satu hari saya terbaca sesuatu yang mengubah persepsi saya. ‘Rezeki suami datang dari berbagai-bagai cara. Melalui dirinya, isterinya, anak, dll’ Saya terfikir, mungkin sebab suami layan saya dan anak dengan baik, maka rezeki suami itu mencurah-curah. Rezeki datang bukan melalui suami, tetapi melalui saya.

Ya, saya sentiasa cukup duit kerana suami dah bayarkan segalanya. Bila suami minta tolong bayarkan dahulu, duit saya masih ada baki. Bukan habis terus. Kadang-kadang hujung bulan mampu beli KFC lagi. Saya tersedar. Maka saya bukakan hati saya untuk suami dan ayah dan redhakan segalanya.

Akhirnya saya mendapat jawapan saya sendiri. Tentang ayah. Saya sedar, saya silap menilai. Umur saya menjangkau 30, baru saya sedar apa sebenarnya yang terjadi. Kejadian yang berlaku selama ini saya nilai mengikut apa yang saya nampak sahaja.

Ayah tak hulur duit kerana memang dia tidak berduit. Saya jadi buta sebab ayah yang dahulu sentiasa bagi duit belanja yang banyak. Walhal ayah simpan duit untuk memberi duit sebanyak itu. Apa yang saya harapkan dari seorang penoreh getah? RM2000 sebulan gajinya? Sedangkan RM500 sahaja yang ayah mampu.

Ayah paksa kami belajar kerana ayah tak mahu kami jadi macam dia. Tak dapat sambung pelajaran kerana miskin. Ayah tak mahu kami jadi seperti dia. Salahkah ayah memaksa kami untuk menjadi lebih baik? Ayah lebih tahu mana baik buruk lebih dari kami.

Kenapa ayah makan dahulu dan lebihnya baru kami dapat? Pernah ke anda menebas 1 ekar tanah bersamaan dengan 43,560 kaki persegi?

Macam mana pula kalau menoreh 2 ekar tanah yang jauh sehingga bersebelahan dengan hutan tebal siap ada risiko jumpa harimau. Penat gila kot. Kita yang duduk hadap computer je pon dah mengeluh. Jauh ceruk mana pun ayah pergi ambil upah menoreh.

Macam manalah ibu tak bagi ayah makan banyak, penat tu. Dah jauh-jauh menoreh, nak kena habiskan 2 ekar pokok getah, mestilah terlupa, terlambat ambil anak. Jam tangan pulak tak ada. Nak call suruh jemput pun bukan ada line dekat hutan.

Kenapa ayah marah bila barang dapur habis? Memang ayah tak faham kami makan macam mana sebab dia tak tengok kami bercatu makan. Dia sibuk kerja. Tapi dengan penat, tiba-tiba balik isteri bagitahu itu ini tak ada. Penatnya tak habis lagi, sudah ditambah. Macam mana nak cari duit lebih? Mesti itu dalam fikiran ayah sentiasa. Mesti ayah risau setiap hari.

Dulu, saya menganggap ayah tidak ambil peduli hal kami sekeluarga. Kini saya tahu ayah ambil tahu hal kami dalam diam. Ayah tanya melalui ibu, tidak terus kepada kami. Kadang-kadang kami perlukan duit, kami minta dari ibu. Rupanya duit itu datang dari ayah. Walaupun tak banyak, tapi masih memberi.

Melihat pada fizikal ayah, nampak tegap tetapi rambutnya sudah banyak putih. Kulit mukanya kering dimakan panas matahari. Tapak kakinya merekah, keras dan hitam. Baju, seluar, topi, motor, masih sama seperti 5 tahun lepas tidak bertukar.

Ibu? Hampir sama seperti ayah, tapi bajunya setiap tahun bertukar. Apa ibu mahu kami berikan. Ayah pula tiada apa, mungkin diam memendam rasa melihat kami melayan ibu seperti ‘raja’.

Sekarang anak ayah sudah berjaya. Semua masuk Universiti macam ayah inginkan. Namun layanan yang kami beri tidak setimpal dengan usahanya. Kerana kami tidak nampak susah yang ayah hadapi. Semuanya kami nampak susah ibu, sebab ibu di depan mata ketika susah senang.

Sehingga sekarang ayah masih bekerja walaupun kudratnya sudah kurang, walaupun kakinya tertengkot sebelah. Umur seperti ayah sudah sepatutnya pergi Haji dan Umrah, duduk berehat di rumah.

Kini saya tekad berubah sebelum terlewat. Sebelum ayah pergi. Sebelum penyesalan yang tak sudah. Benar ibu banyak berkorban demi kami, tapi ayah juga berkorban mengikut cara dia yang saya tak dapat fahami dulu. Sekarang saya ubah cara layanan saya. Saya sayang ayah seperti mana saya sayang ibu. SAMA RATA. Saya mahu adik-adik menyayangi ayah seperti saya.

Wahai kawan, wahai saudara saudari seIslam ku, inilah saya, Anak Yang Tidak Kenang Budi. Yang dapat bekerja di office ber aircond di atas kudrat ayah yang saya tak nampak. Yang dapat berkahwin dengan suami yang baik dan memahami di atas keizinan ayah, berwalikan ayah. Dapat merasa kesusahan sebelum kesenangan kerana ayah.

Jangan menilai membuta tuli seperti saya. Moga mendapat iktibar.

* Sekarang saya lebih selesa dengan cara redha dan berkongsi. Baru-baru ini saya membawa ayah dan ibu tidur di hotel. Tengok muka ayah, gembiranya dia dapat ke tempat baru dan berehat. Mandi air panas, ke kolam renang, makan mewah di kedai makan, tidur di tilam empuk. Perkara yang ayah tak pernah fikir akan dapat.

Kos saya keluarkan tak mahal mana, tapi bahagia ayah saya akan ingat sampai bila-bila. Moga ini merupakan titik permulaan baru bagi kami sekeluarga.

– Ann (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *