Anak Yang Belum Dilahirkan

Aku dan D berkenalan tahun lalu. Singkat sahaja tapi penuh cerita. Ia bermula apabila dia chat aku di wasap.. katanya kawan lama yang aku dah lupa.

Bila dia kata kawan lama, aku jadi tertanya dan mula terasa ingin tahu. Siapa, kawan yang mana, bila dan sebagainya. Kalaulah dia sekadar kata ingin berkenalan, memang aku palau sahaja mesej itu.

Singkat kata, perbualan semakin panjang dan membuahkan rasa nyaman. Berkali-kali dia cuba mengajak keluar tapi berkali-kali juga aku biarkan saja sebab aku memang takut untuk keluar dengan stranger.

Sehingga setelah beberapa minggu, kenyamanan tu makin terasa lebih-lebih lagi apabila setiap hari chat, call dan vc.. aku terima pelawaan D untuk berjumpa.

Dari pertemuan pertama, kedua dan ketiga segalanya smooth sahaja sehinggalah suatu ketika aku rasa aku tak mampu lagi kehilangan D.

Suatu hari, D suarakan tentang satu rahsia. Katanya dia mahu beritahu sesuatu tapi risau penerimaan aku. Dia beritahu dia sebenarnya sudah beristeri.

Dan aku walaupun sedikit kecewa, kerana bodoh dan rasa tidak mampu berpisah lagi, maka aku terima sahaja bulat-bulat penipuan pertama D. Bagi aku dia sudah jujurlah tu sebab tu dia mengaku.

Jadi kerana cinta, hari itu aku buta dan bersalah dan aku terima semuanya. Hubungan kami okey dan normal sahaja.

D memang banyak masa dengan aku sebab dia dan isteri pjj. Isteri dia di negeri jiran dan kami satu daerah. Jadi aku lebih kerap bersama D berbanding isterinya.

Dan dia juga selalu bercerita tentang satu kesalahan yang isteri dia pernah buat di awal perkahwinan dulu yang dia tak mampu maafkan sampai sekarang.

Dan aku sentiasa bersimpati pada dia apatah lagi kerap aku baca mesej dan voice note isteri dia yang sangat kasar terhadap dia.

Sehinggalah suatu hari aku kantoi seorang kawan lelaki mesej aku, dan seorang lagi call di depan dia. Dia sangat cemburu dan kami gaduh besar. 2-3 hari dan kemudian baik semula. Tapi sejak itu hubungan tak pernah aman.

Untuk pengetahuan, sebagai orang yang tiada suami dan komitmen lain, aku rasa tak salah aku berkawan dengan lelaki lain lebih-lebih lagi semua kawan itu aku kenal sebelum aku kenal D lagi.

Tapi kecemburuan dia yang keterlaluan dan rasa sayang aku terhadap dia yang terlalu banyak buat aku rasa sakit sangat dan tak rasa nak berkawan dengan sesiapa,

Jadi sejak itu aku putuskan hubungan dengan semua kawan lelaki dan tidak lagi keluar dengan kawan perempuan yang lain. Sebab aku tak mahu D merasa cemburu dan untuk mengekalkan keharmonian hubungan.

Kalau ada salah sikit D pasti akan mengamuk dan mengungkit salah silap aku. Jadi lebih baik aku jaga perangai dari mencari pasal dengan dia.

Even dia juga kantoi beberapa kali dengan beberapa perempuan siap bersayang-sayang, tapi aku banyak diam kan kerana tidak mahu ada pergaduhan.

Sebenarnya D kantoi di awal perkenalan lagi, masa tu ada seorang perempuan bernama Zila call tapi dia memang bijak.

D santaikan perbualan itu dengan panggilan aku kau sahaja supaya tidak timbulkan wasangka.

Sehinggalah kemudiannya aku tahu Zila tu isteri orang yang mengandung yang dia duk bersayang-sayang di belakang suami orang tu. Pun aku maafkan walaupun yang salah tu dia.

Cerita aku dan D panjang tapi cukup aku pendekkan kepada point sebenar.

Kerana asyiknya cinta, aku dan D memang sentiasa bersama. Sehingga lah bulan lepas aku positif hamil. Untuk pengetahuan, D dan isteri tiada anak selepas 10 tahun nikah. Isteri dia memang join group anak angkat untuk cari anak angkat.

D pula selalu sebutkan pada aku.. ‘bila kita ada anak nanti’ atau ‘anak kita nanti’ dan sebagainya.

Tetapi bila aku suarakan pada D tentang anak yang dala perut ni D marah dan dia anggap ini salah aku dan taktik aku untuk perangkap dia. Bila aku tanya dia nak atau tak anak ni, dia cakap dia tak nak.

Aku tidak berada di sini untuk terima kecaman. Aku tahu aku salah terjebak dengan suami orang.

Aku tahu aku salah sebab tidak cuba lari dari dia setelah tahu dia beristeri dan aku tahu banyak salah aku. Tapi bantulah aku.. apa aku nak buat dengan anak ini?

Aku juga teringin nak ada anak dengan dia tapi dalam masa sama aku takut ada anak yang tiada ayah. Perlu ke aku temui isteri D dan ceritakan hal ni? Perlu ke aku tunggu D bertanggungjawab pada anak ni?

Perlu ke aku buang saja anak yang baru beberapa minggu ini supaya dia dan isteri dia kekal bahagia berdua? Isteri dia tak salah, aku tahu.

Tapi kalau aku lepaskan dia macam tu saja, entah berapa lagi mangsa dia.

Aku tahu D sayang isteri dia. Dia takkan mampu hilang isteri dia sebab itu yang dia selalu cakap pada aku. Tapi aku juga terperangkap dengan rasa sayang terhadap dia.

Di suatu masa aku ingin teruskan pregnancy ini.. aku mahu ada anak seiras wajah dia supaya aku akan sentiasa ingat pada dia.

Pada masa yang sama aku juga takut akan memalukan anak ini bila dia besar nanti kerana tiada abah seperti orang lain.

Adakala aku terfikir nak beritahu isteri dia dan paksa dia kahwin dengan aku. Seminggu pun takpe lah asalkan anak ini berbinkan bapak dia.

Atau… Sudah banyak dosa aku didunia ini.. perlukah aku tambah satu lagi dosa membunuh anak ini hanya untuk keharmonian hubungan D dan isterinya?

– J (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *