Anak Yang Membina Rakit Tak Sama Dengan Anak Yang Sudah Disediakan Bot

“Anak yang membina rakit tak sama dengan anak yang sudah disediakan bot”

Pada mulanya aku bersetuju dengan ayat ini. Sebab aku adalah anak yang membina rakit. Bukan untuk diriku sahaja, malah untuk ibu bapa ku juga.

Tapi, siapa aku untuk menidakkan takdir. Siapa aku untuk menyalahkan Tuhan yang menjadikan aku anak seorang penoreh getah?

Dan dalam hati aku, tidak sesekali aku menyalahi kedua ibu bapa aku dek kerana mereka orang susah. Sebaliknya aku sangat bersyukur dilahirkan dí dalam sebuah keluarga yang serba kekurangan dari segi kewangan namun berlebihan dari segi kasih sayang.

Abah, sudah cukup banyak berkorban untuk keluarga. Siang malam bergadai nyawa demi mencari susu dan nasi. Ibu berkorban nyawa dan tenaga melahirkan kami dan membesarkan kami.

Dan semenjak kecil aku amat iri dengan rakan-rakan yang ada kereta. Mereka bebas bergerak kemana sahaja yang mereka mahu tak kira hujan atau panas.

Aku? Dengan motosikal abah kehulu kehilir dalam kepanasan dan kebasahan tatkala hujan lebat mencurah ke bumi.

Namun, aku bersyukur, abah sentiasa ada menyokong setiap langkah aku untuk berjaya.

Masih segar diingatan masa aku belajar di universiti, aku dan abah keliling kawasan tempat tinggal demi mencari internet untuk presentation fyp aku. Pusat internet pada masa itu tutup disebabkan Covid.

Dan pernah satu ketika, motosikal rosak ditengah jalan ketika abah ambil aku pulang dari universiti. Abah ambil aku dari stesen kereta api.

Tak lama lepas tu, motosikal abah tiba-tiba berhenti. Turunlah kami dua beranak berjalan kaki di tengah panas terik sambil abah menuntun motosikal dan aku menggalas bagasi.

Abah seboleh-bolehnya menyuruh aku untuk naik grab. Manakan pulak aku sanggup membiarkan abah menuntun motosikal berseorangan.

Ada juga kisah pada waktu aku berumur 8 tahun, pagi itu, hujan lebat. Aku sudah siap berbaju sekolah menunggu di hadapan pintu rumah.

Rumah aku terletak di tepi jalan. Kata ibu, tunggu lah di tepi pintu mungkin nanti jiran lalu, ibu boleh minta tolong jiran hantar aku ke sekolah sekali dengan anaknya.

Eh, rupa-rupanya, jiran memilih untuk lalu jalan lain. Tapi semangat aku untuk belajar masih membara, jadi aku ke sekolah juga walaupun jam sudah pukul 10 pagi.

Aku tak sabar untuk berjaya. Betapa tak sabarnya aku, aku sampai menggunakan duit ptptn aku untuk membelikan pakaian untuk ibu dan abah. Mereka melarang aku berbuat demikian, tapi hati ini kuat untuk memberikan kebahagiaan kepada mereka.

Kini aku telah berkerja. Alhamdulillah, aku rasa aku berjaya. Aku belikan ibu abah pakaian yang agak berjenama, kasut yang agak mahal. Supaya mereka merasa keselesaan.

Aku cuba untuk membawa kemana sahaja yang mereka ingin pergi. Rumah pun banyak dah berubah. Alhamdulillah.

Dan ibu bapa aku bukanlah jenis yang mengikis harta aku. Mereka selalu menolak pemberian aku tetapi aku paksa mereka untuk menerima.

Sebab aku masih ingat doa yang aku pohon semasa aku masih kecil, “ya Allah berilah aku peluang untuk membahagiakan kedua ibu bapa aku”. Dan aku rasa Allah sudah memakbulkan doa aku.

Banyak lagi yang aku mahu beri kepada mereka. Cuma setakat ini yang aku mampu. Dan aku yakin mereka bahagia.

Aku sanggup untuk tidak membina rakitku sendiri, biarlah aku bina rakit untuk ibu bapa aku kerana mereka telah berkorban nyawa mencari buluh-buluh bagi membina jambatan kejayaan untuk aku.

– Rakit (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *