Aku mulakan cerita aku dengan memperkenalkan diri aku sebagai Anis yang sudah tentunya bukan nama sebenar. Belum berkahwin.
Aku seorang penganggur. Ya. Baru cukup setahun menganggur. Sebelum ni pernah bekerja sebagai seorang guru di sekolah swasta sejurus selepas menamatkan pengajian.
Aku berhenti kerja hujung tahun lepas disebabkan oleh masalah yang ditimbulkan oleh pihak tertentu dan melibatkan maruah keluarga aku.
Aku resign bukan sebab aku tak sayangkan kerjaya aku, tapi sebab aku percaya, Allah tahu aku berjuang dalam diam mempertahankan maruah keluarga aku. Bukan sebab aku tak mampu nak pertahankan keluarga aku dengan tangan aku, dengan lidah aku.
Tapi aku lebih memilih untuk bertindak dalam diam dan tidak memilih untuk menikam orang lain dengan lidah dan kata-kata aku. Bonda tak didik kami untuk menikam orang bodoh dengan kata-kata kesat.
Tapi itu bukan point utama aku menaip hari ni.
Aku Cuma nak meluahkan perasaan. Sebab aku rasa lebih baik aku meluahkan di sini berbanding aku meluahkan pada sahabat-sahabatku.
Aku tidak mahu mereka tahu betapa kecewanya aku setelah berhenti kerja.
Dan aku juga tak mahu mereka berdendam dengan orang yang terlibat yang menyebabkan aku berhenti kerja. Mereka masih berstatus bekerja di situ, tak manis pula kalau mereka asyik menyimpan rasa.
Sebelum aku secara rasmi digelar penganggur, boss aku hantar mesej beratus-beratus pada aku dan point utama mesejnya Cuma satu, kalau aku berhenti bekerja di situ, mungkin tak ada lagi kerja untuk aku di tempat lain.
Tak cukup itu, beliau call kawan-kawan baik aku supaya memujuk aku jangan berhenti dan secara tidak langsung bercerita masalah utama penyebab aku resign dan tambah menyakitkan hati aku, masalah tersebut sepatutnya kawan-kawan aku tak tahu.
Aku sebolehnya tak mahu bercerita. Ia aib keluarga, aib sang pencerita juga sebenarnya.
Selepas aku berhenti kerja, aku dipalaukan oleh saudara – mara. Aku memang tahu mereka mengatakan bahawa aku bodoh.
Disebabkan “kononnya” mempertahankan maruah keluarga, aku rela berhenti kerja. Semua yang mereka kata, ada yang disembur di depan muka, ada yang mengata dan ada pula yang menyampaikan.
Sebenarnya tidak.
Sebelum aku berhenti kerja, aku sudah lama bertapak dengan perniagaan online aku. Cuma mungkin tapaknya tidaklah sekukuh, duit masuk sampai puluh-puluh ribu sebulan.
Cukup untuk menampung diri aku sendiri, cukup untuk belanja bonda makan pagi sebelum masuk kerja, beli sabun setiap bulan, beli beras walau 5 kg. Aku tahu, tidak besar. Tapi bonda faham. Lebih daripada orang luar yang tahunya “menjadi Tuhan”.
Aku tidak bekerja waktu pejabat macam orang lain. Kerja aku, ikut suka aku. Itu hikmahnya.
Bonda tak sihat, aku tak ralat untuk ambik cuti sampai berminggu-minggu, kadang tu, ambik masa sekejap sahaja untuk penuhi order customer, selebihnya masa aku banyak aku habiskan untuk Bonda.
Tahu jadual makannya macam mana, tidurnya lena atau tidak pun aku tahu. Ubat-ubatannya di hospital, terkadangnya aku saja yang ambilkan.
Bukan sebab aku anak solehah. Tidak. Ini tanggungjawab.
Sejurus selepas berhenti kerja, aku usahakan satu lot tanah bonda di belakang. Asalnya sekadar suka-suka. Sekadar menanam daun kesum, pandan.
Lama-lama, aku mula usahakan menanam sayur-sayuran lain. Aku usahakan menanam ubi-ubi juga. Nanas pula aku susunkan saja di tepi pagar sana.
Ada rezeki, adalah hasil. Tak ada rezeki, maknanya memang bukan untuk akulah tu. Dan pada asalnya juga, aku sekadar menanam untuk bersuka-suka dan untuk makan sendiri saja.
Tapi sewaktu ada hasilnya baru-baru ini, bonda minta sedikit untuk diberikan kepada kawan-kawan pejabatnya dan tanpa disangka-sangka mereka mula meminta untuk membeli hasil tanaman aku yang sedikit itu. Alhamdulillah.
Sewaktu proses awal aku menanam dulu, ada seorang sepupuku datang, perempuan. Aku waktu itu baru sahaja selesai menyemai benih baru, jadi tangan dan kaki ku memang kotor. Berlemoih, kata orang.
Tambah pula sebelum itu, aku mencabut rumput untuk usaha membuat batas sayuran yang baru.
Dia pandang aku sinis. “Ada ijazah, dah ada kerja, berhenti pulak. Tak ada mintak kerja lain ke? Sampai bila nak menyusahkan bonda? Kau pun bukannya muda lagi. Memanglah katanya tanam sayur. Boleh tampung setakat mana? Takkan semua benda bonda nak kena tanggung?
Makan tu memanglah bonda tanggung sebab kau duduk dengan Bonda. Seluar dalam sehelai, takkan nak mintak bonda belikan juga?”
Ya tuan-tuan. Dia punya cakna, sampai seluar dalam aku dia kira. Baik betul. Aku diamkan saja. Nak berlawan buat apa? Nak dimaki pula, takut jadi malu Bonda. Diam sahaja. Iyakan sajalah.
Dalam hati, Alhamdulillah. Tak apalah, selagi dia boleh bercakap, biarkanlah dia bercakap. Seminggu kemudian baru aku dapat tahu, beliau rupanya baru dinaikkan pangkat. Patutlah.
Kalau difikirkan, sepatutnya waktu tu aku ke rumah dia, mintak dia belikan aku seluar dalam. Stok untuk setahun teruslah, dah alang-alang.
Selesai sepupu yang cakna tentang seluar dalam, dua bulan kemudian datang pula kisah seorang lagi.
Aku diajak bonda untuk mengagihkan makanan yang bonda niatkan ke rumah sepupu-sepupu. Sampai ke rumah sepupu yang aku gelarkan Kak Yan ni, dia dan anak-anaknya ajak bersembang dahulu. Bonda tahu aku tak mahu berlama-lama di rumah orang.
Tapi disebabkan mahu menjaga air muka Bonda, aku iyakan saja. Awalnya aku juga ikut berdiri sekali dengan mereka. Bercakap isu semasa tentang saudara-mara.
Aku pula join pun sekadar jadi tiang seri saja. Orang ketawa aku ketawa. Padahal aku tak tahu apa yang sedang dibualkan.
Tiba-tiba….
“Kau anis? Tak cari kerja lain.? Si Fika (anak dia yang lebih muda daripada aku) pun dah dapat kerja. Takkan nak tunggu tua baru nak sedar, duit makin tak ada. Sekarang ni, orang umur 30 memang orang dah tak ambil bekerja. Berumur katanya.”
Aku jawab sekadarnya sahaja. Aku Cuma terfikir, dia ingat umur 30 ni tua bongkok sangat dah ke?
Dalam kereta, Bonda meminta maaf dengan aku. Disebabkan dia berlama, bersembang, langsung aku terkena lagi.
Aku diamkan sahaja. Bukan salah Bonda pun. Itu sahaja pujukku.
Cukup dua cerita ini yang aku ceritakan pada korang semua. Banyak lagi yang mengata, maklumlah ramai yang cakna. :p
Aku tahu, ramai yang senasib dengan aku. Yang terpaksa mendengar caci cela orang disebabkan tak ada kerja best-best macam anak diorang.
Kalau bagi pihak aku sendiri, menipu kalau aku katakan yang aku tak kecewa. Menipu kalau aku katakan, aku tak berduka.
Setiap kali orang kata itu ini pada aku, setiap kali itulah malamnya aku tidur dengan air mata, dengan rasa kecewa, sebelum memaafkan diri sendiri dan orang lain.
Setiap kali dikata bermacam perkara, seolah aku menjadi bebanan mereka pula, setiap kali itulah dalam sujud akhir solat aku, menahan esak tangis.
Setiap kali dikata bahawa aku adalah bebanan keluarga, setiap kali itulah di tahajjud aku menangis, kecewa, sampai tertidur di sejadah dengan air mata.
Aku tak memilih menangis di depan Bonda, aku risau Bonda terluka. Aku anak yang sering mengecewakannya. Aku tak mahu Bonda kecewa lagi, melihat anaknya terluka dek termakan kata-kata manusia.
Buat mereka yang masih mencari pekerjaan, semoga ada khabar gembira buat kita. Aku faham, kau aku sama, kita tak betah duduk bersahaja. Semoga Allah izinkan kita membahagiakan seisi keluarga dengan titik peluh kita, walau hanya sekecil perkara.
Belum waktu untuk kita berputus asa dengan hidup kita, apatah lagi Tuhan kita.
Tentang mereka yang sibuk menentukan rezeki aku tu, aku Cuma biarkan mereka dengan cara mereka. Cumanya aku sebagaimana confessor lain yang pernah kecewa dengan manusia, tak lagi mengendahkan mereka.
Aku lebih selesa dengan kerja aku di bilik aku sendiri, walaupun kadangnya tak ada kerja sangat pun, tapi aku akan sibukkan diri, dan elakkan daripada keluar kalau mereka bertandang ke rumah. Bonda pun sudah faham agaknya, jadi dibiarkan saja.
Kalau mereka boleh memilih untuk mengguris hati aku, jadi aku rasa aku jugak berhak untuk memilih buang mereka daripada hidup aku.
Titik.
Aku rasa sampai di sini dulu penulisan aku.
Alhamdulillah, aku bahagia menjalani hidup aku tanpa perlu memuaskan hati manusia lain. Mereka ada cara mereka, aku ada cara aku.
– Anis (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit