Anak Yang Pernah Berdosa III

Bahagian 1: https://iiumc.com/anak-yang-pernah-berdosa/

Bahagian 2: https://iiumc.com/anak-yang-pernah-berdosa-ii/

Arwah mak meninggal kat hospital selepas 2 minggu sakit tenat di wad Temenggung HRPZ2. Mak tak sedia kafan kat rumah. Saya tanyakan pihak hospital pasal urusan mandi jenazah.

Rumah kami ada masalah tekanan air yang rendah, jadi saya berpendapat lebih mudah jenazah dimandi di hospital saje. Nurse bagi nombor telefon ustazah dan minta saya uruskan sendiri.

Selepas confirm dengan ustazah. Saya suruh kakak2 saya balik rumah dan hubungi saudara mara, uruskan penggalian kubur dan kemas rumah untuk sambut jenazah.

Urusan hospital biarkan saya saje yang urus. Saya minta anak sedara umur 11 tahun temankan. Cucu yang paling mak sayang sebab satu2nya cucu yang mak asuh dari lahir.

Petugas serah surat pengesahan kematian, saya ke kaunter untuk urusan bil dan discaj. Free sebab guna GL kakak. Untuk urusan bawa pulang jenazah, cuma bayar RM20 caj kenderaan atau van jenazah yang disediakan pihak hospital.

Dah siap urusan discharge, saya naik ke ward yang menempatkan mak. Tengok jenazah mak dah bertutup rapi. Petugas iring ke bilik mandi jenazah. Sepanjang jalan saya menangis. Dah hilang malu dilihat orang ramai.

Memandangkan mak meninggal hari Jumaat tepat azan Zuhur berkumandang, pihak pengurusan jenazah hanya datang jam 3 petang selepas solat jumaat. Isteri ustaz yang urus bersama seorang pembantu.

Saya minta izin nak sama2 mandikan jenazah mak. Khidmat terakhir saya sebagai anak. Saya yakin mak juga mahukan saya sendiri memandikan jenazahnya.

Masa mandi, arwah mak macam tidur. Cuma kaku tak bergerak. Ustazah cuma minta saya gosok bahagian2 pinggang ke atas sahaja, tolong mereka balikkan badan untuk alir air merata ke seluruh tubuh.

Ketika gosok badan mak, saya teringat kisah2 perjalanan roh selepas kematian. Sebaik sahaja roh dicabut, si mati melihat dua keadaan iaitu alam nyata dan alam ghaib.

Malaikat maut akan mengiringi malaikat rahmat (jika arwah orang beriman) atau malaikat azab (jika arwah orang fasiq) membawa roh naik ke langit dipersembah kepada Allah.

Malaikat akan membawa buku amalan arwah dan akan diletakkan di dua tempat. Illiyin untuk orang soleh dan Sijjin bagi orang yang fasiq.

Buku2 amalan ini akan diturunkan pada hari kiamat kelak untuk hisab di padang mahsyar.

Semasa dimandikan, najis mak pun tak banyak. Selama 2 minggu mak cuma makan makanan cecair melalui tiub sebab ditidurkan. Selesai mandi dan kafan, saya membayar RM750 kos pengurusan jenazah.

Ustazah ajar cara buka tali kain kafan untuk bagi waris2 tengok sebelum jenazah dikebumi nanti. Sesampai kami di rumah, sedara mara dah menunggu.

Jenazah di letak ruang tengah. Saya buka tali pengikat kain kafan, buka kain dan kapas menutup muka.

Saya tutup dengan kain batik lepas jarang. Mak ada simpan kain tu. Rasanya untuk kegunaannya masa meninggal. Saya ambik Al Quran dan baca yasin, suruh anak2 sedara baca juga.

Abang maklum orang masjid dah ready untuk solat jenazah, cepat2 suruh semua lihat dan cium jenazah mak buat kali terakhir. Tutup semula dengan kapas dan ikat semula kain kafan.

Saya serahkan kain penutup keranda kat abang. Arwah mak dah pesan awal2 kat saya apa yang perlu dilakukan. Saya tahu kain2 yang mak simpan.

Masa arwah dibawa ke masjid baru saya mandi. Asingkan pakaian saya yang mandikan jenazah dalam besen lain. Ada orang bagi tips jangan campur baju mandi jenazah dengan baju2 lain, takut terkena badi. Wallahualam….

Saya terus bersiap dan memandu ke kubur. Yang usung keranda anak sedara mak, sedara depan rumah, cucu dan sorang lagi saya tak perasan.

Dalam jam 6 lebih, siap talkin dan semua beransur pulang. Saya teringat lagi cerita tentang roh selepas dikebumi.

Mayat akan mendengar bunyi tapak kaki orang yang mengiringi sehingga tapak kaki yang terakhir meninggalkan tanah perkuburan.

Kemudian malaikat Munkar dan Nakir akan mendatangi mayat bertanyakan 5 soalan. Ketika ini hanya amalan si mati semasa hidup di dunia akan menjawabnya.

Sesiapa yang mengamalkan membaca Surah Al Mulk setiap malam sebelum tidur maka surah itu akan menemani dan menjaganya.

Saya pernah berpesan menyuruh mak mengamalkan surah tersebut agar mak selamat di alam barzakh.

Sekian coretan saya kongsi pengalaman mengurus jenazah emak. Seorang anak yang pernah berdosa. Berkhidmat kepada mak pada hari2 terakhirnya.

Saya tunaikan janji saya dengan Allah bahawa saya akan menjaga mak saya sampai akhir hayatnya.

Setahun sebelum meninggal, saya bawa mak berjalan2 rumah anak2 dan adik beradik mak. Mak nampak happy tetapi sayu sambil berkata,

‘Kawan2 mak kebanyakan dah meninggal. Kalau hidup pun sudah sakit terlantar pakai pampers’.

Arwah mak selalu ulang2 pasal wasiat untuk saya. Suruh bahagikan harta dengan adil kat adik beradik. Suruh dermakan kepada institusi2 tertentu.

Duit, barang kemas semua saya tahu jumlah dan disimpan di mana. Mak tiada hutang, cuma puasa ganti 2 hari sebab mak tak sihat bulan puasa, terpaksa berbuka puasa.

Wasiat mak sudahpun saya tunaikan mengikut amanah diberi.

Walaupun saya anak perempuan bongsu, mak amanahkan saya untuk urus harta.

Kata mak sebab saya lebih tahu hukum hakam agama berbanding yang lain. Kerana saya satu2nya anak yang belum kawin dan menjaganya.

Syukur adik beradik pun turut saje. Dorang pun tahu saya yang jaga mak dan tahu mak amanahkan saya semua benda. Tiada masalah berebut harta macam selalu kita dengar.

Mak juga berwasiat suruh jaga hubungan sesama adik beradik dan sedara mara. Pesan jangan bergaduh. Kena selalu berziarah. Selepas mak meninggal, saya pindah duduk rumah sendiri.

Saya duduk di kampung asal mak dan dekat dengan pusara mak dan ayah. Senang nak ziarah kubur sebab mak pesan,

‘Selagi mu tak kawin, kena balik ziarah kubur mak selalu. Sama macam mak hidup, mak nak tengok anak mak datang jumpa mak’.

Rumah saya jadi tempat berkumpul anak cucu mak. Kakak2 yang tinggal jauh juga akan balik menetap di rumah saya. Saya betul2 jaga amanah mak.

Saya tidak tahu bagaimana pengakhiran hidup saya. Cuma persiapan saya untuk mati, dari zaman sekolah, saya amal membaca surah Al Mulk setiap malam.

Segala hutang piutang pun saya sudah jelaskan; PTPTN, personal loan dan kereta. Kerana saya tak mahu dijemput pulang dalam keadaan berhutang. Banyak sangat kematian mengejut akhir2 ini. Usia tua bukan syarat mati. Muda pun sama.

KWSP dan bank pun saya dah letak penama kepada kakak saya untuk uruskan. Malah berpesan pada kakak saya jika jadi ape2 kat saya, tolong uruskan bla bla bla…..

Segala dokumen penting sudah saya letak dalam fail khas untuk memudahkan urusan waris uruskan selepas kematian saya. Zakat dan puasa ganti pun saya dah settlekan awal2.

Kepada kalian yang membaca, saya galakkan lantiklah pemegang amanah bertauliah untuk uruskan harta jika ada. Tinggalkan keluarga anda dalam keadaan yang menyenangkan. Mati itu bila2 masa sahaja menjemput kita.

– Nuhas (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *