Assalamualaikum. Hai readers. Sedikit tentang aku, seorang perempuan berusia lewat 20an, lepasan degree dari universiti tempatan, bekerja dan sekarang menetap di rumah keluarga disebabkan tempoh perintah kawalan pergerakan.
Apa yang aku ingin berkongsi adalah berkaitan hidup aku sebagai seorang anak yang tidak dibanggakan oleh seorang wanita yang bergelar ibu. 4 tahun lalu setelah menamatkan pengajian di universiti, aku bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat kecil tempatan.
Disitu aku sangat gembira bekerja kerana suasana kerja sangat kondusif. Aku mempunyai kawan sekerja yang sangat memahami, sedia menolong apa bila aku dalam kesusahan. Begitu juga boss aku, dikurniakan rezeki boss yang sangat mengambil berat.
Dari hari ke hari aku bekerja seperti biasa, tak terasa 8 jam di pejabat, sehinggakan aku sanggup membawa kerja ke rumah untuk disiapkan.
Pekerjaan aku sebagai jurutera menuntut aku untuk berkorban masa di hujung minggu dan waktu malam untuk menyiapkan kesemua design yang pelanggan kami mahukan.
Kadang-kadang aku sehinggakan membawa kerja sampai ke rumah keluarga di hujung minggu. Aku tahu pasti ada yang berkata, kenapa perlu bawa balik kerja, percayalah aku tiada pilihan.
Design yang pelanggan mahukan tak mampu aku siapkan di dalam waktu pejabat kerana ada juga tugasan lain yang perlu aku ambil perhatian. Belum lagi design yang pertama di tolak mentah mentah dan aku perlu membuat sekali lagi design yang baru yang semestinya menuntut aku berkerja lebih masa.
Disinilah segalanya bermula, dengan jawatan aku sebagai jurutera di syarikat swasta tempatan biasa, ibuku selalu merendahkan aku di hadapan keluarga atau kenalannya. Katanya aku hanyalah jurutera cabuk, bergaji sedikit. Tiada apa yang perlu dia banggakan.
Kecil hati aku apabila ibuku sendiri berkata begitu. Tapi sebagai anak, aku diamkan dan pendamkan sahaja. Ibuku selalu menghantar pesanan whatsapp jika ada kekosongan di sektor kerajaan sebagai seorang jurutera.
Dengan ayat yang sinis, ibuku berkata, ‘Apa yang kau tunggu lagi. mohonlah kerja kerajaan. Kerja kerajaan ini menjamin masa hadapan. Orang pun akan pandang tinggi pada kau’. Aku kehilangan kata, tapi aku turutkan jua apa yang ibuku minta.
Berpuluh, malahan beratus permohonan aku mohon setiap kali ada kekosongan jawatan di sektor kerajaan. Tapi rezeki tidak berpihak kepadaku.
Aku sedih dan terkilan kerana aku tidak dapat menunaikan hajat ibuku untuk aku berkerja di sektor kerajaan. Ada ketika,aku berdoa, supaya Allah rezekikan aku untuk mendapat kerja di sektor kerajaan supaya ibuku bangga denganku.
Sehinggalah satu hari, aku mendapat tawaran bekerja di sebuah syarikat multi nasional (MNC). Setelah membuat pertimbangan sewajarnya, aku menghantar notis berhenti kerja dan menerima kerja baru itu. Di situ, aku masih seorang jurutera yang beza syarikat baru berstatus MNC.
Dan aku mendapat gaji yang setimpal dengan kerja yang aku lakukan setiap hari. Tiada lagi istilah membawa kerja ke rumah kerana aku berjaya menyiapkan tugasan di waktu pejabat. Aku makin gembira dengan kerja baru dan aku fikirkan ibuku pasti berbangga.
Sangkaan ku meleset. Ibu masih sama, fikiran ibuku hanya kerja di sektor kerajaan menjamin masa hadapan.
Berpuluh kali aku menerangkan pada ibu tentang faedah yang aku dapat di tempat baru dengan bonus 2 kali setahun, elaun dibayar quarterly dan gaji yang aku terima ketika itu melayakkan aku berada di kategori M40. Tapi semuanya seperti tidak memberi kesan pada ibuku.
Aku akur dan bekerja seperti biasa. Setiap kali berjumpa dengan kenalan ibuku, pasti aku cuba untuk mengelak apabila ditanya soalan berkaitan pekerjaanku kerana aku tahu ibu malu mahu memberitahu pada kenalannya.
Air muka ibu selalu berubah tatkala soalan pekerjaan ditanya pada aku. Sebolehnya aku hanya menjawab aku berkerja di negeri XXXX sahaja tanpa menjelaskan lagi. Aku faham dengan renungan ibuku.
Dalam hati, aku terkilan kerana begitu sekali reaksi ibuku di hadapan kenalannya. Aku memaniskan muka dan berlalu pergi untuk tidak berada dalam situasi yang menyakitkan. Aku memilih untuk diam. Aku tidak mahu bergaduh mulut dengan ibuku. Dia adalah syurgaku kelak.
Belum lagi perihal kerja rumah, tiap kali aku memasak, ibu jarang makan makanan yang aku masak. Ada sahaja yang tidak kena dimatanya. Kadang aku terfikir, aku ini anak angkatkah sampai begitu sekali layanan ibu padaku. Ibuku juga selalu mengeluarkan perkataan yang tidak elok kepadaku.
Perkataan iu selalu menjadi halwa telinga aku setiap hari. Ada juga aku terfikir untuk bertanya pada ibuku, apa salahku jika semua yang aku lakukan tiada satu pun yang menyenangkan hatinya. Tapi aku tidak ingin mengeruhkan keadaan lagi.
Biarlah aku beralah, asalkan ibuku bahagia. Aku iri hati dengan layanan dan penerimaan ibuku pada adik beradik yang lain tapi cepat – cepat aku tepis kerana aku tahu ibu mungkin tidak bermaksud begitu.
Dari kecil lagi aku tidak dibanggakan oleh ibu, Pencapaian akademik dan prestasi kerja aku antara yang cemerlang. Guru dan boss aku selalu memberi pujiaan terhadap semua tugasan yang aku laksanakan.
Aku pelik, orang luar begitu menyangjungkan tapi ibuku yang merupakan darah dagingku selalu merendahkan aku.
Ada masanya aku berdoa supaya Allah ambil nyawaku cepat supaya ibu tidak akan lagi rasa tak senang dengan kehadiranku. Aku tahu itu berdosa tapi aku tiada pilihan. Aku cuba buat yang terbaik tapi tetap tidak kena dimata ibu.
Sampai ke hari ini dah masuk minggu ketiga aku dirumah, pelbagai cara aku lakukan untuk mengambil hati ibu. Tapi ibu tetap ibu. Dingin seperti biasa. Cukuplah aku mampu lihat ibuku lagi didepan mata,walau aku tidak mendapat perhatian darinya.
Ibu, aku sayang pada ibu. Sehabis daya aku cuba bahagiakan ibu,cuba banggakan ibu. Andai ada aku pernah menyakiti hati ibu yang aku tidak perasan, ampuni aku ibu. Tidak selamanya aku mahu begini menjadi anak yang tidak dibanggakan oleh ibu sendiri. Doakan ibu mampu terima aku seadanya.
Aku berhajat untuk berkahwin tahun hadapan tapi melihat pada perlakuan ibuku, aku risau untuk memperkenalkan bakal suami kepada ibuku. Ibu, walau apa yang jadi, aku tetap akan sayang ibu. Halal kan setiap titik susu yang pernah aku minum dulu ibu.
Sabarlah, seminggu lagi aku akan pulang ke rumah sewaku. Ibu tak perlu lagi memandang wajahku setiap hari. Doakan aku selalu kuat dan tak akan putus asa memenangi hati ibuku. Salam sayang untuk ibu dari anak yang tidak dibanggakan.
– Cik Bunga (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit