Anak Yang Terluka

Aku mempunyai seorang abang dan seorang adik perempuan. Dari kecil dahulu, abang sangat dimanjakan. Tidak pernah dimarahi apalagi dirotan. Tidak pernah membuat sebarang kerja rumah. Berbeza dengan layanan mak ayah terhadap aku dan adik perempuanku.

Sewaktu sekolah rendah lagi, tugas membasuh baju, menyidai baju, mencuci pinggan, mengemas dapur dan rumah adalah tugas kami dua beradik perempuan. Aku pernah dipukul sehingga berbirat, lebam malah berdarah.

Begitu juga dengan adikku. Dicili mulut, dihentak di khalayak perkara biasa walaupun ketika menginjak usia remaja. Tapi bukan abang, dia permata hati mak dan ayah, tidak pernah dijentik walaupun bersalah.

Sungguhpun begitu, abang memang budak yang baik. Tiada masalah dan sangat pandai di sekolah. Aku dan adik walaupun dilayan sebegitu dengan mak ayah, sangat sayang dan kasihkan abang. Abang merupakan anak yang baik dan soleh ketika kecilnya.

Namun Allah Maha Penyayang lagi Maha Pemurah, aku dan adik perempuanku berjaya dalam pelajaran dan kini menjawat jawatan tinggi di sektor kerajaan. Kami sudah berumah tangga dan punya anak masing-masing dan suami yang memahami.

Berlainan dengan abang, sering bertukar universiti dan masih tidak mendapat pekerjaan tetap hingga kini, sudah berkahwin hampir 15 tahun, tetapi belum ada rezeki anak. Mungkin itu rezeki abang buat masa ini.

Sikap mak ayah yang memanjakan abang hingga kan ayah sanggup menukarkan nama satu-satunya rumah mereka kepada abang. Aku boleh menelan dan menerima lagi, mungkin rezeki abang, tidak mengapa. Aku harap jangan lah abang menjual rumah tersebut selagi mak ayah masih hidup.

Baru-baru ini, ayah disahkan mendapat kegagalan jantung. Aku sangat bersedih dengan perkara ini. Doktor menjangkakan, mungkin ayah boleh hidup dalam 5 ke 10 tahun. Aku terlampau sedih.

Pada hari ayah disahkan oleh doktor itu, abang dan aku sepatutnya menemani ayah, ke hospital, namun secara tiba-tiba abang membatalkannya dengan alasan kekurangan duit. Dan seterusnya begitulah, temujanji-temujanji yang seterusnya, jarang abang meneman, alasan kekangan masa dan duit meskipun banyak masa dan tiada anak untuk diuruskan.

Ayah juga sering melarang abang menemankannya ke hospital, kerana tak mahu abang susah. Berlainan dengan aku, ayah akan menelefon bertalu-talu supaya aku menemankannya ketika temujanji, walaupun ketika aku sangat sibuk dengan tugas dan tanggungjawab kepada anak-anak.

Setelah ayah menukarkan nama satu-satunya rumah ayah kepada nama abang, kini ayah menumpang di rumah ke empat adik perempuanku, dengan membayar sewa RM1800 sebulan.

Ya, adik perempuanku punya empat buah rumah, salah satunya rumah ini, dan ayah yang membayar ansuran rumah tersebut saban bulan selama bertahun-tahun. Aku sedih dengan keadaan ini, sudahlah ayah tiada rumah, kini menyewa pula dengan anak sendiri. Aku harap adik punya hati perut untuk mengurangkan ansuran rumah itu.

Kereta ayah sangat uzur, biarlah mak ayah hidup senang di hujung usia mereka, jangan menyusahkan hidup mereka. Bantulah ringankan beban mak ayah, dengan RM1800 itu, jika dipulangkan ke ayah RM800, dapatlah ayah lebihan RM800 untuk membeli kereta baru yang selesa.

Mak ayah kadangkala mengeluh kepada ku, abang dan adik tidak menghulur duit belanja, walau satu sen pun. Mak ayah sedih bila mendengar anak jiran tetangga menghulur wang setiap bulan kepada ibu bapa, tapi tiada daripada abang dan adik. Sedangkan boleh pula abang dan adik berjalan-jalan berlibur, membeli barang itu ini untuk keperluan diri, tetapi jarang untuk mak ayah, apalagi duit bulanan.

Aku tiada apa-apa yang diberi oleh mak ayah, tiada wang jauh sekali rumah atau apa-apa harta. Namun, aku telan semua itu, walau hati aku terluka, luka dalam membengkak tiada siapa yang tahu. Tidak mengapalah, Allah berikan aku rezeki yang melimpah. Seperti biasa aku akan menghulur duit secara tunai kepada mak dan ayah, hampir RM1000 sebulan kepada mereka berdua.

Walaupun kadangkala perlu menahan diri membeli itu dan ini, malah membuat 4 kerja tambahan untuk menampung duit poket, walaupun ada ketika tidak tidur semalaman untuk membuat kerja tambahan tersebut. Tapi aku tetap memberi saban bulan, walau terpaksa mencatu perbelanjaan sendiri dan walau hati kadangkala terluka.

Aku menulis ini bukanlah niatku untuk mengaibkan, pembaca pun bukan kenal aku, malah aku bukan siapa-siapa. Aku tahu abang dan adik orang baik, cuma lebihkanlah sedikit belanja untuk mak ayah. Aku cuma berharap abang dan adik membaca luahan hati, bukan aku berasa iri atau berdendam, aku cuma merayu abang dan adik punya sifat balas ihsan yang tinggi pada mak ayah

Jangan lah bebani mereka lagi, kurangkan menyusahkan mereka, beri mereka wang belanja setiap bulan, walaupun sedikit dan jagalah kebajikan mereka setiap kali dapat rawatan. Nescaya Allah akan beri rezeki yang melimpah ruah untuk kamu berdua.

Buat ibu bapa di luar sana, berlaku adillah pada anak-anak, sebagaimana yang diajar Nabi kita, supaya kita tidak disoal Allah akhirat kelak.  Jangan dilebihkan sebahagian anak dan dibiarkan anak yang lain. Janganlah ditabur duit untuk sebahagian anak, anak yang lain hanya sayu melihat dari jauh. Takutlah pada Allah dan berlaku adillah!

Dan pesan untuk diriku, maafkanlah mak ayah, maafkanlah adik beradik, meskipun diri ini terluka. Moga Allah tetapkan diriku terus bersedekah kepada mak ayah dan keluarga. Kerana Allah akan memberi sebaik-baik  balasan kepadaku dan anak-anak.

Bersabarlah hati yang terluka, Allah akan memberi rezeki yang mencurah-curah lagi selepas ini disamping keberkatan hidup yang berganda-ganda.

– Anak Yang Terluka (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *