Anak Yang Tersakiti

Assalamua’laikum dan salam sejahtera buat admin dan semua pembaca IIUM Confession. Terlebih dahulu saya ingin ucapkan terima kasih kerana menyiarkan confession saya.

Confession ini ditulis atas rasa terlalu ingin berkongsi pengalaman berdasarkan dari kisah confession Puan Mia (https://iiumc.com/isteri-yang-bodoh/) dan Puan Mardhiah (https://iiumc.com/pengurusan-kewangan-isteri-bekerja/).

Semoga kisah saya ini dijadikan pedoman dan pengajaran buat pasangan yang telah dan bakal berumah tangga.

Saya bukanlah manusia yang sesuai untuk menasihati sesiapa kerana usia perkahwinan baru nak mencecah usia 5 tahun.

Namun demikian, pengalaman yang dialami oleh saya memberi kesan yang sangat mendalam buat saya dan adik beradik. Izinkan saya untuk berkongsi.

Saya anak sulung daripada empat beradik. Saya dan adik kedua sudah bekerja dan saya juga telah berkahwin. Dua orang adik saya masih lagi belajar, seorang di kolej dan seorang lagi masih bersekolah rendah.

Sejujurnya perasaan saya bercampur baur ketika membaca kisah confessor. Sakit hati pun ada, simpati pun ada.

Untuk pengetahuan pembaca, ibu bapa saya telahpun bercerai ketika usia saya 25 tahun. Bagi pembaca semua pasti tertanya tanya kan, perlu ke bercerai di usia tua, anak pun dah besar-besar?

Jika takdir telah ditentukan tiada siapa yang dapat mengubahnya. Saya kira barangkali puncanya adalah kerana pasangan itu telah terlalu lama bersabar dan memendam perasaan.

Saya antara orang yang paling terkesan dengan penceraian ibu bapa saya walaupun saya tak pernah tunjuk terutamanya kepada adik-adik.

Saya selalu berlakon tabah, kuat dan seolah tiada apa berlaku kerana saya amat khuatir emosi mereka lebih teruk terganggu, memberontak dan buat perkara yang bukan-bukan seperti pergaulan bebas, malas belajar, ponteng sekolah dan lain-lain.

Saya juga sering menangis dalam diam dan Allah saja yang mengetahui perasaan saya.

Sejujurnya saya tidak mengetahui apa punca sebenar perceraian ibu bapa saya. Cuma yang pasti ada kaitan dengan masalah kewangan keluarga dan membawa kepada punca-punca yang lain.

Untuk makluman pembaca, mak saya berpangkat tinggi dari ayah. Jadi gaji mak lebih banyak dibandingkan ayah.

Sewaktu saya masih kecil, kami selalu makan di restoran-restoran mahal di mall. Sebut je restoran di mall mana hampir semua kami sering pergi.

Mak jarang sekali masak kerana sibuk bekerja dan selalu outstation. Saya juga anggap kami hidup selesa dan berkemampuan kerana mak ayah juga belikan kami mainan dan pakaian yang boleh tahan mahal dan berjenama.

Mak ayah saya juga sukakan barang-barang berjenama, senang cerita kehidupan yang agak mewah. Rupanya mereka suka buat pinjaman, bayar ansuran, atau berhutang untuk lunasi kehendak mereka yang serba mewah dan mungkin untuk kebahagiaan kami adik beradik.

Kami perhati dan nikmati saja. Mak tak pernah lokek membelanjakan duit hasil kerja dia untuk membantu ayah dan menikmati kehidupan mewah tu bersama-sama. Begitulah semenjak kami kecil.

Sehingga lah pada satu tahap, semakin saya tumbuh dewasa saya mula perasan mak selalu mengeluh kerana ayah seringkali culas membayar bil-bil rumah, hutang kereta, rumah dan lain-lain.

Mak menjadi lebih tertekan apabila dia sebagai guarantor kereta kerap dicari oleh pihak bank kerana ayah selalu menangguh bayaran ansuran kereta.

Sebelum ni, memang mak yang akan bantu bayarkan dahulu, tapi ayah tak bayar semula kepada mak. Mungkin kerana terlalu selesa dibantu oleh mak daripada dahulu sehingga lama kelamaan ayah mula abaikan tanggungjawab dia yang utama kerana ayah tahu mak pasti akan backup.

Ayah saya mempunyai satu tabiat iaitu suka kepada barang-barang berjenama sehingga sekarang. Jiwa seperti orang muda tapi hutang keliling pinggang. Keperluan asas keluarga sering diabaikan seperti bil rumah, kereta, yuran sekolah dan kolej adik-adik.

Sampai kadang-kadang barang rumah pun tak mampu beli dek kerana duit habis membayar hutang atau ayah telah berjoli beli barang yang dia minat. Saya rasa tak menjadi masalah jika ada sesuatu minat dan mampu asalkan tanggungjawab yang utama diselesaikan terlebih dahulu.

Adik saya pernah menangis semasa baru masuk ke universiti ketika ingin membuat permohonan pinjaman PTPTN. Katanya, staf yang memproses dokumen pinjaman menyoalkan slip gaji ayah yang berbaki kurang RM1,000 kerana bebanan hutang yang terlampau banyak.

Apalah yang dia tahu sebagai seorang anak, dia cuma ingin belajar dan disitu emosi dia juga telah terganggu kerana malu. Alhamdulillah adik berjaya juga menamatkan pengajian dia.

Berbalik kepada masalah kewangan tadi, saya yakin mak saya telah memendam perasaan tidak puas hati kepada ayah sejak sekian lama kerana tidak mempunyai pendirian tegas dalam mengutamakan soal kewangan keluarga, keperluan asas dan pendidikan anak-anak.

Mak mula sedar dirinya telah dipergunakan dan diambil kesempatan. Saya juga sering melihat mak dan ayah saya bergaduh jika melibatkan komitmen dan kewangan.

Sehinggakan saya amat tertekan sekali apabila mendapati mak telah bermain kayu tiga selama beberapa tahun dengan bos dia ditempat kerja,

Kerana bos dia adalah tempat dia meluahkan segala masalah keluarga dan mak juga ada mendapat bantuan kewangan dan sokongan sebelum dia bercerai lagi. Apapun bagi saya, tindakan itu tetap tak wajar dan salah disisi agama.

Kesan dari perbuatan dan tindakan masing-masing, membawa kepada kesan yang lebih buruk.

Saya tak menyalahkan mak saya sepenuhnya, saya yakin dia takkan berbuat begitu jika dia tidak memendam terlalu lama masalah yang dihadapi dan dapat menyelesaikan masalah dengan baik bersama ayah.

Terselit di benak fikiran saya, adakah mak dan ayah cuma mementingkan kehidupan yang serba senang dan mewah tanpa memikirkan masa depan keluarga terutamanya anak-anak?

Rentetan daripada perceraian itu, saya terlalu fobia dan memegang prinsip dimana lelaki yang akan saya kahwini tidak boleh menggunakan sedikit pun duit hasil kerja saya melainkan saya redha dengan pemberian itu.

Alhamdulillah saya bersyukur kerana suami amat memahami masalah keluarga dan menerima saya sekeluarga seadanya.

Dan yang paling penting suami sedar akan tanggungjawab dia melunasi segala keperluan rumahtangga dan menafkahi saya dengan baik.

Suami saya bekerja sendiri, saya pula bekerja dengan gaji tetap, jadi gaji suami saya juga tak menentu. Sungguhpun begitu, saya tidak sekali kali memberi muka kepada dia untuk saya bantu dia secara percuma dan atas dasar sayang semata mata.

Saya tidak mahu menjadi punca saya mendidik dan memanjakan suami saya supaya dia rasa mempunyai backup dan takkan hadapi kesusahan kerana saya ada dan mampu menampung keperluan keluarga.

Sekiranya suami betul-betul tidak cukup duit untuk membeli atau membayar satu keperluan, saya akan dahulukan dan kemudian saya akan catat segala hutang-hutang yang dia perlu bayar semula kepada saya dan memberi dia peringatan.

Setakat ini, saya amat bersyukur kerana suami jarang meminjam atau meminta saya mendahulukan duit untuk membayar keperluan asas keluarga dan segala bil kerana itu perkara utama yang saya tekankan kepada dia semasa awal perkahwinan.

Saya tak pedulikan kehendak nafsu saya kerana saya takut terlalu meminta minta benda yang tak perlu dengan suami akhirnya nanti saya juga akan dipersalahkan jika dia tak selesaikan bayaran dan keperluan asas terlebih dahulu.

Nafkah saya juga diberi on time walaupun saya tahu, semua keperluan rumah telah diberi dan ditanggung dan dia tak pernah sekalipun mengambil atau mengusik gaji saya kerana dia sedar akan tanggungjawab dan hak saya terhadap gaji dan duit saya sendiri.

Jadi kebanyakan kehendak saya, saya akan gunakan gaji saya saja tanpa perlu membebankan dia.

Kami suami isteri juga menetapkan satu waktu pada hujung tahun kebiasaanya untuk berbincang mengenai perbelanjaan tahunan semasa dan bajet tahun hadapan,

Selalunya saya sebagai isteri diminta untuk menyediakan dan membentangkan segala bajet untuk setiap keperluan termasuk perbelanjaan untuk bercuti dan beriadah.

1 tahun 1 tempat yang dibenarkan untuk bercuti. Suami akan menilai dan membuat keputusan sama ada bajet itu diluluskan atau dikurangkan atau sesekali dipotong kerana dianggap bukan keperluan.

Bagi kami, perbincangan bajet kewangan keluarga ini amatlah penting kerana suami akan lebih bersedia untuk mencari dan menyiapkan duit bagi melunasi segala keperluan yang dibentangkan contohnya seperti bajet hari raya, hadiah hari jadi ahli keluarga, percutian dan korban raya haji.

Semua ni memang tiap-tiap tahun ada kan? Jadi kami tak risau kerana kami telah membuat persediaan dan simpanan awal bagi keperluan tahun hadapan.

Saya terlalu fobia dengan apa yang keluarga saya alami. Kerana kesilapan suami dan isteri tidak sepakat mengutamakan apa yang perlu dahulu, boleh musnah sebuah institusi kekeluargaan. Yang derita dari segi mental, emosi dan menjadi mangsanya adalah anak-anak.

Saya tidak mahu itu terjadi kepada saya dan keluarga kecil saya. Saya juga tidak mahu perkara ini berlaku kepada pasangan yang mempunyai masalah diluar sana.

Jadi wahai pasangan sekalian, rumahtangga memerlukan kesepakatan dan tolak ansur. Pengurusan kewangan, pendidikan dan kesihatan keluarga adalah perkara yang wajib diutamakan dan didahulukan. Masing-masing perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing.

Untuk para isteri beringat-ingatlah dalam membantu suami yang kurang rasa bertanggungjawab. Kuatkan diri untuk dapatkan khidmat nasihat serta kaunseling, jangan dibiarkan suami rasa selesa malah menindas kita.

Buat para suami, tolonglah sedar dan beringat akan tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul. Isteri dan anak-anak itu sepatutnya menjadi perhiasan dan penyejuk hati suami.

Berusahalah untuk bekerja keras mencari nafkah berkat dan halal serta melunaskan tanggungjawab dengan baik kelak di akhirat nanti semuanya akan dipersoal.

Terima kasih kerana sudi membaca dan mohon maaf juga jika terguris perasaan sesiapa.

– Isha (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *