Harap cerita ini boleh dijadikan teladan. Kisah orang miskin, anak yatim ke menara gading. Berjaya bekerja sebagai jurutera dan memiliki 6 rumah sebelum umur 30 tahun.
Nok bangkit asal. Lagu yang kena dengan kisah hidup ambe. Kisah budak miskin boleh masuk universiti untuk ubah taraf hidup.
“Lahir dalam kemiskinan bukan satu kesalahan. Menjadikan kemiskinan sebagai satu alasan untuk tidak berjaya adalah kesalahan besar” Kulikutif.
Kehidupan ambe waktu kecil amat pahit untuk diharungi tapi cukup manis untuk dikenang. Ambe dilahirkan dalam keluarga miskin. Mak Ayah bekerja sebagai petani.
Seingat ambe sejak dari ambe kecil lagi ayah kerap sakit. Kenangan dengan ayah tak banyak, ayah pergi tinggalkan kami sewaktu ambe umur 6 tahun.
Sudah jatuh ditimpa tangga. Kini tinggal mek sorang untuk membesarkan kami lima beradik. Gaji mek tak banyak. RM600 sebulan hasil kerja di kilang tembakau.
Gaji yang hanya cukup-cukup makan. Hanya mampu jadi sumber rezeki kami untuk bulan Januari hingga Oktober. Kebiasaannya kilang tembakau tutup 2 bulan ( November ~ Disember) disebabkan musim hujan.
Dua bulan tanpa sumber pendapatan. Camne nak survive. Mek ambe bukannya ada simpanan kecemasan 3 bulan gaji pun. Macam-macam kerja mek ambe buat untuk sara kami.
Waktu kecil ambe pernah ikut mek ambe cuci botol budu untuk cari samah seriya. Bau sisa botol yang tengik dah sebati. Tu belum masuk pakej kulit gatal-gatal.
Bulan satu duit banyak nak pakai sebab anak nak masuk sekolah terpasalah mek pinjam pitis sedara yang terdekat. Sedara hok jauh- jauh terutama sebelah arwah ayah makin menjauh. Ibarat lirik dikir nak bangkit asal
“Ooooooooooooo??Tak dok warih nye diri ambo….
Ooooooooooooooo??Demo tokse kelih, walau sebelah mata.”
Bila kita dibawah, tak akan terlepas dengan pandangan serong. Masih ingat lagi abang ambe kena tuduh curi ayam jiran. Maka keluarlah kata-kata yang tidak elok.
Dipendekkan cerita, sebenarnya orang lain yang mencuri. Hasil siasatan orang kampung, owner nasi berlauk yang jadi saksi bukan abang ambe yang pergi jual ayam curi kat kedai dia.
Lahir dalam keluarga miskin buat ambe cepat matang. Semasa disekolah ada beberapa perkara bila di ingat balik buat ambe kagum dengan diri ambe semasa kecil:
1. Hari sukan sekolah makin dekat. Cikgu kelas ingatkan murid-murid untuk minta duit baju sukan dengan mak ayah. Ambe kabor ke cikgu mek ambe takdop pitis. Padahal tak minta pun duit. Alhamdulillah dapat baju sukan percuma.
2. Cikgu kelas bagitau ada lawatan sambil belajar. Sudoh doh la. Mana nak cari pitih. Ambe buat senyap tak bagitau ke mek. Saim-saim pergi lawatan ke Kota Baru tinggalah ambe disekolah.
Peperiksaan UPSR ambe dapat keputusan 5A. Alhamdulillah rezeki Allah bagi. Sohor kejap mek ambe anak boleh result comel. Nak dijadikan cerita dapat masuk ke MRSM.
Anak nak masuk sekolah asrama penuh. Bukan sedikit perbelanjaan mak ayah kena tanggung. Mek ambe sapa kena berhutang nak hantar anak ke sekolah molek.
Hok ambe tak boleh lupo, orang cakap takdop duit takyoh la hantar anak sekolah jauh-jauh. Timo kasih mek, ambe tekad belajar bersungguh-sungguh.
Masuk tingkatan 5 ambe makin rajin belajar. Nak dipendekkan cerita, keputusan percubaan ambe cemerlang. Rezeki ambe, dapat biasiswa MARA dibawah Skim Pelajar Cemerlang (SPC) untuk sambung belajar di Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Orang yang paling gembira adalah mek. Satu-satunya anak dia boleh ke menara gading. Betapa gembiranya mek sampaikan sampul surat tawaran belajar ambe, mek rebut dari tangan dan terus buka.
Orang lain anak nak masuk universiti, mak ayah gadai emas dan jual tanah. Murah rezeki kami. Pendaftaran ke UTP hanya perlu bayar yuran pendaftaran sebanyak Rm800++ dan yuran pendaftaran dipulangkan balik.
Terima kasih MARA untuk biasiswa sepanjang 5 tahun ambe belajar di UTP. Semua perbelanjaan yuran, penginapan dan elaun sara hidup dibiayai MARA. Ambe hanya perlu fokus belajar sahaja.
5 tahun berlalu. Segulung ijazah diterima. Walaupun hanya kepujian kelas kedua atas dalam kejuruteraan mekanikal, ambe tetap berpuas hati.
Timo kasih cikgu-cikgu dan pensyarah-pensyarah kerana sudi ajar ambe. Ambe hormat sanjung segala kasih segala budi. Mintok halal segala ilmu hok cikgu bui selamo maso. Di tapok kaki guru ambo tunduk mintok reda.
Segulung ijazah ambe hadiahkan ke mek. Yang selalu beri semangat untuk berjaya.
Alhamdulillah loni ambe jadi ore.
Anak miskin pun boleh berjaya.
Kini memiliki 6 rumah sebelum umur 30 tahun.
– M Rozi (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit