Anak Yatim ku

Assalammualaikum kepada seluruh pembaca Confessions IIUM. Jutaan terima kasih buat admin jika menyiarkan kisah aku buat kali keduanya. Kisah yang aku ceritakan kali ini, bukanlah untuk membuka aib sesiapa tapi untuk diambil iktibar buat semua golongan manusia akhir zaman.

Kisah ini adalah benar dan dialami sendiri oleh Ibu saudaraku, eh bukan Ibu mertuaku yaa. Ibu saudaraku, aku gelar, Mak Ngah. Mak Ngah kematian suami pada usia yang muda dan perkahwinan mereka baru sahaja mencecah usia 4 tahun. Sebelum tu, lebih elok jika aku menceritakan serba sedikit tentang mereka. Mak Ngah dan Pak Ngah bercinta daripada zaman sekolah menengah. Jarak usia antara mereka adalah 2 tahun. Dan aku, antara anak buah Mak Ngah yang agak nakal, sering usik mereka berdua suatu tika dahulu. Tamat untuk intro, aku beralih kepada kisah sewaktu kematian Pak Ngah.

Pada hari sebelum arwah sakit, tak sangka itu kali terakhir, anak-anak mereka yang berusia 4 tahun dan 1 tahun mengucapkan selamat tinggal kepada bapanya. Sewaktu arwah hendak pergi ke kerja pagi itu, kedua anak lelakinya mengambil kesempatan untuk mencium tangan bapanya. Pada petang itu juga, arwah pak ngah pengsan di tempat kerjanya. Selama seminggu arwah koma dan akhirnya doktor sahkan meninggal setelah otaknya tidak lagi berfungsi.

Pada hari pengebumian arwah, aku tak dapat hadir kerana berada di universiti. Air mata aku lencun apabila dikhabarkan kematian pak ngah kerana mengenangkan nasib sepupu aku yang masih kecil dan tidak berbapa. Pada malam itu, si abang (anak pertama mak ngah) mengikut ibunya dan saudara mara lain ke tanah perkuburan. Tika mayat itu hendak diusung ke dalam tanah, tiba-tiba abang menjerit menangis sambil berkata, ibu, kenapa ayah masuk dalam tanah ? Untuk elakkan abang menangis lagi, mak ngah cuba menenangkan dia. Cuba untuk memahamkan dia bahawa ayahnya sudah tiada. “Adam, ayah pergi syurga. Nanti kita jumpa ayah kat sana ya”, pujuk mak ngah kepada Adam. Dan sehingga hari ini, aku kagum dengan mak ngah. Kerana apa ?. Sewaktu hari pengebumian arwah, satu titik air mata pun tak mengalir di matanya. Kata mak ngah, dia dah lama redha. Pada hari sebelum arwah tenat, jam 5 pagi selalunya mak ngah akan bangun bertahajud dan mohon kesembuhan suaminya tapi pada hari itu dia terlajak tidur. Secara tidak sedar, katanya, arwah mengejutkan dia bangun pagi itu melalui mimpi. Tak sangka, hari itu juga arwah pergi buat selamanya.

Sejak kematian pak ngah, prestasi abang di sekolah merosot. Dia menjadi pendiam. Ada satu malam, abang bangun dari tidur dan menangis bersungguh-sungguh. Apabila ditanya kenapa menangis, dia berkata, dia rindukan ayahnya. Allahu, pasti itu satu penderitaan untuk budak sekecil itu. Yalah, di saat, dia dahagakan kasih sayang ayah, ayahnya pula pergi meninggalkan dia. Bukan itu sahaja, dia sering bermimpi ayahnya membawa dia berjalan mengilingi kampung menaiki motor. Mungkin mimpi itu sahaja caranya untuk abang melepaskan rindu. Manakala, si adik, setiap malam tidak berhenti menangis dan meragam. Pada raya tahun ini, merupakan raya pertama tanpa arwah. Si abang sudah mula terima kenyataan yang ayahnya sudah tiada. Pada pagi raya pertama, abang tiba-tiba ambil snow globe di atas meja. Snow globe tu dalamnya ada gambar kami sekeluarga sewaktu bercuti di Bali. Pada saat itu, apabila aku nampak dia mengambil snow globe tu, aku merampas kembali dari tangannya sambil berkata,”Kau jangan nak buat sepah abang, kak lang dah kemas rumah ni”. Dia berlalu pergi. Dan tiba-tiba, mak aku nampak dia sudah berada di atas kerusi di dapur. Di tangannya memegang snow globe tadi. Aku yang berada di belakang emak, hanya memerhati mereka berdua. Emak tanya si abang.
“Adam, tengok gambar siapa tu?”
“Adam tengok gambar ayah. “
“Adam rindu ayah ke?”
Adam mengangguk diam sambil matanya tak lepas memandang wajah ayahnya.
Pada masa tu jugak, aku rasa bersalah dan nak menangis. Sebab ? Sebabnya aku memarahi Adam kerana mengambil snow globe itu. Rupa rupanya, jauh dalam sudut hati budak yang baru berusia 5 tahun itu, dia hanya ingin melepaskan rindu kepada arwah ayahnya sahaja. Korang jangan salah faham. Aku bukan seorang kakak sepupu yang buli/jahat persis ibu tiri tu ye. Perwatakan aku tegas. Dan aku tegas ada bersebab.

Sejak kematian suami, mak ngah duduk bersama tok dan opah. Tok dan opah yang bantu mak ngah menjaga abang dan adik. Tibalah, satu hari, di mana pembahagian harta pusaka arwah dibicarakan. Mengikut kata mahkamah, tanah milik keluarga arwah pak ngah sudah jatuh ke tangan dua anak yatim, ibunya (mak ngah) dan ibu si arwah secara faraid. Aku faham, jika harta pusaka milik keluarga kita jatuh kepada ipar. Mesti ada rasa tak puas hati kan. Dan adik beradik pak ngah satu sen tak dapat sebab dia tiada hak ke atas duit tersebut. Ini adalah sebab, harta tersebut tidak sempat ditukar milik. Masalahnya, siapa je yang tahu ajal manusia sampai bila ? Bila dah tak sempat tukar nama arwah kepada ahli keluarga yang lain, secara faraidnya, harta tersebut jatuh ke anak-anak si mati memandangkan anak si mati adalah lelaki. Dan berlaku lah rasa tidak puas hati antara adik adik arwah (pak sedara Adam) ni dengan keluarga aku. Faham tak ? Kalau tak faham, boleh cari hukum pasal faraid dan sebagainya. Aku tak boleh cerita details takut berlaku salah faham.

Ikutkan mak ngah, dia tak hamak dengan harta tu semua. Dan disebabkan perihal harta itu diuruskan di Kelantan, dia memberi kepercayaan kepada adik arwah untuk menguruskan. Tak sangka pula, lain jadinya, apabila harta yang sepatutnya anak yatim dapat berapa peratus, alih-alih dah berubah kepada jumlah yang lain. Meaning ? Yes, keluarga mereka sudah ambil beberapa bahagian harta anak yatim. Allahu, aku betul-betul terkejut dan sedih, mereka sanggup buat begini pada anak saudara mereka sendiri. Mak ngah aku tak nak fight. Katanya, biarlah mahkamah Allah yang menghukum mereka yang makan harta anak yatim.

Jadi, panjang lebar kisah aku di sini, ada beberapa pengajaran yang aku nak bagi pada korang. Anak yatim tu kategori untuk mereka yang kematian bapa sahaja. Kalau kematian ibu, bukan anak yatim ya.

Hukum memakan harta anak yatim
Dosa besar yang kelapan. Tu je aku nak bagi tahu. Kalau kau dah makan duit anak yatim, dan makanan tu ada dalam perut kau, seluruh isi perut akan dibakar di api neraka, melainkan si anak yatim ni berikan keizinan atau erti kata lain “MENGHALALKAN” harta tersebut.
Sumber : Ustaz Azhar Idrus

Kematian yang tidak sangka
Aku ambil iktibar daripada kisah kematian pak ngah dimana kematian arwah secara mengejut. Cukuplah korang bayangkan diri sendiri je. Dengan bekal amalan yang ala kadar, tiba-tiba pengsan, koma dan seminggu lepas tu terus meninggal, Allahu, seramnya. Sewaktu kami sekeluarga baca ayat Quran untuk arwah semasa koma, nampak arwah menangis. Aku tak tahu apa yang dialami oleh arwah waktu itu. Maybe dia sedih sebab tak sangka itu kali terakhir dia hidup di dunia bersama keluarganya. Punca kematian arwah adalah disebabkan rokok. Perokok tegar, jaga-jaga dan berhentilah merokok.
Sayangi anak yatim
Pernah dengar, usap kepala anak yatim, dosa kecil kita hilang. So buat baik dengan mereka. Kesian mereka kerana kehilangan ayah. Diberikan ganjaran kepada mereka yang memuliakan anak yatim.

Baiklah itu sahaja dari aku. Sedikit pengajaran dan nasihat untuk manusia akhir zaman yang mudah lupa. Tanpa kita sedar, kerana duit, hubungan keluarga terputus dengan mudahnya. Kerana duit, keluarga bergaduh. Ingatlah, di sana nanti, kita hanya membawa tiga bekalan ini sahaja iatiu doa anak soleh, sedekah jariah dan ilmu yang bermanfaat. Ada apa dengan duit ? Itu semua dunia. Terima kasih kepada yang sudi membaca. Kepada mereka yang mengalami situasi sama seperti mak ngah, bertabahlah, sesungguhnya syurga buatmu. Amin 

Di manakan ku cari ganti,
Mungkinkah di syurga,
Untuk kawan berduka,
Menangis bersama,
Selama-lamanya

-Hakak prihatin

– Hakak Prihatin

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit